Follow me

Instagram

Wednesday, 12 February 2014

Aku... dia dan Pinky Promise : Bab 3 & 4

Bab 3


Aku  tersentak. Ah! Mimpi buruk lagi. Sejak akhir-akhir ni kerap sungguh bermimpi terjatuh dari tempat yang tinggi.

Tangan aku terus meraba-raba mencari telefon bimbit di bawah bantal. Memang sudah menjadi tabiat, meletak telefon bimbit bawah bantal supaya cepat bangun subuh. Mana pula ni? Tangan terus meraba.

Aha! Jumpa pun.

Namun sebaik saja melihat objek itu, aku terpinga. Siapa pulak letak jam loceng besar gedabak bawah bantal ni? Mana perginya telefon bimbit aku?

Dalam keadaan mamai, aku melihat jam loceng itu. Tepat pukul 5.55 pagi. Patutlah rumah sunyi sepi. Kembali menutup mata. Ada masa setengah jam lagi sebelum bangun, solat subuh. Mandi pada pukul tujuh pagi dan kemudian bersiap ke tempat kerja.

Tapi tak sampai pun satu saat terlelap tiba-tiba terdengar suara emak melaung memanggil nama aku.

“Siti Saleha! Bangun!”

Alah, mak ni, potong sungguh. Aku segera menarik kain selimut lalu menutup seluruh badan, dari hujung kaki sehingga ke hujung kepala. Sikit lagi mak, sikit je lagi. Terus pejamkan mata.

“Sal! Kamu macam mana dah sihat?” Kali ini suara mak betul-betul melekat pada gegendang telinga.

Aik, lajunya emak naik tangga. Sebelum ni asyik merunggut sakit lutut. Serentak itu terasa sejuk tangan emak menyentuh dahi aku. Aku buka mata. Pandang emak dengan wajah hairan.

“Sihat, tapi bila mak tanya macam tu, tiba-tiba rasa macam tak sihat je?” balas aku mengusik.

Emak mencemik.

“Kalau dah sihat bangun! Kamu nak peram apa lagi mata tu? Dah pukul enam! Takkan hari ni nak cuti lagi!” Suara emak memang nyaring, mengalahkan suara Azlan and the typewriter!

“Alah, mak awal lagi. Solat subuh pukul 6.30 pun boleh.” Kembali menarik kain selimut tapi laju pula tangan emak menghalang.

“Kamu ingat melambat-lambatkan solat tu tak berdosa ke!” Emak mencerlung. Bercekak pinggang.

“Alar, orang mengantuk ni, tak cukup tidur. Penat jalan-jalan dekat Melaka tak hilang lagi. Kaki ni sakit lagi.”

Eh, kejap. Kenapa kaki aku dah tak sakit ni? Pelik.

“Tak cukup tidur apanya, semalam dah seharian kamu rehat dan tidur kat rumah ni. Tak ada… bangun sekarang juga!” Suara mak menyucuk masuk ke telinga.

Aku mengosok-gosok telinga yang tiba-tiba terasa gatal.

“Mana ada orang rehat pun, semalam sampai lambat.” Keluh aku.

Teruk betul doktor tu, dia kata kaki aku bengkak sikit saja. Aku punyalah sakit separuh nak mati. Ingatkan bolehlah dapat cuti sakit hari ni.

“Kamu jangan nak bergurau pagi-pagi buta ni. Cepat bangun. Dua hari cuti, hari ni kamu tak boleh cuti lagi.” Balas emak, nada suaranya sedikit menurun.

“Ha? Sal cuti semalam? Mana ada. Doktor tak bagi mc pun. Doktor kedekut!”

“Haish budak ni, kedekut apanya dah dua hari cuti. Cukup-cukuplah tu.” Emak menjeling kemudian mengutip beberapa biji cawan yang ada di atas meja tulis. “Cepat bangun, nanti kamu lambat.” Pesan emak sebelum melangkah keluar.

“Mengarut je mak ni. Semalam baru balik dari Melaka.” Melopong aku memandang emak.

“Kamu jangan nak mengada-ngada! Cepat bangun! Mak nak kejutkan adik kamu pula ni.”

Sebaik sahaja mendengar perkataan ‘adik’ aku terus membuka selimut yang menutupi sebahagian tubuh.

“Bila adik balik mak?” Tanya aku teruja.

Setahu aku bulan depan baru Sara balik? Takkan dia buat kejutan untuk aku pula? Hari jadi aku lambat lagi. Tiba-tiba hati aku teruja, terbayangkan ipad terpakai yang Sara janji hendak beli di UK tempoh hari.

Mak menjeling tajam pada aku. “Kamu ni kenapa? Mimpi lagi?”

“Pukul berapa adik sampai mak? Siapa ambik dia?” Tanya aku di birai katil, mata segar-bugar.

Aku bingkas bangun hendak keluar dari bilik, tak sabar nak jumpa Sara. Mesti banyak buah tangan lain dia belikan untuk aku dan emak.

“Makin menjadi-jadi perangai kamu ni. Hey, nak kemana tu? Mak suruh mandi, cepat!” Emak  bercekak pinggang, memerhati aku yang ingin menapak turun ke tingkat bawah. Jelingan emak memang menakutkan. Langkah kaki terhenti serta-merta.

Kenapa emak ni? Selama ni tak pernah pula emak menjeling sampai nak terkeluar biji mata?

“Termenung apa lagi? Cepat mandi!”Emak menjegil matanya.

Perlahan-lahan aku mencapai tuala yang tersangkut di belakang pintu. Memandang kehairanan pada emak, kemudian emak keluar dari bilik bersama baju kotor. Selama ini tak pernah pun beria-ia nak kejutkan aku bangun pagi. Rajin pula emak tolong kutip baju kotor aku?

Aku menggeleng kepala, melangkah malas ke bilik mandi yang terletak di luar bilik. Satu-satunya bilik mandi di bahagian atas yang kini menjadi hak mutlak aku semenjak adik aku Sara melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dan semenjak kak Nora dan keluargannya berpindah ke Melaka.

 Namun sebaik sahaja masuk ke dalam bilik air aku mula terasa pelik. Pertama, kenapa tuala aku lain? Kedua, sejak bila aku pakai sabun mandi ni? Siapa curi krim mandian aku? Syampu! Siapa tukar syampu kegemaran aku ni!

“Mak! Mana shower orang! Siapa ambil syampu orang ni!” Jerit aku membuka sedikit pintu bilik mandi yang terletak di tengah-tengah antara bilik aku dan dan bilik tidur emak.

“Eh, budak ni, tak habis-habis mengigau. Cepat mandi! Tak ada siapa pun nak curi dan tukar syampu kamu tu!” 

Terdengar suara emak dari bawah. Aku mencemik, menutup pintu bilik air dengan hati yang sebal. Aku paling tak suka syampu ni, buat rambut aku jadi keras!

Zaman sekolah dulu haruslah aku pakai syampu ni sebab poket aku nipis, sekarang ni, tak mainlah syampu cikai ni. Sabun ni pun satu hal, kulit orang berusia 32 tahun macam aku ni mana boleh pakai sebarangan, nanti kering. Dahlah tak kahwin lagi, nanti suami aku tak terliur sentuh kulit aku yang kering kontang. Tapi, nak tak nak terpaksa pakai juga. Malas nak turun ke bilik air di bawah.

Eh, mana pencuci muka aku ni? Aku terus membelek shower holder, yang ada hanyalah…

Sabun susu kambing?!

Alahai, siapa pula ketinggalan zaman ni? Setahu aku zaman sekolah dulu je pakai sabun ni. Aduhai, ni mesti Sara rembat semalam masa aku tidur ni. Hendak turun ke bilik mandi bawah pun, badan aku dah penuh dengan sabun ni.

“Siap kau Sara, lepas ni teruk akak membebel.” Eh, tapi aku tak boleh marah dia, nanti dia tak nak bagi ipad tu!

Eh, kejap… aku membelek-belek wajah di cermin. Kenapa kulit aku licin semacam saja ni? Wah… krim yang aku beli minggu lepas akhirnya berkesan!

Alahai, kening aku ni berserabut! Seharian tak belek muka takkan dah tumbuh? Tapi… macam cantik juga kalau kening ni aku tak cantas. Patutlah mak kata muka aku nampak macam orang sakit bila cantas kening. Memang betul pun, muka aku sekarang nampak lain, berseri-seri. Lepas ni tak payah cantaslah. Berdosa! Bila lagi aku nak insaf, kan? Cantas kening dilaknat Tuhan, berapa kali mak pesan. Tapi aku saja keras kepala.

Okey, mulai hari ni aku akan cuba berubah. Nature beauty!



Bab 4

Selesai mandi dan menunaikan solat subuh, aku termenung seketika memerhati setiap sudut bilik. Kenapa lain macam sangat bilik aku ni? Emak ada ubah apa-apa ke? Eh, cadar ni, bukan ke sudah buruk dan aku dah buang? Macam mana boleh elok lagi ni?

Mata aku beralih pula pada meja tulis dan rak buku yang melekat di dinding. Apa yang lain pada meja aku tu? Aha, lampu meja! Bukan ke dah rosak lima tahun lepas? Macam mana boleh elok atas meja aku ni?

Aku menoleh ke arah rak buku. Sebaik saja melihat buku-buku yang tersusun di rak, serta-merta mata aku terbuntang.

Kenapa emak susun balik buku teks sekolah aku ni? Aku dah susun kemas dalam kotak dan letak dalam stor lagi, rajin sungguh emak ni. Menyemakkan rak buku aku saja. Mana pula mak letak novel-novel kesayangan aku?       
   
Mata aku terus melilau mencari novel kesayangan aku. Rak bawah, rak atas, bawah meja, bawah katil, tak ada! Mana emak letak ni?

Alahai, pagi-pagi emak dah buat kepala aku berpusing. Aku segera membuka kain telekung. Ini pun satu, bukan ke aku dah buang penyidai ni? Buat menyemak bilik saja.

Mana karpet dalam bilik ni? Takkan mak hantar dobi? Langsir pun… alahai mak, kenapa rajin sangat cuci semua barang dalam bilik ni?

“Sal! Cepat, dah nak pukul tujuh ni! Turun makan, kejap lagi bas sampai!” Terdengar suara emak menjerit dari bawah.

Bas? Mak nak pinjam kereta aku ke? Aku menjeling jam loceng di atas meja. Jarum jam menunjukkan tepat pukul 6.45 pagi. Jam ini pun satu, rasanya dah lama aku buang macam mana boleh ada dalam bilik ni?

Argh!Pening!

Semakin lama aku tilik bilik ni, semakin pening kepala aku dibuatnya. Aku bergegas keluar dari bilik menuju ke tingkat bawah. Dari tangga aku sudah terhidu aroma nasi lemak yang ini memang tak buat aku pening, sebab nasi lemak emak memang terbaik! Dulu, kini dan selamanya.

Ketika tiba di meja makan, aku terpegun tengok emak yang sedang asyik menyeduk nasi lemak ke dalam pinggan. Terasa macam dejavu pula. Wajah emak pun kelihatan segar dan ceria, berbeza dengan wajah emak semalam.

“Kamu tercegat apa lagi? Cepat makan,” panggil emak.

 Namun kemudian dahinya berkerut-kerut memandang aku.

“Sal, kenapa tak siap lagi ni? Nanti lambat kamu juga yang susah! Cepat pergi salin baju.” Mak mencapai teko kemudian menuang air ke dalam cawan.

“Mak nampak lain hari ni, makin cantik.”

Puji aku masih tak puas menatap wajah emak yang kelihatan berseri-seri. Mungkin sebab terlampau gembira menerima kepulangan Sara. Kalau dulu aku cemburu, yalah, tiap-tiap hari mulut emak asyik sebut nama Sara. Tapi sekarang aku dah biasa, malah aku pun sering rindukan adik aku yang seorang itu.

“Kamu jangan nak berdalih, kamu pujilah emak melangit sekali pun, jangan harap kamu boleh ponteng hari ni.” Emak menjeling tajam.

Aku tersengih sambil menarik kerusi.

“Bila pula orang cakap nak ponteng ni, tak sanggup orang nak kena potong gaji yang dah seciput tu.” Keluh aku lantas menceduk nasi lemak ke mulut.

Emak menjeling, berkerut dahi memandang aku.

“Mana Sara ni tak turun lagi ni, orang tak sabar nak tengok ipad,” ujar aku tersenyum teruja.

Sekali lagi emak menjeling pelik. Berkelip-kelip aku membalas jelingan emak. Kemudian emak menggeleng kepalanya.

“Sal... kamu dah lambat sangat ni. Cepat pergi salin baju. Nanti mak letak lebih nasi lemak ni dalam bekas, kamu makan di sekolah nanti,” balas emak terus ke dapur.

Sekolah? Aku berhenti mengunyah. Mengaru kepala tidak gatal.

“Buat apa ke sekolah mak? Ada apa?” Tanya aku hairan.

Emak yang baru keluar dari dapur memandang tidak berkelip. Di tangannya terdapat bekas makanan yang sering aku guna ketika bersekolah dulu. Eh, ada lagi bekas tu?

Emak menghela nafas perlahan, menggeleng kepala.

“Kamu jangan nak buat lawak pagi-pagi buta ni, Sal. Cepat pergi salin baju.” Emak segera menarik pinggan aku, semua nasi lemak diletak dalam bekas makanan tadi.

“Sal tak habis makan lagi.” Aku memandang kehairanan. Sudu masih berada dalam mulut.

“Dah lambat ni, tengok jam tu, kejap lagi bas sampai, cepat lah!” Emak mencerlung.

Aku terkaku. Emak ni biar betul?

“Mak memang sungguh-sungguh nak Sal pergi sekolah ke?” tanya aku terpinga-pinga merenung wajah serius emak.

Dari air muka emak, memang aku tahu emak tak main-main. Tapi kenapa sekolah? Kalau halau aku ke pejabat aku tak hairan pula tapi, sekolah? Takkan emak dah nyanyuk? Emak muda lagi. Baru 53 tahun.

“Memang sakit jiwa kalau melayan kamu ni. Kamu dengan ayah kamu sama saja, bergurau tak kena tempat.” Emak menggeleng kepala.

Sebaik saja emak menyebut perkataan ‘ayah’ serta-merta jantung aku seakan terhenti berdegup. Aku menelan air liur sayu, namun lekas-lekas aku menghalau rasa sayu itu.

“Tapi, buat apa Sal ke sekolah? Ada majlis apa? Kenapa mak tak cakap awal-awal, kalau tak Sal boleh minta cuti. Kalau Sal minta EL nanti tak fasal-fasal bos Sal mengamuk.” Aku mencemik.

Dan sekali lagi emak menjeling. Kali ini jelingannya sangat tajam. Aku memandang wajah emak. Tak pernah aku tengok emak menjeling macam tu. Ini memang nak marah sangat ni!

“Eh! Budak ni memang nak kena!”

Gedebuk aku kena hempuk dengan bekal di tangan emak.

“Mak sakitlah!” jerit aku mengosok-gosok lengan.

“Ni hati mak lagi sakit nak melayan kamu ni! Dah berbuih mulut mak suruh kau pergi tukar baju. Masih nak main-main lagi!” jerit mak pula.

Sekali lagi aku terpinga. Memang emak betul-betul nak suruh aku pergi sekolah ni. Tapi ada majlis apa? Kalau majlis perjumpaan bekas pelajar tu lambat lagi. Takkan diawalkan pula? Atau, emak ada nak hantar tempahan makan ke sekolah? Tapi setahu aku sudah lama emak tak ambil kerja-kerja membuat kuih untuk kantin sekolah ni.

“Termenung apa lagi ni!” Sekali lagi emak menjerit.

Aku tersentak.

“Okeylah, orang pergi tukar sekarang. Tapi tak apa kan kalau orang pakai baju kemeja ni dan seluar jeans? Atau perlu pakai baju kurung?” tanya aku.

Aku terus memandang emak. Kalau setakat nak hantar emak ke sekolah aku pakai selekeh pun tak apa, tapi kalau emak nak suruh aku masuk ke pejabat sekolah kena pakai yang sopan sikit. Kalau bertembung dengan bekas guru aku dulu, tak adalah malu nanti.

Bulat mata emak memandang aku.

“Sal!”

Jeritan emak bergema satu rumah, silap-silap satu taman pun boleh dengar suara emak.

“Apa bising-bising ni? Dari tadi abang dengar, tak habis-habis lagi ke kamu menyakat emak kamu ni?”

Tiba-tiba terdengar satu suara yang sangat-sangat aku kenal dan sangat-sangat aku rindu. Tiba-tiba sahaja bulu roma aku meremang. Aku memandang wajah emak.

Tak mungkin!

Emak tersenyum sinis pada aku, membuat isyarat muka yang sudah lama aku tak pernah lihat emak buat. Isyarat seperti ‘Hah, padan muka!’

“Abang, tolong tegur anak awak ni. Nak bergurau tak kena tempat,” emak menjeling.

Serentak itu jantung aku berdegup kencang. Tangan aku mula terketar-ketar. Perlahan-lahan aku menoleh. Sebaik sahaja aku melihat wajah itu, mulut dan mata aku terbuka luas. Rahang aku dah mencecah lantai!

“Ayah?” Aku berbisik.

Terkejut melihat ayah berdiri tidak jauh dari meja. Ayah menaikkan keningnya pada aku.

 “Ayah?” Ulang aku lagi seakan tidak percaya.

Aku bingkas bangun, menolak kasar kerusi yang sedang aku duduk. Tercegat merenung wajah ayah. Aku segera mengosok mata berkali-kali, namun ayah tetap berada di depan aku. Kamudian, berkali-kali aku cubit lengan dan pipi. Memang terasa sakit. Ini bermakna aku tak bermimpi! Aku memandang emak dan ayah bersilih ganti.

“Kamu ni kenapa Sal?” tanya emak, wajahnya kelihatan cemas.

“Mak…” panggil aku sebak. “Ayah mak… ayah!” Aku menoleh pada ayah dan emak bersilih ganti.

“Ya, mak tahulah itu ayah. Kamu ni kenapa? Macam nampak hantu?” Kali ini suara emak mendatar.

“Memang itu ayah ke mak?” soal aku lagi tak percaya.

Tiba-tiba aku teringkatkan siri supernatural yang baru bulan lepas aku tonton kesemua musim ke lima. Dalam musim itu, Dean hidup kembali. Keluar dari kubur. Dalam kepala aku mula terbayang salah satu episod dari supernatural di mana ahli keluarga yang sudah mati hidup kembali dan pulang ke rumah.

Tapi, itu cerita, memang karut, sekarang bukan cerita, realiti. Macam mana, ayah… boleh… ada… depan aku? Aku sedang bermimpikah?

“Mak, cepat kejutkan Sal mak, cepat mak!”

Air mata aku mula berlinang. Andai benar apa yang aku alami kini adalah mimpi. Ini bermakna, inilah mimpi yang paling indah yang aku inginkan, tapi…

Gedebuk! Sebijik tumbukan berpadu dari emak hinggap di lengan aku. Sakitnya!

“Dah bangun?” Emak menjeling sinis.

Aku menoleh pada emak. Tak berubah. Aku masih berdiri di ruang makan, berdepan dengan ayah yang kelihatan terpinga-pinga dan wajah emak masih bengang seperti tadi.

“Sal tak mimpi?”

Aku memandang wajah ayah. Terharu. Tiba-tiba air mata aku kembali berlinang. Tanpa menunggu lama aku meluru ke arah ayah. Peluk ayah sekuat-kuatnya.

“Ayah, Sal rindu ayah.” Ujar aku teresak-esak. Terus memeluk ayah, aku akan peluk ayah sepuas-puasnya.

Mana mungkin aku dapat peluang ini lagi. 10 tahun lalu ayah meninggalkan kami buat selama-lamanya. Sejak detik itu tidak pernah sehari pun aku lupakan ayah. Setiap saat, ayah sentiasa di hati aku. Ayahlah lelaki yang paling rapat dan terbaik dalam hidup aku. Ketika menerima berita pemergian ayah, aku demam hampir sebulan. Sehingga kurus kering.

“Sal…” panggil ayah menyentuh bahu aku.

Suara ayah kedengaran seperti teragak-agak. Aku mendongak. Terlihat ayah tersenyum. Air mata aku semakin laju turun membasahi pipi. Aku tak peduli sama ada ini mimpi atau pun apa sekali pun, tapi aku sangat-sangat menghargai waktu ini.

“Sal, ayah tahu Sal rindu ayah. Ayah pergi seminggu je, takkan sampai macam ni Sal sambut ayah? Selama ni kalau ayah balik dari outstation tak pernah pun Sal nak peluk macam ni?” Ayah memandang kehairanan, kemudian ayah memandang emak. Aku turut memandang emak.

“Mak tak mahu peluk ayah ke?” Tanya aku pada emak yang berkerut dahi memandang aku. Ayah ketawa mengekek.

“Awak nak peluk abang tak?” Tanya ayah dengan nada bergurau sambil membuka lengannya mengajak emak.

Bulat mata emak merenung ayah, mulut emak terbuka luas. Aku ketawa lucu melihat wajah emak.

“Mak cepatlah! Sekali boleh peluk ayah, baik kita peluk sepuas-puasnya.” Panggil aku menghulur tangan aku pada emak yang jaraknya tidak jauh dari aku.

Aku terus menarik tangan emak dan mengajak bersama aku memeluk ayah. Aku tahu, selama ini emak sangat rindukan ayah. Walau pun emak senyum, aku tahu hati emak sunyi semenjak pemergian ayah.

Emak ketawa gembira, ayah turut sama ketawa. Alangkah indahnya saat ini, andai boleh dihentikan waktu akan aku  hentikan saat ini selama-lamanya. Namun, itu semua hanya angan-angan. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan satu jeritan yang nyaring.

“Tidak!”

Ayah dan emak segera menoleh. Ayah segera melepaskan pelukkan. Aku tahu, mesti Sara pun terkejut melihat ayah. Biarkan, aku nak terus peluk ayah.

“Kenapa nak berdrama pagi-pagi ni?” Terdengar suara kecil sinis menyapa.

Aku kenal suara tu, suara yang tak mungkin aku akan dengar sampai bila-bila. Aku segera menoleh. Dan sekali lagi aku tergamam.

“Tidak!” Giliran aku pula menjerit, terkejut melihat Sara. 

Serentak itu terasa tubuh aku lemah selemahnya. Dua kejutan dalam masa yang sama. Mana mungkin mampu aku menerimanya. Ayah yang sudah meninggal dunia tiba-tiba muncul di ruang makan dan adik aku Sara tiba-tiba sahaja menjadi budak kecil!

Tiba-tiba saja pandangan aku mula gelap-gelita. Hanya kedengaran suara emak memanggil-manggil nama aku.

Bersambung


No comments:

Post a Comment

Popular Posts