Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Terukir Cinta : Prolog & Bab 1 - 4





Prolog

Ketika mahu melangkah pergi, aku terlanggar seorang lelaki yang sedang membelek dompetnya. Tiba-tiba…
Toingg!
Muncul idea gila masuk dalam kepala. Tanpa sempat aku fikir baik dan buruknya aku terus menyambar lengan lelaki itu, lalu dengan penuh yakinnya aku tanya dia.
“Awak, nak kahwin dengan saya tak?”
Lelaki tersebut kelihatan terpinga. Aku buat isyarat mata agar dia mengangguk. Di mata aku, lelaki itu nampak serabai semacam tetapi apa aku nak kesah. Niat hati cuma satu. Nak-buat-Imran-cemburu!
“O… key. Bila?” tergagap lelaki itu. Mungkin masih terkejut.
“Bulan depan,” jawab aku dengan hati membara.
“O… key,” balas lelaki itu, ragu-ragu.
Dengan muka berlagak, aku segera menoleh pada Imran. Menaikkan kening.
 “Awak ingat saya tak berani?” Aku mencemik.
Segera menarik lengan lelaki itu dan kemudian keluar dari kedai.
Terpinga-pinga Imran memandang.
Puas hati aku! 




Bab 1

‘Life isn’t about finding yourself, life is about creating yourself.’ – George Bernard Shaw.

Dalam hidup aku sekarang ni, ada dua huruf K yang sangat penting bagi aku untuk memastikan aku tergolong dalam golongan mereka yang berjaya, iaitu…
K Pertama… Kahwin!
K Kedua… Kerjaya!
Kerjaya? Aku hanya kerani cabuk di sebuah syarikat pembekal binaan.
Kahwin? Aku sah-sah masih bujang.
Tapi emak dah banyak kali bagi samar bayangan kepada aku. Semalam pun emak telefon lagi. Katanya sepupu aku, Salina, akan bertunang minggu depan. Dan yang paling buat aku hangin satu badan, bila mak asyik memuji kebijaksanaan Salina yang berjaya mencuri hati seorang juru terbang!
Arghhh!
Mak ni kalau anak orang semuanya bagus. Anak sendiri tak pernah nak puji! Kadang-kadang rasa macam aku ni anak angkat je. Apa pun mak sepatutnya bangga sebab aku berjaya curi hati seorang engineer.
Lima tahun aku dan Imran berkawan. Sudah kenal hati budi masing-masing dan aku pun sudah malas nak kenal mana-mana lelaki lain, penat! Perlu ulang segala proses mengenali diri pasangan, bukannya perkara mudah. Macam-macam perkara yang perlu diambil kira sebelum kita memutuskan dia adalah yang satu. Jadi cukuplah aku setia dengan Imran sahaja. Lelaki yang terbaik di dunia! (dunia aku la)
Imran Ahmad. Orangnya hitam manis ala-ala Remy Ishak gitu. Muka pun boleh tahan kacak (di mata aku la). Sesuai sangatlah dengan aku yang tak berapa nak jelita ni. Badan tegap macam badan ahli sukan. Dia tak pergi gim pun, tapi mungkin sebab selalu buat kerja-kerja berat, angkat mesin sebab itu badan dia sasa semacam dan… aku suka!
Dia ada di sebelah aku sekarang ini, tengah melayan mi goreng mamak. Selagi tak habis selagi tu tak angkat muka. Emmm… mujur dah lima tahun kenal. Kalau baru kenal harus aku turn off.
“Awak, minggu depan Salina bertunang tau.” Aku menghela nafas berat. Terasa macam ada batu dalam kepala sekarang ni.
“Jadi?” tanya Imran acuh tak acuh terus menyuap mi goreng ke mulut.
“Mesti mak akan tanya macam-macam. Saya nak jawab apa nanti.” Aku mengeluh perlahan.
 “Tanya apa?” Imran mengangkat wajah. Dia masih dengan muka blurr atau saja-saja buat blurr.
“Tentang kita lah.” Aku mencemik.
“Alah. Pandai-pandailah awak goreng,” jawab dia bersahaja.
“Awak, dia mak saya tau. Kalau awak, dah lama saya buat Imran-goreng-sambal-belacan!”
 “Tak payah balik. Cakap je ada kerja. Awak pun tak suka dengan sepupu kerek awak tu, kan?”
“Saya tak suka dia. Bukannya keluarga dia.” Geramnya dengan dia ni.
“Kalau macam tu pandai-pandailah awak jawab,” balas Imran acuh tak acuh.
“Masalahnya sekarang ni, kepandaian saya dah habis. Lima tahun saya nak kena berdalih. Saya penat!”
“Haish… awak ni. Lima tahun awak sabar takkan setahun dua lagi awak tak boleh sabar?” Dahi Imran berkerut. Merenung tajam.
“Sebab dah sabar lima tahunlah saya dah tak boleh sabar lagi ni!” balas aku geram, berpeluk tubuh.
“Kalau awak gatal sangat nak kahwin, awak pergi cari jantan lain yang boleh kahwin dengan awak bila-bila masa!” Imran mendengus kasar. Menghempas sudu dan garfu di pinggan. Meneguk minuman.
Aku tersentak. Keras wajah aku merenung wajah bersahaja Imran yang sedang minum. Sampai hati dia cakap macam tu? Tak gentleman langsung! Macam mana aku boleh bertahan dengan Imran selama-lima-tahun!
Adakah aku perempuan dungu?
“Awak jangan cabar saya!” Darjah kemarahan aku sudah tak dapat dikawal lagi.
“Sumpah, kalau datang seorang lelaki depan saya sekarang ni dan ajak saya kahwin memang saya akan terima je!” Dada aku berombak kencang. Sedih tau!
“Emmm… yalah tu,” ujar Imran dengan gaya ala-ala si Mail dalam cerita Upin dan Ipin.
Ceh, tak guna! Boleh pula dia senyum sinis?
“Susah betul kalau nak berbincang dengan awak!” Aku menjerit. Mengetap bibir menahan diri dari terus membebel.
“Hey, saya bergurau je la.” Imran memandang aku dengan wajah cuak. Mungkin terkejut dengan jeritan aku tadi.
“Bergurau perkara macam tu buat apa?” Terjegil mata aku merenung wajah Imran.
“Kita kan dah banyak kali bincang perkara ni. Yang awak ungkit lagi tu kenapa?” Imran mendengus kasar.
“Sebab perbincangan kita tak pernah mencapai kata sepakat! Dan selagi kata sepakat tak tercapai, selagi itu saya akan bawa berbincang!” Aku mencerlung.
“Kata sepakat atau kata awak?” Imran menjeling sinis.
 “Bosanlah nak cakap dengan orang macam awak ni!” Aku bingkas bangun.
“Saya akan sahut cabaran awak nanti. Lepas tu jangan menyesal!” sambung aku lagi lantas mencapai beg tangan. 



Bab 2

~ Khalif Aufa~

Serabut!
Asyik-asyik kahwin yang mama sebut-sebut bila dia muncul di rumah, isu itu juga antara sebab kenapa Khalif sangat malas hendak pulang ke rumah orang tuanya.  Tapi nak tak nak dia terpaksa balik dan tahan telinga. Takkan sebab tak mahu berbincang fasal itu dia abaikan orang tua dia pula, kan?
“Sampai masanya nanti anak mama ni akan kahwin juga.” balas dia acuh tak acuh, menuang jus apple ke dalam cawan. Kotak jus diletak kembali ke dalam peti ais.
“Itu mama tahu, tapi bila? Mama dan papa dah tua sangat-sangat ni. Nak merasa juga tengok cucu masuk sekolah, kalau boleh nak juga lihat wajah cicit,” balas Datin Sofi, menjeling tak puas hati.
“Amboi, sampai cicit pun mama nak tengok? Nanti jangan nak paksa anak K kahwin awal pulak.” Khalif mengekek.
Datin Sofi menjeling.
“Kalau umur 39 tak kahwin lagi, macam mana mama nak paksa anak K kahwin nanti!”
“Alhamdullilah, selamat dia.” Khalif mengaminkan tangan, sengaja mengusik.
“Betul ke K tak ada calon ni?” tanya Datin Sofi masih tak puas hati.
“Tak ada,” balas Khalif acuh tak acuh.  Hati dia masih gerun hendak bercinta. Cukuplah  berkali-kali dia menjadi mangsa wanita pisau cukur yang akhirnya tinggalkan dia demi mendapatkan lelaki yang lebih kaya.
Datin Sofi mengukir senyum.
“Kalau macam tu…” namun belum pun sempat dia habiskan kata-katanya Khalif segera mencelah.
“Jangan! Jangan sesekali mama nak susun jodoh K dengan anak kawan-kawan mama. Sangat klise!” Dia menggeleng kepala.
“Habis tu! Nak suruh mama grab mana-mana budak perempuan kat tepi jalan lepas tu masuk meminang untuk K? Nak macam tu?” Sekali lagi Datin Sofi menjeling.
“Tak payah. K nak tunggu ada perempuan ajak K kahwin, baru K akan kahwin,” jawab Khalif acuh tak acuh.
Gelas minuman dibawa ke sinki. Sempat dia menjeling jam di pergelangan tangan. Haish, dah lewat ni. Tergesa-gesa dia membersihkan gelas.
“Kalau macam itu sampai ke tua pun K tak akan kahwin!” marah Datin Sofi.
Dia tahu anak teruna dia tu cuma bergurau. Mana ada perempuan terdesak sampai nak ajak lelaki kahwin? Zaman sekarang orang perempuan dah mula nak ikut cara barat. Selagi si lelaki tak melutut hulur cincin selagi tu dia orang tak mahu kahwin.
“Mama, jangan pandang anak mama ni sebelah mata. Walau pun muka macam muka orang pecah rumah, tapi masih ramai yang berkenan tau.” Khalif tersengih.
“Hah, ini satu hal.” Puan Sofi bersiap-sedia hendak melancarkan peluru bebelan. “Bila K nak berubah ni? Serabai! Sekali pandang macam peragut! Mama tak suka
semua ni.” Datin Sofi menunding jari pada semak-samun di wajah Khalif.
Khalif mengekek. “Mama… muka macam inilah muka yang akan selamat dari menjadi mangsa peragut cinta di luar sana.” Dia menunding jari ke luar rumah.
“K kecewa lagi ke dengan Natasya?” Tanya Datin Sofi, kali ini suaranya mengendur.
“Cerita lama, jangan nak buka lagi. K dah lama move on.” Khalif bingkas bangun, bersiap sedia ingin keluar.
“K nak pergi mana ni? Mama tak habis cakap lagi.” Datin Sofi mengikut langkah Khalif ke luar rumah.
“K nak jumpa kawan kejap lepas tu nak pergi klinik.”
“K sakit ke?”
“Ni matanya dari tadi merah. Takut ada jangkitan apa-apa nanti.”
“Saja nak cari alasan. Dah baru bangun tidur mestilah mata tu merah.” Datin Sofi menarik wajah sebal.
“Mana ada alasan, memang nak pergi klinik pun tadi, tapi singgah sini dulu minta restu mama.” Balas Khalif mengusik.
“Malam nanti mama sambung cakap ya,” ujarnya sambil mencium pipi mama.
“Jumpa malam nanti,” ucap Khalif ketika membuka pintu kereta.
Tanpa menunggu lebih lama, dia terus memandu kereta. Dia menarik nafas lega kerana berjaya melepaskan diri tanpa perlu bersoal jawab. Pantas dia keluarkan telefon bimbit mencari nombor telefon Anuar. Teman baik yang hampir sepuluh tahun tak jumpa.
“Bro, aku on the way ke Bangsar. Jumpa tempat biasa,” ujarnya sebaik saja panggilan bersambut.
“Aku mungkin lambat sikit,” balas Anuar.
“Tak apa. Aku pun nak hantar kereta ke bengkel ni. Jumpa kau kat kedai mamak.” Talian terus dimatikan.
Dia terus memandu kereta ke bengkel kemudian mengambil teksi menuju ke kedai mamak yang selalu menjadi tempat melepak dia dan teman-temannya satu masa dahulu.
Sepuluh tahun dia meninggalkan Malaysia dan sekarang ini banyak sungguh perubahan yang berlaku. Kedai yang dulu kecik semakin besar. Bangunan dulu yang hanya dua tingkat menjadi lima tingkat. Jalan-jalan pula semakin lebar dan bertingkat-tingkat.
Aney, kasi teh tarik gelas besar satu. Tarik panjang-panjang ya.” Khalif membuat pesanan.
“Makan?” tanya pelayan kedai.
“Nanti, tunggu kawan saya sampai,” balasnya. Pelayan tersebut terus mengangguk kemudian berlalu.
Khalif mencapai surat khabar di meja sebelah. Tidak lama kemudian minuman sampai. Seteguk, dua teguk, teh tarik masuk ke dalam mulut. Perghh…. Baru dia tersedar bertapa dia rindukan teh tarik mamak. Dari Berita Harian ke Metro kemudian ke Utusan. Semua sudah habis dibaca, namun Anuar masih tak muncul-muncul.
Awak, minggu depan Salina bertunang tau.”
“Jadi?”
“Mesti mak akan tanya macam-macam. Saya nak jawab apa nanti.”
Perbualan pasangan yang duduk di meja belakang menarik minatnya yang sedang kebosanan. Namun, dia terus membelek surat khabar, cuba mengalih perhatian dari mendengar perang mulut antara pasangan itu.
Sedang membaca berita di akhbar telefon bimbitnya berbunyi. Pesanan ringkas dari Anuar membuatkan hati dia membara.
Ceh! Tak dapat datang cakaplah awal-awal!
Dia terus menekan huruf di telefon bimbit ingin melepas kemarahannya pada Anuar. Teks berjaya dihantar kepada Anuar. Puas hati!
Kalau awak gatal sangat nak kahwin, awak pergi cari jantan lain yang boleh kahwin dengan awak bila-bila masa!”
Dialog pasangan yang sama menerjah lagi ke telinganya. Wah, ini macam ada kemungkinan perang dunia kesepuluh akan meletus ni! Sebelum kepala aku sesak baik aku blah awal-awal. Mata aku semakin berdenyut ni.
Khalif bingkas bangun, hendak membayar minuman dan kemudian ingin ke klinik yang terletak dihujung bangunan.
Bergegas dia mengeluarkan dompetnya, namun tiba-tiba badannya dilanggar oleh seseorang. Hampir terjatuh dompet di tangannya.
“Awak, nak kahwin dengan saya tak?”
Tiba-tiba dia terdengar gadis itu bertanya. Tidak berkelip dia memandang wajah itu. Terkejut. Bukankah sepatutnya gadis itu minta maaf sebab terlanggar dia? Ini… ajak dia kahwin? Betul ke tak perempuan ni?
Khalif sempat menjeling meja gadis itu. oh, pasangan tadi rupanya! Aduhai! dia nak elak dari perang dunia ke sepuluh alih-alih dia terbabit sama!
Mata gadis tadi terkebil-kebil memandang dia. Melihat isyarat mata itu dia faham sangat. Nak tak nak terpaksa dia mainkan peranan. Apa salahnya bantu wanita yang dalam kesusahan. Lagi pun, biar padan muka lelaki tu. Budak ni punyalah cantik, boleh nak tangguhkan meminang? Kalau dialah… dah lama jadi suami gadis ni. Entah-entah dah beranak-pinak.
Haish, Khalif, apa kau merepek ni!
“O… key. Bila?” tanya Khalif tergagap.
Haruslah tergagap, mahunya mamat tadi belasah dia, tak fasal-fasal masuk hospital. Walaupun badan dia sasa, tapi dia bukannya pandai bergaduh pun. Pandai angkat berat je!
“Bulan depan,” jawab gadis itu dengan senyuman.
Khalif terus terpaku. Comel!
“O… key,” jawabnya lagi, ragu-ragu.
Gadis itu menoleh pada teman lelakinya.
“Awak ingat saya tak berani?”
Glup! Mama! Dah ada orang ajak K kahwin ni, bulan depan mama dapat menantu!
Tiba-tiba gadis itu menarik tangan dia keluar dari kedai. Sempat dia menyerahkan wang lima ringgit kepada juru wang di kaunter sambil membuat isyarat menyuruh juru wang tersebut menyimpan duit baki.
Di luar kedai, gadis tersebut lepaskan tangannya dan terus menonong berjalan ke depan. Khalif yang kebetulan hendak ke klinik di hujung bangunan terpaksa melangkah perlahan di belakang. Namun, langkah kakinya terhenti apabila gadis itu berhenti melangkah kemudian terdengar gadis itu membebel sambil menghemburkan tangisan. Entah kenapa, hatinya tersentuh.
Kesian pula Khalif tengok, budak perempuan tu bukannya buruk sangat rupanya. Manis dan comel orangnya. Sederhana tinggi, air muka pun tak nampak macam perempuan gedik. Kenapa teman lelaki dia tak mahu kahwin dengan dia? Atau perangai dia teruk? Kuat membebel? Kalau nak kata dia ni kaki kikis, tak mungkin.
Beg tangan dia walaupun branded tapi, itu edisi dua tiga tahun lepas. Kasut dia… emmm… tak ada jenama pun. Baju kurung cotton dia tu biasa-biasa aje, tak nampak macam dari butik terkenal pun. Dekat mana silapnya, ya? Melihat gadis itu mundar mandir buat hati dia serba-salah hendak melintas.
“Awak…” panggil Khalif. Sebelum orang ramai sangka gadis tu sedang marahkan dia lebih baik dia bersuara.
Serta-merta gadis itu berhenti melangkah dan membebel. Dari belakang dia dapat lihat gadis itu mengesat air mata. Kemudian gadis itu menoleh, namun sebaik saja melihat wajah dia, mata gadis itu terbuka luas. Tak berkelip.
 “Awak okey?” tanya Khalif, risau.
“Okey,” balas gadis itu, mengesat sisa air mata.
“Nampak macam tak okey je?”
“Of course I’m not!”
Khalif menelan liur. Menyesal pula tanya. Tak fasal-fasal kena tengking.
 “Maaf. Saya saja nak sakitkan hati teman lelaki saya tadi. Sorry.” Kemudian gadis tersebut bergegas pergi.
Khalif terus berdiri di situ memerhati gadis itu pergi. Sayang, muka cantik, tapi teman lelaki tak mahu meminang. Mungkin bukan salah lelaki tu, mungkin lelaki tu tak mahu kahwin sebab perangai gadis itu yang psiko. Kalau dia normal, dia tak akan tarik tangan aku dan ajak aku kahwin. Teka Khalif.
Langkah kaki gadis itu terhenti. Tak sempat dia mengalihkan pandangan, gadis itu sudah pun menoleh ke arahnya.
“Terima kasih,” ucap gadis itu, kemudian bergegas pergi.
Dia terus merenung, menggeleng kepala. Kesian. Langkah diatur menuju ke hujung bangunan untuk ke klinik.

Bab 3

Aku memandang jam di pergelangan tangan, hampir pukul tujuh malam. Tak ada satu teksi pun melintas depan. Ajaib sungguh! Tak pernah-pernah dekat sini ketandusan teksi. Dia orang mogok ke? Atau hari ni ada perhimpunan hitam? Tak mungkin, takkan dia orang nak buat perhimpunan hitam pada hari kerja pula.
Sedang aku resah gelisah menanti kemunculan bas dan teksi, kereta Imran berhenti di depan hentian bas. Nak pujuk la tu!
“Cepat masuk,” panggil Imran sebaik saja cermin di tempat duduk penumpang di turunkan.
Aku buat-buat tak dengar. Terus berpeluk tubuh meninjau-ninjau ke arah jalan. Konon sedang menanti teksi atau pun bas. Kalau dia betul-betul nak pujuk aku, dia akan pakir kereta dekat tepi jalan dan datang ke hentian bas ni. Kalau melaung dari dalam kereta panggil aku, itu bukan memujuk namanya. Tapi TER-paksa pujuk.
“Nadia Husain! Cepat lah!” Panggil Imran lagi.
“Apa cepat?” marah aku.
“Cepat masuk!”
“Nak pergi mana?” Tanya aku, sengaja membulatkan mata.
“Hantar awak balik lah.” Wajah dia berkerut.
Mesti tengah nak marah aku tu! Biarkan! Biar dia rasa betapa sakitnya hati bila perasaan kita dibuat endah tak endah oleh orang yang kita sayang.
“Tak nak.” Aku terus berpeluk tubuh, memaling wajah ke arah lain.
“Dah lewat ni, cepatlah saya hantar awak balik,” panggil Imran lagi.
 Kali ini nada suara dia sedikit lembut berbanding ketika di kedai tadi. Mungkin dah penat nak bergaduh. Itulah, lain kali kalau nak cakap tu hati-hati!
“Tak nak! Saya naik bas. Awak balik lah.” Hati aku masih membara.
Mana boleh senang-senang macam tu saja aku termakan pujukan Imran. Nak juga aku tengok sehebat mana Imran memujuk. Selama ni tak pernah pun dia pujuk sebab rajuk aku tak pernah meleret. Tapi kali ini jangan harap!
“Betul ni? Sekali ni je saya tanya. Kalau awak tak masuk juga, saya balik.” Imran memandang aku dengan wajah sebal.
Dia ugut aku? Memang cari nahas sungguh!
“Balik la.” Aku mencabar.
Ada aku kisah? Bas dan teksi berlambak, malas aku nak bergantung pada dia lagi. Dia ingat bila pujuk sikit aku akan sejuk?
“Awak ingat saya main-main?”
“Ada saya cakap awak main-main?”
“Saya balik sekarang.”
“Balik lah!” Aku terus mencabar.
Tak lama kemudian Imran terus menekan minyak meninggalkan aku terkulat-kulat menelan asap kereta.
Aku mencemik geram. Macam tu saja dia pujuk? Tak boleh harap betul!
Sedang aku melayan hati yang sebal tiba-tiba muncul lelaki tadi menghampiri aku kemudian melabuhkan punggung tak jauh dari tempat aku duduk.
Aku terkedu, menelan air liur. Tak tahu nak cakap apa. Takut dan malu bercampur baur.

Dia ikut aku ke?

  • Bab 4




    ~ Khalif Aufa~



    Di dalam bilik pemeriksaan, Khalif pejam celik matanya, memandang doktor wanita yang bertugas.
    “Penglihatan awak macam mana? Ada rasa terganggu tak?” Tanya Doktor wanita tersebut dengan tersenyum di bibir.
    “Tak pula. Semua macam biasa je,” jawab Khalif.
    Doktor itu mengangguk-angguk kemudian berjalan ke arah mejanya lalu menulis sesuatu pada kertas.
    “Awak ada alergi pada makanan ke?”
    “Tak ada pula.”
    “Ubat-ubatan?”
    “Tak ada,” jawab Khalif penuh yakin.
    “Okey, kalau macam itu, mata awak ni bukan terkena jangkitan apa-apa, tapi mungkin kerana awak ada alergi pada sesuatu. Awak ada sentuh bahan chemical?”
    Khalif terdiam seketika.
    “Ada. Saya cuci bilik air pagi tadi.”
    “Emmm… mungkin tanpa sedar bahan tu terkena bahagian mata awak. Jadi, saya akan bagi ubat titis untuk kurangkan merah dan bengkak pada mata awak tu dan juga antibiotik.”
    “Terima kasih doktor.” Khalif bingkas bangun.
    Lega. Kalau terkena sakit mata mahunya seminggu atau dua minggu dia tak boleh keluar rumah. Tak dapat dia bayang hidup berkurung dalam rumah. Mahu pecah kepala dia sebab kebosanan nanti. Lagi pun, dia dah janji dengan papa, Isnin nanti dia akan mula kerja. Kalau dia cakap tak dapat mulakan sebab sakit mata, mesti panjang lebar papa membebel. Tak sanggup dia dengar lagi bebelan tu.
    Selepas selesai mendapatkan ubat dan membuat bayaran Khalif melangkah keluar dari klinik kemudian mengeluarkan telefon bimbitnya.
    “Awak letak kat mana?” soalnya sebaik saja panggilan bersambut.
    “Dekat hentian bas.”
    “Lar… kenapa letak dekat situ, jauhnya.” Khalif mengeluh perlahan.
    “Maaf encik, tadi tak ada parking kosong.”
    “Emmm.. yalah.. yalah,” balas Khalif dan terus menapak ke arah hentian bas.
    Dari seberang jalan dia sudah nampak si kekasih hatinya tersadai di pakir tidak jauh dari hentian bas. Entah kenapa, matanya ditarik ke arah hentian bas di mana kelihatan seorang gadis sedang terconggok di situ sambil berpeluk tubuh. Dia kenal gadis itu. Bagaimana dia boleh lupa satu-satunya gadis yang melamarnya.
    Sebaik saja tiada kereta di jalan, Khalif pantas melintas ke seberang. Nak tak nak terpaksa juga dia melintas depan gadis itu untuk mendapatkan kekasih hatinya.
    Ketika dia mengatur langkah, tiba-tiba sebuah kereta Honda berhenti betul-betul di hadapan hentian bas. Dia memperlahankan langkah kakinya, tunduk merenung jalan sambil memasang telinga. Tak fasal-fasal hari ni dia jadi lelaki telinga lintah.
    Si lelaki di dalam kereta itu tentunya teman lelaki gadis tersebut. Mula-mula ada acara pujuk memujuk tetapi si gadis berkeras. Selepas beberapa kali sesi melawan cakap, kemudian kereta itu terus berlalu pergi.
    Khalif terpinga memandang. Terkebil-kebil melihat kereta itu berlalu begitu saja. Gila!
    Biar betul mamat ni, blah macam tu je? Tak guna betul! Kalau dia buat dekat adik aku macam tu memang aku belasah cukup-cukup! Buat malu kaum lelaki je!
    Dia menoleh ke arah gadis tadi. Dari air mukanya, dia tahu gadis itu pun terkejut dengan tindakan kejam teman lelakinya.
    Alahai, kesian pula aku tengok. Naïf sungguh budak ni, kalau dah lelaki layan kau macam tu nak tunggu apa lagi. Break-up je. Ramai lelaki lain dekat dunia ni yang lebih berhemah dari mamat sengal tu.







    BERSAMBUNGGG

No comments:

Post a Comment

Popular Posts