Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Viva Sakura : Bab 1 - 5




Bab 1


Sakura Alia, gadis Melayu berdarah Korea adalah antara beberapa orang pelajar Malaysia yang turut sama meraikan kemenangan setelah 5 tahun menimba ilmu di bumi ginseng itu. Wajah mereka berseri-seri disirami kegembiraan. Di mana-mana sahaja terdapat kilatan flash kamera yang merakam kenangan sempena meraikan detik-detik kegembiraan itu dan ada juga yang bertukar-tukar alamat dan nombor telefon sesama mereka.

Namun keadaan yang tadinya begitu meriah di dewan Universiti Hongik yang terletak di tengahtengah bandar Seoul itu kini bertukar suram. Suasana sayu dan terharu pula memenuhi hampir setiap sudut. Ada juga di antara mereka yang menitiskan air mata kerana sayu untuk berpisah dengan rakan yang sudahsebati dengan kehidupan di Seoul.

Di satu sudut, Sakura hanya diam memerhati. Entah kenapa hatinya belum lagi terusik dengan perpisahan itu. Mungkin juga dipengaruhi oleh keputusannya untuk menyambung kembali pencariannya yang masih belum berhasil, menyebabkan dia akan terus berada di bumi ginseng itu.

Sakura menghela nafas panjang. Air coklat panas di cawan polistirena yang ada di tangannya dihirup perlahan. Kalau ikutkan hatinya, mahu sahaja dia keluar secepat mungkin dari dewan itu. Tidak sanggup melihat tangisan sayu rakan-rakannya yang semakin bergema.

“Sakura… kenapa kau tak sertai mereka?” soal Kim Hea, salah seorang pelajar Korea yang begitu rapat dengannya.

Sakura tersenyum sambil menarik nafas dalamdalam. “Nanti aku pula yang menangis lebih teruk daripada mereka,” ujar Sakura dalam bahasa Korea sambil tergelak kecil.

Kim Hea tersenyum mendengar jawapan Sakura. Dia tahu rakannya itu hanya bergurau. “Kau ni tak pernah berubah, Sakura.” Kim Hea mengeluh perlahan. Kim Hea amat arif bahawa Sakura seorang yang keras hati. Sepanjang mereka berkawan, tidak pernah sekali pun dia melihat gadis itu menangis.

Pada awal perkenalan mereka, Kim Hea menyangka Sakura merupakan salah seorang pelajar tempatan. Warna kulitnya yang putih serta rupa paras yang mirip gadis Korea menyebabkan ramai pelajar menyangka Sakura berasal dari Korea. Sakura memiliki sepasang mata besar dan bundar. Alis matanya yang hitam dan terbentuk serta bulu matanya yang panjang dan lebat sering menjadi tarikan.Malah kerana kelebihan itu dia dituduh melakukan pembedahan plastik. Setelah berkenalan dengan lebih rapat, barulah mereka tahu bahawa gadis itu berasal dari Malaysia dan berbangsa Melayu.

“Apa yang kau menungkan, Kim Hea?” Soal Sakura setelah melihat Kim Hea merenung jauh sambil tersenyum sendirian. Kim Hea tergelak lalu memandang wajah sahabatnya itu.

“Aku teringat masa kita mula-mula kenal dulu. Aku sangka kau buat pembedahan plastik pada mata kau tu,” terang Kim Hea mengimbas kembali kenangan lalu.

Serentak itu terdengar tawa Sakura berderai. “Kim… kalau kau nak tahu, sampai sekarang kalau aku pandang mata aku di cermin, aku teringat pertanyaan kau tu. Masa tu kau beria betul mahu buat pembedahan, kan?”

Kini Kim Hea pula tertawa teringatkan kenangan itu. “Aku terlalu tertarik dengan mata kau sebab tu aku bersungguh-sungguh. Nasib baik teman lelaki aku sukakan mata asal aku ni. Kalau tak, dah lama mata aku jadi cantik macam kau...” terang Kim Hea.

Sakura tersenyum lalu menggelengkan kepalanya. Pembedahan kecantikan bagi muda-mudi di Korea sudah menjadi perkara biasa. Permintaan yang tinggi untuk pembedahan kecantikan menyebabkan wujudnya banyak salon kecantikan yang menawarkan pelbagai pakej untuk menarik minat pelanggan. ‘Mereka boleh buat apa saja tanpa fikir soal dosa,’ desis hati Sakura.

“Tak perlu kau nak ubah apa-apa, Kim… Kau dah cantik. Sebenarnya kita akan rasa lebih bahagia kalau lelaki tertarik kepada kita kerana cinta, bukan rupa paras kita. Barulah ikhlas.”Kim Hea mengangguk setuju. 

Kata-kata itu jugalah yang selalu dikeluarkan oleh Sakura setiap kali dia menyuarakan keinginannya itu. Setiap kali melihat promosi kecantikan, setiap kali itulah hati Kim Hea tergoda untuk melakukannya. Cuma dia bernasib baik kerana Sakura selalu membuka mindanya mengenai erti kecantikan sebenarnya. Kalau tidak sudah pasti duit simpanannya banyak dihabiskan semata-mata untuk kelihatan cantik.

“Kecantikan hati menjadikan kamu cantik...” ujar Kim Hea perlahan mengulangi kembali kata-kata Sakura dulu.

“Kau masih ingat kata-kata tu?” soal Sakura sedikit terperanjat.

“Mestilah aku ingat. Sebab aku tak pernah terdengar sesiapa pun yang nasihat aku macam tu. Cuma kamu sorang, Sakura.” Jelas Kim Hea sedikit sebak. Terharu dengan keikhlasan serta kejujuran Sakura sepanjang persahabatan mereka.

“Jangan beremosi pula... nanti kau pula yang menangis!” jerit Sakura yang tersenyum lalu melarikan diri dari Kim Hea.

“Hei! Kau nak ke mana, Sakura? Kau pun nak menangis, kan? Sebab tu kau lari?” jerit Kim Hea sambil tergelak melihat Sakura berlari anak ke arah tengah-tengah dewan.

Dari jauh kelihatan Sakura menunjukkan isyarat untuk mengambil minuman. “Sakura, tak salah kalau kau menangis...” bisik Kim Hea sendirian.



Bab 2



Kim, jauh lagi ke? Aku dah penat ni!” rungut Sakura ter
mengah-mengah. Beg pakaian yang disandang di kedua-dua bahunya dihempaskan ke jalan.

“Cepat! Kalau lambat jalan ni semakin sesak dengan orang ramai!” jerit Kim Hea yang sudah pun berada jauh di hadapan.

Pasar bebas di kawasan Hongdae semakin dipenuhi pengunjung. Penjual yang menjual barang di pasar itu terdiri daripada para pelajar Universiti Hongik. Mereka menjual hasil kreativiti mereka sendiri seperti barangan perhiasan wanita, pakaian, beg serta pelbagai barangan kraf tangan yang cantik dan unik.

Sakura mendengus kasar. “Perempuan ni, kalau berjalan bukannya nak tunggu orang...!” Bebel Sakura menggunakan bahasa Malaysia. 

Beberapa orang yang lalu di hadapan Sakura kelihatan mengerutkan wajah apabila gadis itu mengeluarkan bahasa yang agak asing di pendengaran mereka.

“Kim… tadi kau cakap dari Hongik cuma jalan kaki. Tapi kenapa guna subway?” soal Sakura sedikit tidak puas hati. 

Namun dia segera berlari anak mencelah masuk ke dalam tren yang sudah pun berbunyi menandakan beberapa saat lagi pintu itu akan tertutup. Mereka berdua memilih untuk berdiri berhampiran pintu keluar supaya mudah meloloskan diri ketika keluar nanti. Kelihatan penumpang sedang asyik melayan perasaan masing-masing namun ada juga yang sedang asyik membaca bahan bacaan yang dibawa. ‘Membaca seolah-olah menjadi satu tradisi bagi mereka,’ desis hati Sakura lalu kembali menatap pemandangan di luar.

Subway merupakan salah satu sistem pengangkutan yang paling digemari di Korea kerana dapat menghubungkan ke setiap tempat di sekitar
Seoul dan ini memudahkan warga Seoul untuk pergi ke mana jua tempat yang ingin dituju.

Kim Hea tersenyum. “Kalau barang kau ni tak ada, boleh jalan kaki. Tapi tengok ni...” balas Kim Hea sambil memuncungkan bibirnya ke arah barang-barang milik Sakura.

Sakura menatap wajah Kim Hea lalu tersengih. ‘Betul juga! Mahu tercabut bahu aku ni...’ bisik hati Sakura.

“Okey cepat, kita dah sampai!” gesa Kim Hea

sambil mengambil barang yang dibawanya tadi. Mulut Sakura melopong. “Hah? Dah sampai? Sekejapnya!” balas Sakura lalu segera membimbit kedua-dua beg yang dibawa tadi.

“Dari Hongik ke tempat ni cuma beberapa stesen saja,” jelas Kim Hea, segera meluru ke arah pintu yang terbuka dan berjalan keluar dari stesen kereta api. “Sekejap lagi kita sampai.” Kim Hea bersuara setelah melihat Sakura termengah-mengah membawa barang-barang keperluannya. 

Mereka memasuki satu kawasan yang terdapat deretan kedai menjual pelbagai barang harian serta kedai makan di kiri dan kanan mereka. Kali ini Kim Hea melalui lorong kecil yang sedikit meninggi.

“Kau nak bawa aku ke mana, Kim? Aku dah nak pengsan ni!” rungut Sakura yang keletihan. Sakura terbongkok-bongkok menahan penat mendaki bukit, sedang matanya melilau memandang sekeliling mereka yang kini berada di kawasan tempat tinggal di pinggir bandar.

“Okey dah sampai!” jerit Kim Hea gembira. Wajahnya langsung tidak kelihatan penat jika dibandingkan dengan Sakura yang sudah pun
semput. 
Sakura meneliti kawasan sekeliling. Kelihatan beberapa penduduk sedang berehat sambil berbual sesama sendiri.

“Ini kawasan kejiranan Hongdea. Kebanyakan kedai di bawah sana milik penduduk di sini. Mereka lebih selesa tinggal di tempat yang tak jauh dari tempat mereka berniaga,” terang Kim Hea tanpa diminta oleh Sakura.

***

Kim Hea mengetuk pintu rumah itu beberapa kali namun tiada jawapan. Sakura berdiri di sebelah Kim Hea sambil memerhati sekeliling.
Beberapa orang jiran memerhati gelagat mereka sambil berbisik-bisik. Mungkin mereka tidak pernah melihat wajah Kim Hea dan Sakura di kawasan tersebut sebelum ini.

“Mahu cari siapa?” soal jiran di sebelah rumah. Kedudukan rumah mereka yang berdekatan menyebabkan bunyi ketukan itu boleh didengarinya.

“Saya mahu jumpa Encik Takai,” jelas Kim Hea sambil menunduk hormat.

“Dia keluar… mungkin ke kedai. Sekejap lagi mungkin dia balik,” ujar orang tua itu lalu menutup pintu rumahnya.
Sakura hanya tersenyum. Bahasa Korea yang digunakan oleh orang itu agak janggal di telinganya.

“Kita duduk di sana dulu sementara tunggu Encik Takai datang.” Cadang Kim Hea lalu menuju ke arah sebuah pangkin yang tersedia tidak jauh dari pintu pagar rumah tersebut. Sakura hanya menurut. 

Sakura memerhati keadaan rumah di kawasan itu yang kesemuanya memiliki bentuk yang sama. Rumah kayu dua tingkat yang agak kecil dibina begitu rapat antara satu sama lain. Ada yang membina pagar dan ada juga tidak berpagar. Sakura kembali merenung rumah Encik Takai.

‘Ada tangga yang tinggi dari luar rumah yang menghubungkan bahagian atas rumah itu, mungkin untuk kegunaan penyewa di bahagian atas,’ bisik hati Sakura.

“Okey ke bilik sewa kat sini? Tak bahaya ke? Encik Takai ni baik ke?” Soal Sakura bertalu-talu, membayangkan hatinya
yang sedikit risau. Selama ini dia tidak pernah menyewa seorang diri. Selalunya pasti ada rakan lain yang menyewa bersama.

“Jangan risau, dia baik orangnya... tapi tak ramah sangat,” jelas Kim Hea bersahaja.

“Maksud kau, Encik Takai ni garang ke?” soal Sakura lagi. Wajahnya berkerut.

Kim Hea tergelak kecil melihat reaksi wajah Sakura yang kelihatan takut. “Lebih baik garang daripada jahat, kan?” soalnya seraya melirik pada Sakura. Mulutnya tersenyum separuh mengusik.

“Hah! Itu pun Encik Takai...” ujar Kim Hea.

Sakura memandang ke arah jalan. Kelihatan seorang lelaki tua sekitar usia 60 tahun berjalan perlahan-lahan mendaki bukit di hadapan kawasan rumah itu. Wajah lelaki itu ditenung lama. Air muka Encik Takai kelihatan agak dingin. Tiada garis senyuman di bibirnya tatkala disapa oleh Kim Hea.

***

“Terima kasih Kim. Aku sukakannya,” ujar Sakura sambil memandang sekeliling bilik itu. 

Di bahagian atas rumah milik Encik Takai hanya mempunyai dua bilik iaitu satu bilik yang disewa oleh Sakura dan satu lagi bilik kosong yang hanya dipenuhi dengan barang lama. Bilik milik Sakura agak luas. Terdapat dua pintu di bilik itu. Satu pintu yang untuk turun ke ruang dalam rumah dan satu lagi pintu untuk keluar menggunakan tangga kedua yang tersedia di luar bilik itu.

Encik Takai lebih selesa tinggal di bahagian bawah. Katanya dia tidak larat untuk mendaki tangga tiap-tiap hari. Disebabkan itu dia sengaja
menyewakan bahagian atas kepada orang lain. 

“Kalau kau berpuas hati, aku pun lega. Tapi aku harap kau tak kisah sebab kau perlu berkongsi tandas dengan penghuni bilik satu lagi tu.”

“Tak apa... tadi Encik Takai cakap bilik tu tak ada penghuni buat masa ni. Jadi aku tak perlu berkongsi. Tapi kalau dia ada ambil penyewa lain, terpaksalah kongsi…” balas Sakura tersenyum.

“Baiklah, kalau kau puas hati, aku balik dulu. Nanti ibu aku fikir aku merayau ke mana pulak.”

“Kim… kau tidur di sini aje. Lagipun ni malam pertama aku di rumah ni. Takut juga aku tinggal sorang.” Sakura separuh merayu lalu tersengih mempamerkan barisan gigi putihnya yang tersusun rapi. Kim Hea tergelak besar.

“Kau takut? Setahu aku, kau ni tak pernah takut!” perli Kim Hea seakan tidak percaya dengan apa yang didengarinya sebentar tadi.

“Kim, kau kalau tak perli aku tak boleh ke?” Sakura mencebik.

“Okey… kau boleh balik. Aku tak kisah pun!” jerit Sakura sambil menolak badan Kim Hea keluar.

Kim Hea ketawa mengekek. “Mengaku aje kau memang penakut, Sakura.” Bidas Kim Hea mengejek sambil memuncungkan bibirnya ke arah Sakura. Sakura tertawa melihat gelagat Kim Hea yang keanak-anakan.

“Aku bukan takut, cuma aku nak kau tolong aku kemaskan barang-barang ni,” balas Sakura tidak mahu mengalah. Tangannya menuding ke arah beberapa buah beg yang masih belum dibuka.

“Kalau macam tu, baik aku balik cepat. Nanti tak pasal-pasal jadi kuli kau pula.” Kim Hea segera meluru turun menggunakan tangga di luar bilik Sakura.

“Baiklah, selamat malam!” jerit Kim Hea sambil melambaikan tangannya pada Sakura yang memandang dari beranda. Sakura tersenyum sendirian. Belum pun sempat dia mengucapkan terima kasih, Kim Hea sudah pun berada di bawah.

‘Nanti kalau aku dapat gaji pertama, aku belanja kau, Kim...’ bisik hati Sakura perlahan.



Bab 3



Photo From : http://www.seoulemio.com


Malam itu Sakura tertidur kepenatan. Dia hanya tersedar apabila badannya menggigil kesejukan. Nasib baik bilik itu disediakan alat pemanas, dapat juga mengurangkan sedikit rasa sejuk yang mencengkam.

Bunyi bising kenderaan lalu-lalang mengejutkan Sakura dari lena. Jam di sisinya direnung seketika.

‘Hah! Dah pukul sembilan pagi? Dah lewat ni!’ gumam Sakura. Dia bingkas bangun dan mencuci mukanya.

Tingkap bilik dibuka seluasnya. Terasa udara dingin menyapa lembut kulit wajahnya. Cuaca di Seoul
memang jauh berbeza dengan Malaysia.

‘Sudah lima tahun aku di Seoul, rindunya suasana Malaysia...’ bisik hati Sakura.

Sejurus kemudian teringat kembali perbualan dengan ayahnya semalam.

“Alia, baliklah... ayah dah rindu sangat ni. Mesti anak ayah dah makin besar, kan?” Terdengar suara sayu Jamil di hujung talian. Mendengar tawa anak gadisnya, sudah cukup menenangkan hati Jamil yang kesunyian kerana berjauhan dari Sakura Alia. Satu-satunya anak yang dimilikinya.

“Ayah, bukan Alia tak nak balik. Nanti kerja selesai... Alia balik, okey?” pujuk Sakura lembut.

Bukan dia tidak kasihan pada ayahnya itu, cuma dia perlu ambil kesempatan ketika berada di bumi Korea untuk mencari sesuatu yang hilang. Sesuatu yang sudah lama bertandang di lubuk hatinya. Kerana azam itulah dia berada di Korea kini. Bumi yang pada awalnya begitu asing baginya, kini menjadi sebahagian daripada memori hidupnya.

Mana mungkin dia melupakan kenangan bersama-sama rakan menimba ilmu pengetahuan, belajar erti berdikari, persahabatan, budaya serta bahasa yang berbeza dan juga tempat yang mengajarnya tentang kasih sayang.

Cuma cinta sahaja yang belum singgah di hati gadis itu. Bukan tidak ada yang mencuba, namun
kesemua yang menghulurkan cinta langsung tidak melekat di hatinya. Dan kebanyakan yang menghulurkan cinta adalah dari kalangan jejaka Korea, bukannya dari kenalan berbangsa Melayu yang sama-sama menuntut di bumi asing itu.

Sakura sendiri hairan apakah yang menarik minat mereka terhadap dirinya yang serba sederhana itu
jika dibandingkan dengan pelajar wanita berbangsa Korea yang ternyata lebih hebat dan bergaya. Namun perbezaan asal usul dan budaya bukan menjadi batu penghalangnya. Cuma Sakura begitu berhati-hati memilih lelaki yang bakal menghuni hatinya.

***




Pic from : bebop-guesthouse
Pagi itu Sakura kelam-kabut bersiap. Satu temu duga yang perlu dihadiri membuat hatinya serba tak
kena. Beberapa pasang blaus cuba dipadankan dengan seluarnya, namun ada sahaja yang tidak berkenan di hati.

Jika sebelum ini Kim Hea menjadi penasihatnya dalam soal pakaian, namun kini penasihat tidak bergaji
itu tidak tinggal bersamanya lagi. Setelah puas menilik akhirnya dia memutuskan untuk mengenakan blaus berwarna merah jambu dan seluar slack kelabu.

‘Harap-harap aku dapat kerja ni. Tak kisah berapa gajinya, asalkan boleh bayar bilik ni...’ Bisik Sakura sambil merenung wajahnya pada cermin kecil yang tergantung di dinding bilik tersebut. Rambutnya diikat tinggi agar kelihatan lebih kemas manakala wajahnya pula hanya disapu dengan pelembap, begitu juga dengan bibir mungilnya. Semenjak menjadi salah seorang penghuni bumi Korea, pelembap menjadi teman rapat Sakura walau ke mana sahaja. Cuaca yang agak sejuk menyebabkan kulitnya mudah kering dan memerlukan lebih banyak pelembap.

Alunan bunyi muzik instrumental yang sengaja dipasang menggunakan telefon bimbitnya, membuai
perasaan Sakura. Alunan yang perlahan diiringi bunyi piano benar-benar membuat hati Sakura dihambat rasa sayu.

‘Walau apa terjadi, aku perlu cari juga... walau terpaksa ke hujung dunia. Selagi aku masih bernafas, aku takkan mengalah.’ Bisik hati Sakura. Sakura segera menutup bunyi irama syahdu itu. Jika diteruskan, pasti air mata yang akan mengalir.

‘Tidak, aku takkan menitiskan air mata ini. Selagi aku belum temui dia, selagi itu aku akan tahan sebak
di hati ini.

***

“Selamat pagi Encik Takai.” Ucap Sakura sambil membongkokkan sedikit tubuhnya sebagai tanda hormat, sepertimana lazim dilakukan oleh masyarakat Korea.

Salam Sakura hanya disambut dengan tundukan dari Encik Takai. Sakura menelan air liur. Sikap dingin Encik Takai merisaukan hatinya.

Tanpa menunggu lebih lama, Sakura segera berlari anak menuju ke jalan besar. Dia perlu segera ke subway supaya tidak terlambat sampai ke All Shoes Boutique, salah satu butik kasut yang terkenal di Bandar Hongdae. Sakura amat berharap dia berjaya mendapat kerja itu.

“Kamu bukan warga Korea?” soal Rachel, pengurus butik itu sambil membelek butir peribadi dan kemudian kembali menatap wajah Sakura di hadapannya. Sakura mengetap bibirnya. Dia faham, jika soalan itu diutarakan, pasti dia tidak akan mendapat kerja tersebut. Belum pun sempat Sakura menjawab pertanyaan itu, Rachel kembali bersuara.

“Malaysia?” soal wanita di hadapannya. Sebutannya agak pelik tetapi Sakura dapat menangkap maksud sebutan wanita itu.

“Saya sangka kamu warga Korea. Macam mana kamu mahu bekerja di sini, sedangkan kamu perlu
melayan setiap pelanggan yang kebanyakannya penduduk tempatan dan warga asing?” soal pengurus tersebut dengan wajah serius.

“Tapi saya sudah lima tahun di Korea… Saya boleh berbahasa Korea dan Inggeris. Saya lihat ramai
pelancong Inggeris datang ke sini, jadi saya rasa ianya tidak menjadi masalah bagi saya.” Ucap Sakura
menggunakan bahasa Korea dengan begitu fasih dan lancar.

Rachel mengangguk setuju dengan pendapat Sakura. “Kamu pasti bahasa Korea kamu lancar? Saya
tak mahu timbul sebarang masalah dengan pelanggan nanti,” soalnya lagi masih ragu-ragu.

Sakura mengangguk laju. “Saya yakin bahasa Korea saya lancar dan tiada sebarang masalah. Cik Rachel jangan risau...” ujar Sakura dengan begitu yakin.

“Baiklah… memandangkan kami hanya memerlukan pekerja sementara sahaja, kami menerima
kamu bekerja di sini mulai hari ini.” Sakura tergamam. Dia terkejut dan tidak menyangka dia diterima kerja pada hari itu juga. Sakura menarik nafas lega dan mengucapkan terima kasih kepada Rachel yang sudi menerimanya bekerja.

***

Hai budak baru, kau dari mana?” soal Sun Yeong, salah seorang pekerja di situ.

Melihat dari segi rupa, Sakura yakin gadis di hadapannya itu sebaya dengannya. Pandangan yang dilemparkan agak bengis, seperti tidak menyenangi kehadiran Sakura.

“Malaysia...” jawab Sakura sepatah sambil tersenyum.

“Oh, jadi kamu orang asing ya? Kamu tahu, dulu kami pun ada warga asing yang bekerja di sini. Tapi
tak lama,” jawab gadis itu sedikit mengejek.

“Kenapa tak lama?” soal Sakura kehairanan.

“Kebanyakan orang asing yang kerja di sini cumamahukan wang, bukan untuk masa depan. Jadi mereka mencuri barang dari kedai ini dan dijual keluar.” Jawab gadis itu sambil menjeling tajam. Dia
memang tidak puas hati kerana Sakura diterima bekerja di situ. 

Dalam keterpaksaan Sakura tersenyum.“Kamu jangan risau, saya bukan begitu.” 

Gadis itu tersenyum sinis. “Mula kerja memang macam tu, bila dah lama nanti mula nampak tembelang kamu.”

Sakura menarik nafas lalu melepaskannya dengan kasar. Belum pun sempat dia membidas katakatan rakan sekerjanya itu, tiba-tiba muncul seorang pelanggan. Tanpa berlengah, Sakura segera mendapatkan pelanggan tersebut. ‘Tak guna aku nak bertekak dengan manusia busuk hati tu!’ bisik hati Sakura geram.

Bab 4




Pic from 


“Ryan tolong pilihkan, I keliru tak tahu warna apa yang sesuai untuk kulit I.” Rengek Jessy manja sambil memaut erat lengan Ryan.

Ryan tersenyum lembut. Tangannya memegang erat jari jemari Jessy seperti bimbang kekasih hatinya itu akan dicuri orang. “Semua warna sesuai untuk you, Jessy. Jangan risau! You akan tetap cantik di mata I,” luah Ryan dengan penuh romantik.

Terdengar tawa manja Jessy. Dia cukup senang apabila dipuji sebegitu. Itu yang membuatkannya lemah setiap kali berhadapan dengan Ryan, seorang jejaka tinggi lampai, memiliki sepasang mata redup yang mampu mencairkan mana-mana hati wanita yang memandang. Senyuman Ryan yang manis serta bicaranya yang lembut dan romantis menjadikan Jessy wanita yang paling bertuah dapat menawan hati jejaka segak itu.

Di satu sudut kelihatan Sun Yeong dan seorang lagi pekerja berbisik sambil mencuri pandang ke arah pasangan kekasih itu. Menyedari kehadiran Ryan Lee, anak ahli perniagaan yang berjaya di Seoul, mereka menjadi kaku. Seakan tidak percaya jejaka idaman gadis Korea kini berada di hadapan mereka. Terasa lemah seluruh anggota badan mereka sebaik sahaja Ryan melemparkan senyuman pada mereka berdua.

“Maaf, boleh dapatkan warna merah untuk kasut ni?” soal Ryan pada Sun Yeong yang menghampiri mereka. Sun Yeong segera mengangguk lantas tersenyum lembut.

“Encik, sila duduk sementara kami ambilkan kasut ini.” Ucap Sun Yeong sopan dan lembut.

Sakura mencebik. ‘Amboi, boleh pulak bersopan.’ Cemuh hati Sakura geram. Dia yang berada di sebalik rak kasut dari tadi mencuri dengar perbualan pasangan itu. Matanya mencuri pandang ke arah lelaki tinggi lampai itu.

Seakan menyedari dirinya diperhatikan, Ryan menoleh ke arah rak kasut berhampirannya. Serentak itu pandangan mereka bertembung. Sakura tergamam. Kakinya terasa berat untuk melangkah apabila matanya terpaku dengan renungan mata lelaki itu. Terasa ada satu aliran rasa yang sukar untuk ditafsirkan. Rasa itu mengalir pantas terus ke hatinya, sekali gus menyebabkan jantungnya mula berdegup kencang. Sakura segera mengalihkan pandangannya dari terus menatap wajah itu. Serta-merta perasaan malu mula menebal di hati.

“Ryan…” panggil Jessy menghampiri teman lelakinya itu. Ryan menoleh lalu tersenyum. Tangan Jessy segera diraih lalu menuju ke arah sofa yang disediakan di tengah-tengah ruang kedai itu.

Handsomenya, siapa dia ni? Artis Korea ke?’ Sakura berbicara sendiri.

Sekali lagi dia mencuri pandang di celahan rak kasut di hadapannya. Melihat dari segi penampilan lelaki itu yang berkemeja serta berkot, Sakura yakin lelaki itu bukan orang sembarangan.

‘Pakaiannya kelihatan begitu mahal,’ gumam hati Sakura.

“Sakura, kau buat apa kat sini? Cepat carikan kasut yang Encik Ryan inginkan!” suruh Sun Yeong
separuh berbisik. Segera Sakura ke bahagian belakang butik mencari warna yang diinginkan oleh teman wanita lelaki itu.

‘Encik Ryan? Macam mana mereka tahu nama lelaki tu? Pelanggan tetap kedai ni ke atau dia memang artis?’ Hati Sakura tertanya-tanya sambil termangu sendirian di dalam bilik stor kedai itu.

‘Ah, biar siapa pun dia... yang penting mana kasut ni!’ desis hati Sakura lalu menumpukan perhatiannya untuk mendapatkan kasut yang diinginkan. Dan syukur, Sakura berjaya menjumpai kasut merah yang dikehendaki oleh kekasih Ryan itu.

“Terima kasih, sila datang lagi.” Serentak itu mereka menunduk hormat kepada pasangan kekasih itu.

Selepas pasangan itu melangkah keluar, mereka menarik nafas lega setelah hampir satu jam melayan kerenah Jessy yang agak cerewet. Sebaik sahaja Ryan dan Jessy berada di luar kedai, Sun Yeong dan Yeu Mi segera meluru ke arah cermin memerhati Ryan sehingga hilang dari pandangan mereka.

“Wah, beruntungnya gadis tu!” ucap mereka sambil tersenyum sipu.

Sakura menjeling seketika lalu mencebik. Dia cukup menyampah melihat reaksi gadis yang mudah tergoda melihat wajah yang kacak. “Rupa paras bukan segala-galanya...” ucap Sakura dalam bahasa Melayu lantas berlalu menuju ke arah stor.

Sun Yeong dan Yeu Mi saling berpandangan. Bahasa yang digunakan oleh Sakura langsung tidak mereka fahaminya. Mereka berdua mencebik pada Sakura. Itulah salah satu alasan kenapa mereka tidak suka orang asing bekerja di butik itu - bahasa yang berbeza.




Bab 5

Pic from

Waktu rehat yang diperuntukkan selama satu jam memberi ruang pada Sakura untuk berjalan-jalan sekitar kawasan tersebut. Terdapat deretan butik pakaian yang menawarkan pelbagai promosi serta fesyen yang terkini. 

Setelah penat berjalan, dia berehat di bangku yang disediakan di tepi jalan. Sakura begitu asyik melihat telatah dan reaksi orang yang lalu-lalang. Sekali-sekala dia tersenyum sendirian apabila ada di antara telatah orang ramai itu yang menggelikan hatinya.

‘Kosongnya hidup aku di sini, tapi terlalu berat kaki aku untuk melangkah dari bumi Korea ini. Adakah dia akan aku temui? Sudah lima tahun aku di sini, tak pernah aku berhenti mencari. Mungkin dia sudah tidak lagi berada di Korea.’ Bicara hati Sakura sendirian. Terasa sayu dan pilu menusuk jauh ke dalam hatinya.

“Ya ALLAH, jika dia sudah tiada, sekurangkurangnya bagi aku peluang untuk melihat di mana
pusaranya. Jika tidak berpeluang mengenali dia, berilah aku peluang mengetahui kisah dia...” Sakura
merintih sayu. Melihat anak-anak kecil yang begitu riang bersama ibu mereka, semakin menyesakkan hati Sakura.

‘Kenapa aku tidak diberi peluang bersama ibu?’ bisik hatinya perlahan.

“Alia… mak aku cakap kau ni anak luar nikah betul ke?” soal Nazmi ketika mereka masih di bangku sekolah rendah. Sakura termangu seketika.

“Anak luar nikah tu apa?” soal Sakura kebingungan. Dia benar-benar tidak mengerti apakah
maksud sebenarnya. Pecah berderai tawa rakan sekelasnya mendengar pertanyaan bodoh Sakura itu.

“Patut la bodoh, sebab kau anak luar nikah. Anak luar nikah pun tak tahu apa maknanya...” perli Nazmi lagi.

Sekali lagi Sakura ditertawakan. Ketika itu dia hanya mampu tersenyum hambar, tidak tahu apakah
yang patut diperkatakan lagi.

“Ayah, anak luar nikah tu apa?” Soal Sakura sebaik sahaja memasuki kereta ayahnya yang mengambilnya pulang dari sekolah. Jamil, ayahnya terkejut mendengar pertanyaannya itu.

“Kenapa Alia nak tahu? Dari mana Alia dengar perkataan ni?” Soal Jamil pula apabila rasa terkejutnya reda. Matanya membulat memandang Sakura.

Sakura mengeluh lembut. “Tadi kawan-kawan Alia cakap Alia ni anak luar nikah. Apa maksudnya ayah?” Dia merenung ayahnya, sabar menanti jawapan dari soalannya itu.

“Entahlah, ayah pun tak tahu. Alia jangan layan sangat mereka tu. Mereka sengaja nak menyakat
Alia.” Dalih Jamil lalu menghidupkan enjin kereta.

Sakura dapat rasakan seperti ada sesuatu yang ingin disembunyikan oleh ayahnya. Semakin usianya
menginjak dewasa, Sakura mula faham. Tetapi tidak pernah sekali pun soalan itu diajukan pada ayahnya. Bimbang jika hatinya sendiri akan terluka. Cuma ayahnya pernah menceritakan bahawa ibu
Sakura merupakan warga Korea. Mereka terpaksa berpisah kerana desakan keadaan. Dan sejak itu ibunya merajuk pulang ke Korea dan tidak munculmuncul lagi. Hanya itu sahaja yang diceritakan oleh ayahnya sedangkan dia ingin tahu lebih banyak lagi mengenai ibunya. Setiap kali bertanya, hanya keluhan berat terluah serta lupa menjadi alasan ayahnya itu dari terus bercerita tentang bekas isterinya itu.

Hanya sekeping gambar ketika ibunya berusia remaja berada dalam simpanan ayahnya. Dan gambar
itulah yang menjadi penemannya ketika ingin berbicara tentang hati dan perasaannya. Seolah-olah
ibunya mendengar segala rintihan hatinya. Semenjak mengetahui asal usul dirinya, Sakura
menanam niat untuk menyambung pelajaran di Korea dengan harapan dia berpeluang menjejaki ibunya. Dengan hanya berpandukan sedikit maklumat serta gambar tersebut, Sakura cuba menjejaki ibunya, namun jejak itu seolah-olah hilang begitu sahaja.
 Ada yang kata Yoon Eun, ibunya telah keluar negara. Ada pula maklumat yang diterima, ibunya masih berada di Korea. Cuma satu tempat sahaja yang dia belum berpeluang pergi; iaitu Pulau Jeju. Menurut maklumat terakhir yang diperoleh, Yoon Eun menetap di Pulau Jeju setelah pulang dari luar
negara. Namun Sakura tidak menaruh harapan tinggi untuk menemui ibunya, bimbang dia kecewa lagi. Sakura mengerling jam di pergelangan tangannya.

“Hah? dah masuk waktu kerja?” jerit Sakura. Dia bingkas bangun dan berlari.

“Habis aku kali ni!” rungutnya sambil mempercepatkan lagi langkahnya.
 
***
“Sakura, datang sini!” jerit Rachel kasar.
Dengan terkocoh-kocoh Sakura menuju ke arah kaunter. Belum pun sempat dia bertanya, Rachel segera bersuara tegas.

“Cepat minta maaf dengan Cik Jessy,” arah Rachel, kemudian dia menoleh seketika pada Jessy yang sedang menanti lalu dihadiahi satu senyuman manis pada wanita itu.

Wajah Sakura berkerut. Dia terus memandang pada Rachel, mengharap pengurusnya itu menjelaskan kesalahannya, namun pandangan Sakura dibalas dengan jelingan tajam.

‘Kenapa aku perlu minta maaf? Apa salah aku? Takkan terlewat dua minit pun nak marah macam ni?’
ngomel hati Sakura. Dia memandang sekilas pada wanita yang berdiri tidak jauh darinya.
 ‘Jessy? Bukankah dia ni perempuan yang datang bersama lelaki handsome tadi? Kenapa aku perlu minta maaf pulak! Aku cuma intai sikit saja teman lelaki dia, takkan salah kut?’ desis hatinya lagi.

“Kamu tunggu apa lagi, cepat minta maaf!” jerkah Rachel lalu menyiku Sakura yang berada di
sebelahnya. Jessy tersenyum sinis.

“Apa salah saya?” soal Sakura kehairanan. Nada suaranya diperlahankan agar lebih sopan. Wajah
Rachel ditenung mengharapkan penjelasan.

“Kalau kamu nak tahu, kasut yang kamu carikan tadi sudah rosak!” sampuk Jessy. Geram mendengar
pertanyaan Sakura tadi yang seperti tidak menghormatinya.

“Rosak? Siapa yang rosakkan?” soal Sakura, masih lagi terpinga. Jessy mendengus kasar.

“Kamu yang pilih kasut tadi, jadi kamu yang perlu bertanggungjawab!” Kali ini dia meninggikan
suaranya. Sakit hati melihat reaksi Sakura yang seperti tidak bersalah.

“Tapi masa saya ambil kasut tu keadaannya baik, tak ada rosak pun!” balas Sakura, cuba membela diri.

“Jadi maksud awak saya yang rosakkan kasut tu?” marah Jessy. Bibirnya digetap menahan marah.
Rachel terkejut dengan kata-kata Sakura yang dianggap sudah melampau.

“Sakura, mana awak tahu kasut tu tak rosak? Mungkin awak tersalah tengok. Cepat minta maaf!”
Rachel berbisik lalu menyiku Sakura agar segera meminta maaf kepada Jessy. Dia tunduk hormat pada Jassy sambil memohon maaf.

Ryan yang berada di sofa bingkas bangun. Bosan menunggu, matanya melilau melihat keadaan butik kasut itu. Pandangannya kini tertumpu pada gadis yang sedang berhadapan dengan Jessy. Sakura menunduk, tidak berani menatap pandangan tajam Jessy yang seolah-olah mahu menelannya.

‘Tapi tadi kasut tu tak ada rosak apa pun. Kenapa pulak aku yang kena bertanggungjawab? Entahentah
dia yang rosakkan kasut tu. Aku tak salah, kenapa pulak aku yang perlu minta maaf?’ tingkah hati Sakura. Nafasnya semakin kencang menahan marah. Jari jemarinya digenggam erat cuba menahan
geram dari meledak keluar.

‘Sabar, customer is always right. Kalau kau sayangkan kerja ni, cepat minta maaf!’ bisik hatinya
lagi. Rachel menolak badan Sakura agar bersuara. Sakura kembali menatap wajah Jessy yang sedang
menyinga.

“Kenapa saya perlu minta maaf? Bukan salah
saya!” Laju sahaja kata-kata itu terkeluar dari mulutnya. ‘Alamak, kenapa itu pulak yang terkeluar?’
Sakura segera menutup mulut dengan tangannya.

“Kurang ajar! Awak tanya saya kenapa?” jerkah Jessy. Kakinya dihentak pada lantai. Jessy menoleh ke belakang, cuba mencari kelibat
Ryan.
Ryan yang sedari tadi memerhati terpaksa masuk campur. “Cepatlah minta maaf…” Ryan bersuara
mendatar tetapi kedengaran cukup tegas.

Sakura terkejut apabila terdengar suara dari arah belakangnya. Dia segera menoleh. Ryan betul-betul
berdiri di belakangnya. Sakura merenung lelaki itu.
 ‘Wah, si handsome. Aku ingat kau tak ada tadi!’ bicara Sakura di dalam hatinya.

Ketinggian Ryan yang dua jengkal lebih tinggi daripadanya memaksa Sakura mendongak untuk
melihat wajah lelaki itu. Sakura terpaku seketika tatkala mata mereka bertemu. Hidungnya yang mancung serta memiliki bibir yang menawan, memukau hati Sakura. Perasaan marahnya tadi seperti telah terbang dibawa sang bayu.

‘Dia ni model ke? Kalau pelakon, mesti aku dah kenal. Emmm wanginya... Cita rasa yang hebat,’ komen Sakura di dalam hati.

‘Beruntungnya Jessy...’ desis hatinya lagi.

“Awak tunggu apa lagi? Cepat minta maaf!” kata Ryan garau.

Renungan Ryan yang tajam menyedarkan Sakura dari lamunannya. Jessy segera mendapatkan Ryan. Lengan teman lelakinya itu dipaut erat. Dia memandang Sakura dengan wajah yang sinis. Entah kenapa sebaik sahaja melihat wajah Jessy perasaan marah Sakura kembali membuak.

‘Ah, aku paling menyampah tengok perempuan mengada-ada macam ni. Kau ingat kau kaya, lawa... aku takut! Bukan salah aku, buat apa aku nak minta maaf.’ Sakura yakin kasut yang diberinya tadi masih berada dalam keadaan elok.

“Hei, kau ingat kau siapa? Jurujual tak sedar diri! Kalau dah silap tu, minta maaf cepat!” tengking Jessy. Dia tidak akan melangkah keluar dari kedai itu selagi gadis di hadapannya tidak mengucapkan kata maaf. Lebih-lebih lagi apabila menyedari dirinya sedang diperhatikan oleh beberapa orang pelanggan butik itu. Maruahnya sebagai seorang model popular perlu dijaga.

“Siapa? Kalau nak tahu, aku Sakura.” Ucap Sakura lantang dan cukup sinis. Dia tidak mampu lagi menahan rasa sakit hatinya mendengar kata-kata hina daripada Jessy sebentar tadi. Jessy mendengus kasar.

“Sakura?” soal Jessy sinis. “Cuma bunga! Kau tak kenal siapa aku? Akulah model bagi jenama ini!”
sambungnya lagi dengan angkuh.

Wajah Sakura berkerut. ‘Model?’ Dia segera menilik gambar beberapa model yang terpampang dalam kedai itu lantas satu senyuman sinis terukir di bibirnya.

‘Oh, patut la berlagak!’ bisik hatinya lagi setelah menyedari dia kini berhadapan dengan duta produk
itu.

‘Peduli apa dia duta apa pun. Kalau dah kurang ajar, tak perlu nak hormat!’ detik hati Sakura lagi.

“Biarpun saya hanya bunga, tapi lebih cantik dan putih. Kau akan nampak aku setiap kali musim bunga tiba. Terhias cantik… menjadikan musim bunga kau sungguh indah, bukan? Tapi bukan macam kau yang hanya model untuk jenama yang…” Sakura terdiam seketika cuba mencari perkataan yang sesuai untuk dilafazkan. “Yang langsung tak popular ni!” Akhirnya kata-kata itu yang terluah. Sakura menarik nafas lega.

‘Dia ingat model tu hebat sangat ke?’ ngomel hati Sakura geram. Sakura menjeling pada Rachel yang cuba menahan tawa. Di hujung sana kelihatan beberapa pengunjung berbisik sesama sendiri. Manakala Sun Yeong dan Yeu Kim menutup mulut sambil mengangkat ibu jari mereka pada Sakura tanda setuju dengan kata-kata Sakura sebentar tadi. Sakura tersenyum.

Wajah Jessy merah padam. Nafasnya berombak kencang menahan marah. Gadis di hadapannya itu
benar-benar mencabar egonya.

“Aku takkan keluar selagi kau tak minta maaf dengan aku!” ugut Jessy garang.

“Susah sangat ke!” Ryan bersuara tegas. Dia sudah penat bersabar dengan kerenah Sakura dan
Jessy yang degil itu.

‘Memalukan! Perkara kecil macam ni pun nak bising. Perempuan!’ bentak hati Ryan geram.

“Tidak!” ucap Sakura perlahan tetapi cukup tegas sambil memeluk tubuh, lagak seperti anak kecil
yang sedang merajuk.

“Okey, mulai hari ini kau dipecat! Betul Rachel?” Jessy menjeling seketika pada Rachel yang berdiri
tidak jauh dari mereka. Rachel menelan air liur melihat jelingan Jessy. Dia tiada pilihan, walaupun cukup menyampah
dengan sikap Jessy yang selalu mengada-ada apabila berkunjung ke butiknya. Tetapi kerana pengaruh Jessy, butiknya nanti mungkin akan digugurkan dari senarai butik yang berhak untuk menjual jenama tersebut. Akhirnya Rachel mengangguk perlahan.

“Maaf Sakura. Awak tak diperlukan lagi di sini.” Ucap Rachel perlahan. Sakura tidak terkejut. Dia tahu kalau tidak sekarang, pasti sebentar lagi Rachel akan memecatnya kerana tidak menghormati pelanggan. Jessy tersenyum kemenangan.
 “Tiada siapa boleh melawan kata-kata aku. Kau cuma pekerja, jangan nak berlagak hebat!” ucapnya
sambil tersenyum sinis.

Sakura mendengus kasar. Dia merenung Ryan. ‘Harap muka aje handsome, tapi perangai sama
macam perempuan sombong ni.’Tanpa menunggu lagi, Sakura segera melangkah keluar.

Ryan merenung langkah gadis itu. ‘Kenapa kau degil sangat? Tak pasal-pasal dah kena pecat,’ bisik hati Ryan sedikit kesal. Dia sedar gadis itu berkata benar.

Sebenarnya Jessy yang melempar kasut itu ke jalan ketika mereka berselisih faham tadi. Tetapi selepas itu Jessy beriaia mahu menukar kasut tersebut. Sebagai duta pada jenama tersebut dan sememangnya dia telah lama mengenali Rachel, dia yakin akan mendapat ganti kasut yang baru. Tanpa berlengah lagi Ryan segera menarik tangan Jessy keluar dari kedai itu. Malu apabila mereka menjadi bahan tontonan. Dia juga bimbang jika cerita memalukan itu tersebar di Internet. Sebelum ada sesiapa mengecamnya, lebih baik dia segera pergi.




Dapatkan di kedai-kedai buku berdekatan anda...

No comments:

Post a Comment

Popular Posts