Follow me

Instagram

Wednesday, 21 January 2015

Naskah Terakhir Laura Isabell : Bab 1




Lapangan Terbang Heathrow London… 2008

WALAU apa pun terjadi aku kena balik!Laura terus melangkah dengan penuh yakin. Dalam hati hanya Tuhan yang tahu. Kalaulah teman lelakinya superman, sudah lama dia minta tolong terbangkan ke Malaysia.

Kaki melangkah pantas menuju ke Terminal 3 sambil sambil menjinjit beg kecil. Sesekali dia mengerling jam di pergelangan tangan. Berita yang diterima semalam membuatkan jiwanya tak tenteram. Mujur tiket penerbangan ke Malaysia masih ada, kalau tidak terpaksa dia menaiki penerbangan transit ke Singapura. 

Laura mendail nombor emak. “Assalamualaikum.”

“Laura, kenapa telefon mak malam-malam ni?” terdengar suara serak ibu di hujung talian.

Alamak, lupa. Malaysia lewat malam! Laura garu kepala.

“Maaf mak, Ara kat Airport ni.”

“Hah? KLIA? Kenapa tak cakap awal-awal nak balik? Kenapa tiba-tiba balik ni?” 

“Mak… bukan di KLIA tapi kat London lagi ni.” 

“Lar… kenapa tiba-tiba balik ni?”

“Habis semalam mak cakap Tok Karim sakit. Ara tak sedap hati sebab tu Ara terus beli tiket,” Laura mengerling lelaki yang melabuhkan punggung di kerusi sebelah. 

Alamak, majalah aku! Tak sempat dia nak ambil, lelaki itu sudah pun duduk di atas majalah tersebut. Laura gigit bibir, geram.

“Semalam cakap nak kerja sambilan kat sana.” Suara emak mengalih perhatian Laura.

“Tok Karim lebih penting,” Laura menghela nafas perlahan. 

“Eloklah macam tu. Tapi nanti Ara kena balik ke Melaka. Tok Karim tiba-tiba nak balik kampung. Terpaksa mak hantar.”

“Berapa lama mak cuti?”

“Mana ada cuti pun, esok mak dan ayah akan ke Sabah.”

“Habis tu siapa akan jaga Tok Karim?” 

“Mak dah minta Mak Odah jaga sementara mak ke Sabah.”

Laura tarik nafas lega. “Tok Karim macam mana? Makin teruk ke?”

“Badan dia memang semakin susut, tapi bukan tu aje sejak akhir-akhir ni dia asyik cakap yang bukan-bukan.  Asyik sebut nama Ara je. Risau pula mak. Yalah, sejak Ara tak ada melayan dia berbual sebab itu dia bercakap seorang diri.”

Hati Laura sayu. Dia tak ada atuk lain lagi, atuk kedua-dua belah ibu dan ayahnya meninggal dunia ketika dia masih kecil lagi. Yang dia kenal hanyalah Moyang Karim, atuk kepada ibunya yang lebih selesa dipanggil dengan nama Tok Karim. Baginya Tok Karim seperti barang antik, semakin lama semakin tinggi harganya. 

Tok Karim satu-satunya tempat dia merasai kasih sayang seorang atuk. Tempat dia mengadu bila dimarahi kedua ibu bapanya. Tempat dia menimba ilmu tentang kehidupan. Selama ini dia yang banyak mengajak Tok Karim berbual atau pun Tok Karim yang banyak mendengar apa sahaja isi bicara Laura. Dalam ramai-ramai cucu dan cicit, Laura seorang saja yang rapat dengan Tok Karim. Kerana itu dia sangat sayangkan Tok Karim walau kadang-kala dia sering menjadi mangsa bebelan. Apa yang dibuatnya selalu tak kena di mata Tok Karim. Tapi itu semua tak dapat mengubah kasih sayang yang sudah terpahat di hatinya. 

Dia sedar setiap bebelan Tok Karim bukan bebelan kosong. Kerana bebelan itu dia kini menjadi gadis yang masih berpegang pada agama dan adat Melayu walaupun merantau jauh. Dan pesan Tok Karim masih kemas  dalam ingatannya.

‘Kalau dah ada kat London tu, jangan bawa balik lelaki Inggeris pula. Tok tak nak jumpa Ara kalau Ara pilih lelaki asing.’ 

Tak mungkin atuk. Hati Laura tetap untuk lelaki Melayu. Tiba-tiba terbayang di ruang matanya wajah Fakrul, teman lelakinya yang sama-sama belajar di London. Rindu membuak. Sepatutnya hari ini dia dan Fakrul memulakan kerja sambilan di salah sebuah hotel di Kota London selama sebulan dan kemudian mereka merancang untuk mengeliling Eropah sehingga habis cuti semester. Namun, ALLAH maha mengetahui. Walau bagaimana teliti sekali pun kita merancang segalanya ALLAH tentukan. Dia reda.

Sebaik habis berbual di telefon, Laura mengerling lelaki di sebelahnya. Bila pandangan mereka bertemu Laura segera melarikan pandangannya. Mata biru lelaki itu sungguh cantik. Bulu matanya panjang. Hidung? Lelaki Inggeris tentulah hidungnya mancung. Tapi tak terlalu tinggi. Kulit tentu sahaja putih. Mungkin sebab kulit putih dan hidung mancung menjadikan dia kacak. Kalau ‘diMelayukan’ dia ni dalam kategori lelaki biasa saja. Kulit kalau dihitamkan lagi, hidung kalau dileperkan tentu lebih kacak Fakrul. Hish, kau dah kenapa Laura? Laura geleng kepala. Kemudian dia kerling sekali lagi. Dalam kepala sedang fikir sama ada bersuara atau tunggu sehingga lelaki itu bangun?


DEAN merenung tiket penerbangannya. Mengeluh perlahan. Seperti dipukau sedar-sedar saja dia sudah pun berada di lapangan terbang. Betul ke tindakan aku ni? Peluang untuk dapat kembali harta pusaka itu sungguh mustahil, tapi… hanya ini saja harapan yang aku ada. 

Berkali-kali dia turun naik bank untuk mendapatkan pinjaman namun semuanya tidak diluluskan. Kereta dan rumah besar sudah dijual. Sudahnya Amanda juga tinggalkan dia terkontang-kanting.

“Excuse me, sir?” Terdengar suara gadis di sebelahnya menegur.

“Yes, what can I help you?” tanya Dean. 

Menoleh pada gadis bertudung di sebelahnya. Dia terpaku melihat mata bulat dihiasi alis mata hitam merenung lembut ke arahnya. Bibir kecil gadis itu terukir senyuman yang sungguh manis. Hurmm… comel! 

Kalau dulu dia sangat prejudis dengan wanita muslim tetapi semenjak membaca naskah itu fikirannya mula terbuka. Tudung itu kehendak agamanya tetapi dia tetap seperti wanita lain. Dean memaniskan wajahnya.

“I’m Dean.” Dean hulur tangan. Dia fikir mungkin gadis itu nak ajak dia berbual. 

Laura mengukir senyum kemudian mengangguk. Kain tudung yang terjuntai menutupi bahagian dada menjadi sasaran. Salam bersambut. 

“My magazine.…” terpacul perkataan yang sedang bermain di fikirannya.Kening Dean berkerut-kerut hampir bercantum. Tidak dapat menangkap maksud kata-kata gadis di depannya itu.

Laura menunding ibu jarinya pada majalah yang menjadi alas duduk Dean.

“Oh! This is yours?” tanya Dean terkejut. Jadi dari tadi dia mahu ambil majalah ni? Bukan nak berbual dengan aku?

Laura mengangguk, tersenyum. 

Dean menarik majalah tersebut. Telinganya bertukar merah. “I’m sorry. I didn’t see it.” Aduh! Malunya. 

“By the way, I’m Laura,” ujar Laura sambil menyambut majalah tersebut. Sekadar berbudi bahasa.Bulat mata Dean memandang Laura. “What a small world.”

“What do mean?” Kening bertaut.

Dean tersengih. “I’m going to Malaysia, to look for Laura,” balas Dean masih selesa mengunakan bahasa ibundanya. 

“Your special girlfriend?” Laura menduga.

Dean menoleh, terdiam seketika kemudian meng-angguk.

Laura tersenyum. So sweet. Mencari kekasih hati yang merajuk mungkin. “Well, I wish you the best of luck,” ucap Laura ikhlas sambil membuka majalahnya.

Dean menghela nafas berat. “Thanks.” Bersandar pada kerusi. 

Fikirannya merewang mengingati kembali catatan Laura Isabell. Andai aku punya kekasih setia seperti dia, tidak akan aku sia-siakan. Sungguh beruntung Megat Alam berjaya menakluk hatinya. Agaknya apa yang terjadi kepada Megat Alam? Adakah dia tahu nasib yang menimpa Laura Isabell?

Ah! Tapi itu semua tidak penting. Yang penting hak keturunan aku! 

Bersambung.


1 comment:

  1. Ahhhh x tau nak komen apa
    x sempat nak click2 lagi

    ReplyDelete

Popular Posts