Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Terukir Cinta : Bab 5-7

 Bab 5


Aku diam tidak berkutik.
“Nak pergi mana?” Tanya lelaki itu.
“Balik,” jawab aku sepatah.
“Maaf fasal dalam kedai tadi,” ucap aku perlahan.
“Tak apa. Perkara kecil,” jawabnya sambil tersenyum.
Aku terus memandang lelaki yang berkaca mata hitam itu. Kenapa ketika waktu remang begini dia pakai cermin mata hitam? Ni mesti sebab nak sembunyikan mata dia yang merah tadi kot? Haish… mesti dia tengah lalok ni. Menakutkan sungguh. Menyesal pula merajuk dengan Imran tadi. Kalau tak tentu aku dah selamat sampai dekat rumah. Lelaki ni pula entah-entah ada niat tak baik dengan aku ni sebab tu dia ikut sampai ke sini.
“Balik mana?” tanya lelaki itu lagi.
 “Ukay Perdana,” jawab aku ringkas.
“Nak saya hantarkan? Dah lewat ni. Bahaya awak tunggu seorang diri dekat sini.” Dia mempelawa.
“Tak apa, dah biasa. Kejap lagi bas atau teksi lalu lah,” jawab aku berdalih. Tak kenal takkan tiba-tiba nak terima pelawaan itu pula? Bahaya!
“Saya serius ni. Bahaya tau duduk seorang diri dekat sini. Kawasan ni pun sunyi semacam je,” ujarnya lagi.
“Kalau macam tu, awak teman saya sampai bas atau teksi sampai. Boleh?” balas aku, sarkastik sebenarnya.
“Okey.” Dia datang mendekat.
Aku segera menoleh. Bulat mata aku memandang wajah lelaki itu yang semakin mendekat. Dia tak faham ke aku sindir dia tadi? Takkan sebab aku ajak dia kahwin tadi dia dah syok sendiri. Menempah bala sungguh kau ni Nadia!
“Saya harap awak jangan salah faham. Tadi tu… saya, cuma…”
“Tak apa, saya faham.” Dia senyum.
Aku menarik nafas lega. Masak aku kalau tiba-tiba lelaki itu tuntut janji nak kahwin dengan aku. Macam mana aku nak bersoal jawab dengan mak dan ayah nanti.
Kalau dengar suara dia tanpa tengok muka mesti aku bayangkan dia ni kacak orangnya. Suara dia yang lemak merdu memang sedap didengar. Kalau dia azan mesti ramai yang terpegun. Tapi, bila tengok wajah dia. Adeh… potong! Macam mat gian! Tapi… biasanya mat gian badan dia orang kurus-kering. Baju kotor dan berbau. Tapi dia ni… wangi! Badan pun boleh tahan kemas dan sasa. Imran pun tak sasa macam dia.
Oit! Jangan terpedaya Nadia. Entah-entah dia ni mat gian campur mat ragut sebab itu dia datang dekat kau. Kawasan ni pula sunyi saja kalau petang, memang jadi lokasi terbaik kalau dia nak buat jahat dekat aku ni.
Haish… bahaya! Bahaya!
Perlahan-lahan aku mengeluarkan telefon bimbit. Membuka kamera.
“Awak.” Panggil aku. Sebaik saja dia menoleh, aku segera menekan butang kamera di telefon bimbit. Cahaya flash memancar. Aku segera melihat hasil tangkapan. Emmm… terang dan jelas!
“Awak ambil gambar saya?”
Aku mengangguk sambil menaip pesanan ringkas pada Hara dan juga Yatie.
“Saya dah send gambar awak pada telefon bimbit kawan saya,” jawab aku bersahaja.
“Hah? Kenapa?” Melopong dia pandang aku.
“Saya bagi tahu dia orang, kalau saya tak sampai rumah malam ni saya suruh dia orang bawa gambar awak ke balai polis,” ujarku bangga dengan rancangan licik sendiri.
Dia tergamam. Tak lama kemudian dia ketawa terkekeh. Siap tekan-tekan perut lagi.
“Bijak awak. Saya dah perasan tadi. Ingatkan awak nak tenung gambar saya sebelum tidur,” ujarnya dengan tawa yang masih bersisa.
Aku memandang sebal. Mencemik sesaat.
“Buat apa saya nak tenung muka awak yang berserabut tu. Makin serabut kepala saya nanti.”
“Serabut ke?” Dia memegang wajah sendiri yang penuh dengan janggut dan misai terbiar.
Aku mengangguk kemudian segera menoleh ke arah jalan, mengharapkan teksi dan bas segera datang. Namun hampa, jalan di depan masih kosong. Hanya kelihatan kereta keluar masuk di simpang hadapan.
“Betul awak tak nak saya hantar ni?” Tanya dia lagi setelah agak lama kami berdiam diri.
“Awak nak hantar dengan apa?” Tanya aku, skeptical.
“Kereta lah.”
 “Mana?”
“Tu.” Dia memuncungkan bibir ke arah sebuah kereta Audi putih yang berada di pakir tidak jauh dari hentian bas.
Wow! Seksi! Aku menelan air liur.
Eh, kejap. Kalau tak silap masa aku tengah tunggu bas tadi aku ternampak lelaki tua keluar dari kereta tu. Sah! Dia memang mat gian!
 “Berani awak nak hantar saya dengan kereta tu?” Hati aku membara.
“Kenapa? Tak boleh ke?” tanya Dia.
Aku menggeleng.
“Kalau awak nak buat jenayah sekali pun, jangan libatkan saya okey!” Aku mencebik lantas berganjak ke hujung bangku. Menjeling seketika kemudian kembali memandang jalan. Aku terus berpeluk tubuh dan menggeleng kesal.
“Takkan hantar awak balik pun dikira jenayah?” Tanya dia terus bingkas berdiri.
“Hey! Awak nak buat apa tu?” Aku menjerit kuat sebaik saja melihat dia menghampiri kereta tersebut.
Walau pun manusia di akhir zaman selalu kata, jangan jaga tepi kain orang atau dalam bahasa inggeris mind your own business tapi bagi aku jika mahu hidup bertamadun kata-kata tu tak boleh dipakai. Sebab, kalau bukan masyarakat yang menegur kemungkaran di depan mata, siapa lagi?
“Ambil kereta,” jawab dia bersahaja.
“Awak jangan buat kerja tak senonoh depan saya ya! Nanti saya telefon polis!” Aku mengugut.
Dia berhenti melangkah, memandang aku kemudian tersenyum sinis.
“Telefonlah kalau berani,” ujarnya kemudian berpatah balik melangkah menghampiri aku.
Lekas-lekas aku mengeluarkan telefon bimbit. Namun, belum sempat aku nak telefon polis dia segera merampas telefon aku.
“Mesti awak ingat saya ni pencuri kereta, kan?”
“Tak. Mula-mula saya sangka awak ni mat gian. Tapi tak sangka rupanya awak ni mat gian campur pencuri kereta!” balasku, cuba merampas kembali telefon bimbit yang berada di tangannya.
“Mat gian?” Dia terus memandangku.
Aku angguk.
“Mata awak merah. Mesti awak tengah lalok sekarang ni. Baik awak layan lalok awak bawah jambatan. Jangan nak pergi mencuri pula! Nanti bawa kereta tengah lalok awak akan kemalangan dan nanti orang yang tak bersalah akan menjadi mangsa.”
 “Kenapa awak tuduh saya mat gian dan pencuri? Sebab saya pakai selekeh? Seluar koyak? Sebab tu awak fikir macam tu?” Dia melangkah setapak menghampiriku.
Aku mengundur setapak ke belakang.
“Ya. Kenapa? Saya salah?”
“Kalau saya pakai kemas, baju mahal-mahal mesti awak ingat saya ni orang baik. Kan?” tanya dia, melangkah setapak lagi menghampiriku.
“Tak. Mesti saya cakap awak suka bagi atau terima rasuah.”
Dia berhenti melangkah.
“Kalau saya tekan kunci ni dan kereta tu berbunyi…” Serentak itu dia menekan kunci di tangannya. Kereta itu berbunyi.
“Awak akan cakap… itu kereta saya atau awak akan kata… saya ni pencuri professional?”
 “Awak penyeluk saku? Awak curi dari poket seluar pak cik tadi?” Jerit aku terkejut. Terbeliak mata aku memandang dia. Segera aku memeluk beg tangan. Nanti tak fasal-fasal beg aku pula yang diragutnya. Nauzubillah!
Dia menepuk dahi.
“Seumur hidup saya… tak pernah jumpa manusia yang sangat prejudis macam awak ni.” Dia menggeleng kepala, menyerahkan kembali telefon bimbit kepadaku kemudian terus melangkah meninggalkan aku terpinga-pinga di situ.
“Patutlah teman lelaki awak tak kisah awak kahwin dengan orang lain.”
“Awak perli saya!” Haish dia ni!
“Kenyataan.” Dia berhenti melangkah dan menoleh pada aku.
Tiba-tiba hati aku terasa bagai ditoreh-toreh. Lelaki yang baru aku kenal yang selekeh dan mungkin mat gian pun tuduh aku macam tu! Apatah lagi Imran yang sudah lima tahun kenal aku. Serentak itu air mata aku bergenang. Atau memang benar aku perempuan tak guna?
 “Eh, janganlah menangis.” Dia menoleh ke kiri dan kanan.
“Awak pun sama! Saya berhak nak marah dekat teman lelaki saya! Lima tahun kita orang kawan! Saya tak pernah curang! Tak pernah buat dia marah! Tak pernah minta bunglo atau kereta mewah! Tak pernah minta intan dan permata! Saya cuma minta dia masuk meminang. Salah ke!” Aku menghentak kaki. Geram! Air mata sudah menitis.
“Okey… okey… awak tak salah. Dah, jangan menangis.” Wajah dia kelihatan cemas, tangannya cuba menyentuh bahuku namun aku segera menepis.
“Dah awak dengan Imran sama je!” Aku menolak tubuh dia.
“Pergi lah curi kereta tu! Kalau awak kena tangkap padan muka! Saya malas nak ambil tahu fasal orang! Saya malas nak jadi manusia bertamadun! Pergi lah curi!” Aku segera melabuhkan punggung di bangku dan teresak-esak di situ.
“Awak… janganlah menangis. Saya minta maaf.” Pujuk dia lembut.
“Saya… tak bermaksud…”
“Dah. Pergi!” Aku menolak tubuh dia.
“Saya tak akan pergi selagi awak tak berhenti menangis.” Dia terus berdiri di sebelah.
Aku mengesat air mata. Cuba menahan sendu.
“Okey, saya dah berhenti menangis. Pergi sekarang!”
Dia masih berdiri di sebelah dengan wajah serba-salah.
“Saya hantar awak balik.” Dia bersuara lembut, memujuk.
“Tak nak! Awak balik sekarang! Kalau tak, saya jerit!” Aku mengugut, geram.
“Okey… okey… cool down. Saya pergi sekarang. Tapi… betul ni tak nak…” belum pun sempat dia habis bersuara aku terus mencelah.
“Tak nak!” Aku menjegilkan mata.
“Okey.” Dia mengangkat kedua tangannya kemudian terus berjalan menghampiri keretanya
Sebaik saja kereta itu berlalu pergi, aku terus menghambur tangisan yang tertangguh. Kali ini aku menangis sepuas-puasnya. Mujur tak ada sesiapa di hentian bas tersebut. Kalau tidak, mesti dia orang ingat aku ni dah tak betul.
Lepas puas menangis, barulah hati aku kembali lega.


Bab 6

~Khalif Aufa~

Patut la teman lelaki takut nak masuk meminang, minah psiko rupanya!
Khalif menggeleng kepala beberapa kali. Niat hati ingin membantu terpaksa dilupakan. Gadis itu terlalu prejudis. Suka menilai seseorang dari pandangan luaran.
Emm… ada bagus juga dia terus dengan imej selekeh ni, tak payah nak jumpa dengan perempuan yang plastik yang suka menilai luaran. Kalau ada perempuan yang sukakan dia dengan imej begitu mesti perempuan itu layak dijadikan isteri.
Kalau zaman dulu boleh juga dia buat macam cerita musang berjanggut tu. Tapi zaman sekarang tak mungkin dia boleh macam tu. Kalau dia serahkan sekarung beras yang dicampur dengan bermacam rempah mesti dia orang simpan je karung tu dan order pizza delivery. Atau pun… telefon hospital sakit jiwa.
Dia terus memandu menuju ke LDP. Tiba-tiba telefonnya berbunyi, panggilan dari mama.
“Ya, dah on the way balik ni.”
“Balik nanti singgah rumah mama dulu,” pesan mamanya.
“Mata K sakit ni. Nak suruh berjangkit orang dalam rumah tu ke?” balas dia, ada baik juga mata dia sakit boleh mengelak.
“K jangan nak buat alasan, mama ada hal penting nak bincang ni.”
“K tak tipulah. Memang mata merah ni. Mama buat video call sekarang kalau tak percaya.”
“Okey.” Hanya itu dan talian terputus.
Tidak lama kemudian telefon bimbitnya berbunyi lagi, kali ini video call pula.
“Ya mama.” telefon tersebut diletakkan pada holder di dashboard.
“Ni, tengok merah menyala ni.” Khalif mendekatkan mata pada telefon bimbitnya.
“Yaaa… merahnya. Berjangkit dari siapa ni?” tanya Datin Sofi.
“Entah. Dah percaya?”
“Yalah, yalah. Esok mama pergi rumah K. Malam ni balik berehat,” pesan Datin Sofi sebelum mematikan panggilan sekali lagi.
Tak sampai beberapa saat telefon bimbitnya berbunyi lagi. Melihat nama si pemanggil, Khalif mencemik. Kereta di pakir tepi jalan sebab dia terlupa nak bawa handfree. Tangan menekan tanda ‘Answer’.
“Apa hal?” Tanya Khalif kasar.
“Ala bro… merajuk ke? Aku call banyak kali tadi kau tak jawab.”
“Aku tengah busy tadi. Apa hal kau telefon ni?”
“Jumpa malam ni dekat The Curve. Okey?”
“Sorry, aku tak boleh keluar.”
“Ala-alaaa… merajuk ke?” Anuar mengekek.
“Tak kuasa aku!”
“Dah tu, jom keluar. Aku bawa dua orang calon bini untuk kau.”
“Tak payah, dah ada orang melamar aku tadi,” jawab Khalif acuh tak acuh.
“Hah? Serius?”
“Yalah… aku… eh… alamak!” Khalif tepuk dahi. Dia lupa!
Macam mana kalau minah tu tak sampai rumah? Nanti tak fasal-fasal muka dia akan penuhi dada-dada akhbar. Malam esok mesti gambar dia masuk berita. Haish, tak boleh jadi ni!
“Bro, apasal? Kau langgar kereta orang ke?” Suara Anuar terdengar di hujung talian.
“Beb, aku call kau malam nanti. Ada misi penting nak kena selesaikan ni.”
“Amboi… misi apa yang lebih penting dari berbual dengan aku ni? Bro, betul ke ada minah melamar kau ni?”
“Aku cerita nanti. Okey, bye!” Dia segera mematikan panggilan. Tanpa tunggu lama, dia terus membuat pusingan patah balik di hadapan. Walau macam mana pun dia kena pastikan minah psiko tu selamat sampai ke rumah!

Bab 7

 Jam sudah menunjukkan pukul lapan malam. Tak pernah-pernah bas sampai lambat. Sudah la dekat kawasan ni agak sunyi. Lepas aku hantar gambar lelaki tersebut pada Hara dan Yatie tadi, berpusu-pusu pesanan ringkas dari dia orang masuk ke telefon bimbit.
Beb kau okey? Siapa lelaki tu? – Hara.
Beb kau dekat mana ni? Siapa lelaki tu? Dia buat apa kat kau? – Yatie.
Jangan gabra. Aku okey. Nanti balik rumah aku cerita. Tapi jangan delete gambar tu. In case aku tak balik. –  Itu yang aku balas.
Kemudian sekali lagi telefon aku berbunyi. Serentak pesanan masuk dari Hara dan Yatie sampai.
Kau buat aku cemas ni. Kau dekat mana cakaplah! – Hara.
Nak aku report polis sekarang ke? – Yatie.
Weh, aku okey. Tengah tunggu teksi depan pejabat aku ni. Nanti dekat rumah aku cerita.  – aku balas lagi bagi mereka berdua.
Setelah beberapa kali berbalas pesanan dan setelah aku yakinkan dia orang bahawa aku selamat barulah telefon aku kembali sunyi.
“Hai seorang je?” Tiba-tiba terdengar suara menegur.
Aku menoleh. Terlihat dua orang budak remaja sedang memerhati aku. Kedua-duanya tersengih-sengih bagaikan kerang busuk!
“Kalau mata kau tajam, kau akan nampak aku berdua sekarang ni,” balas aku sebal.
“Wah… kerek!” ejek budak lelaki bertopi dan berjalan menghampiri aku. Seorang lagi tersenyum penuh makna, duduk bertenggek di atas pagar di depan bangku.
“Kau orang ni nak apa?” soal aku geram.
“Saja nak kacau,” balas remaja bertopi.
“Cik kak, aku nak beli rokok lah. Kau ada duit?” tanya seorang lagi.
Aku mencemik. Hidung aku dapat menghidu malang yang bakal terjadi. Segera aku mengeluarkan telefon bimbit.
“Kau orang jangan datang dekat dengan aku. Kalau tak aku telefon polis!” Ugut aku dan segera menekan nombor talian kecemasan.
Eleh. Kita orang tak takut polis. Telefon lah. Tapi sebelum tu serahkan duit.” Budak bertopi mengugut.
“Nak berapa dik?” Tiba-tiba terdengar suara dari belakang.
Aku segera menoleh. Terlihat lelaki berjambang tadi berada di belakang aku. Tidak semerna-merna wajah budak itu kelihatan cuak.
“Lain kali, kalau nak buat kacau jangan buat dekat kawasan aku!” lelaki tersebut meluru ke depan dan budak berdua tadi pantas mengundur ke belakang.
Sorry Bro. Kita orang tak tahu.” Ujar budak bertopi tergagap-gagap seperti ketakutan.
“Lepas ni kau kena tahu. Kalau kunco-kunco aku nampak kau kacau dia ni lagi memang aku cari kau sampai ke lubang cacing! Kau ingat aku tak kenal kau ni dari kumpulan mana?” Jerkah lelaki tersebut. Kecut perut aku dibuatnya.
“Okey. Okey.” Terus keduanya lari lintang-pukang.
“Awak okey?” Soal lelaki itu pada aku pula sambil memandang aku dari atas ke bawah.
Aku mengangguk. Menarik nafas lega. Mujur dia datang tepat pada waktunya, kalau tak aku tak tahu apa jadi dengan aku. Entah-entah esok muka aku masuk surat khabar. Ya Allah, nauzubillah!
Meh, saya hantar balik.” Lelaki itu mula melangkah.
Aku terus berdiri kaku di situ. Berbelah-bagi. Patutkah aku ikut dia? Dia pun apa kurangnya dengan budak berdua tadi. Cuma bezanya, dia curi kereta Audi dan bercita rasa tinggi jika nak dibandingkan dengan budak berdua tu peras ugut hanya semata-mata nak beli rokok!
“Cepatlah.” Panggil dia.
“Saya telefon teman lelaki saya. Biar dia datang ambil.” Jawab aku.
“Tadi bukan main gaduh.” Dia menjeling.
“Ini yang buat saya menyesal tak simpan ramai teman lelaki!” Keluh aku perlahan. Terus menaip pesanan ringkas pada Imran. Alih-alih pada dia juga aku mengadu. Benci!
“Saya ada hal lepas ni. Tak ada masa nak teman awak tunggu teman lelaki awak datang.” Ujar dia dengan nada mendatar.
“Saya tak minta awak tunggu pun.” Balas aku, menarik wajah masam.
“Degil sungguh!” Dia segera menghampiri dan menyambar tangan aku. Tak sempat pun aku nak tekan ‘send’ pada Imran.
“Hey, awak nak buat apa ni?” Jerit aku cemas. Terpaksa melangkah.
“Hantar awak balik la.” Jawab dia acuh tak acuh.
“Tak nak! Entah-entah awak lagi jahat dari budak tadi!” Marah aku.
“Kalau saya nak buat jahat dekat awak dah lama saya buat tau.” Dia terus menarik tangan aku.
Aku berhenti meronta.
“Jadi, awak patah balik semata-mata sebab nak hantar saya balik?” Aku terkebil-kebil memandang dia. Wah, dalam serabai rupanya baik hati.
“Tak. Saya patah balik sebab tak mahu esok satu Malaysia dapat tengok muka saya terpampang dekat tv dan suratkhabar.” Jawab dia sambil membuka pintu kereta untuk aku.
“Kenapa terpampang dekat suratkhabar?” Tanya aku tak faham.
“Awak tanya kenapa? Gambar saya tadi tu? Kalau awak tak sampai rumah nanti tak fasal-fasal saya yang kena tuduh.” Dia memandang lurus dengan ray ban masih tersangkut di batang hidungnya yang mancung.
“Oh!” Aku menepuk dahi.
“Tapi nanti kalau tiba-tiba polis tahan awak tak fasal-fasal saya juga yang kena.”
“Kenapa pula?”
“Ni, kereta curi ni.”
“Saya tak curi lah.” Dia mendengus kasar.
“Bukti?”
“Kunci kereta ni tak cukup lagi?” Dia bercekak pinggang sambil memegang pintu kereta.
“Habis, pak cik tadi tu?” Soal aku. Was-was nak masuk ke dalam kereta tersebut.
Dia mendengus kasar.
“Mekanik lah! Dia hantar kereta lepas baiki tadi. Dia hantar kunci ni masa saya kat klinik. Awak nak saya telefon dia ke?”
“Emm… logik juga.”
“Tahu pun, cepat masuk!” Dia menolak tubuh aku untuk masuk ke dalam kereta.
“Kejap! Kalau saya masuk, awak jangan anggap saya ni perempuan murah, eh!” Pesan aku, mengangkat jari telunjuk tepat  pada wajah dia.
Dia tersenyum kecil.
“Kalau saya anggap awak perempuan murah saya tak offer nak hantar awak balik. Saya offer bilik hotel.” Dia mengulum senyum.
“Cepat masuk. Saya dah lambat ni.” Dia bergegas ke arah pintu pemandu.
Dalam keadaan antara nak percaya dan tak, aku melangkah juga masuk. Walau pun hati meragui ini kereta dia tapi separuh hati nak percaya.
“Alamat rumah.” Ujar dia sebaik saja menghidupkan enjin kereta.
“Saya tunjuk jalan.” Balas aku.
Dia terus memandu. Menghidupkan radio. Sekali-sekala terdengar dia berdendang mengikut rentak lagu.
Okey, aku percaya dia orang baik. Sebab orang jahat tak akan layan lagu-lagu Paolo Nutini atau pun Bruno Mars. Kalau dia lelaki berjiwa kering, dia tak akan layan lagu Drunk on you nyanyian Luke Bryan yang pada pendapat aku agak jiwang. Apa pun suara dia sangat sedap okey!
Aku menarik nafas lega. Tapi, adakah andaian aku ni betul?


 BERSAMBUNG...

No comments:

Post a Comment

Popular Posts