Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Mencari Mr Charming : Bab 1 - 5

(sudah berada di pasaran)

1
SIAPA kata jadi penulis ni seronok? Dapat royalti bertimbun? Popular? Menjadi pujaan pembaca? Huh, sebenarnya kau orang silap! Jadi penulis  sehebat tidak mana pun. Sebenarnya, indah khabar daripada rupa. Macam-macam masalah membelenggu. Antaranya…

1) Serba-salah – tak mampu nak penuhi selera pembaca yang berlainan minat. Jadi, elok lah penulis menulis mengikut apa yang mereka minat untuk tulis.
2) Jiwa kacau – Takut untuk berdepan dengan reaksi pembaca dan kritikan.
3) Royalti – Emmm… jika novel laris, cukuplah untuk belanja setahun atau bertahun-tahun. Kalau tak laris?Jadi,kena ada back up plan.
4) Privasi - Seeloknya penulis menjadi privasi diri. Jika diri menjadi bahan kutukan, pembaca tak akan percaya dengan tulisan kita. Silence is better. (sebab itu aku memilih untuk merahsiakan identiti diri aku)
5. Promosi - Tapi, apabila merahsiakan identiti pun payah. Sebab aku susah nak buat promosi. Tak dapat nak hadiri mana-mana acara promosi. Jadi, macam mana ya? Perlu dedahkan diri atau terus berahsia?
6. Popular – Seronok? Oh, percayalah! Popular memang menakutkan. Tiba-tiba saja akan muncul musuh yang kita tak tahu dari mana dia datang dan sebab apa dia benci kita . Salah satu contoh dalam kisah aku ini. Nanti aku kenalkan kau orang dengan musuh aku itu.

Jadi itulah serba sedikit situasi yang sedang aku alami sekarang ni dalam dunia penulisan. Kalau mahu  cerita lagi memang panjang. Tapi macam aku cakap dekat atas tu, silence is better! Bak kata Epictetus, keep silence for the most part, and speak only when you must, and then briefly. Jadi, untuk sesetengah perkara kita perlu bersuara. Tapi, apabila aku memilih untuk menjadi penulis, maka banyak perkara perlu aku diamkan.


Oh, lupa nak perkenalkan diri. Nama aku Indah Lara. Berumur 28 tahun. Tinggi lima kaki lima inci. Kulit kuning langsat. Mata sedikit sepet, tapi mak cakap mata aku cantik (saja nak pujuk hati aku kut?). Kerjaya penulis sepenuh masa dan separuh masa. Walaupun aku tahu bidang penulisan ini bermacam ragam, tapi tetap menjadi pilihan aku. Mungkin kerana darah yang mengalir dalam darah aku adalah darah keturunan penulis. Tak percaya? Mari sini aku buka hikayat.
Ibu aku guru sastera, selalu menulis di papan hitam. Ayah aku pula penulis puisi yang tak pernah diterbitkan. Atuk aku (belah mak, sebab belah ayah dua-dua dah meninggal), dia penulis diari peribadi (masa kecik aku selalu curi baca diari dia yang kebanyakan menulis hutang-hutang orang yang belum langsai). Abang aku pula, mengikut jejak langkah emak, tapi yang bezanya, abang suka menulis di dinding-dinding mengunakan botol spray. Kakak aku, penulis blog merapu (tapi sejak akhir-akhir ni asyik buat promosi tudung). Kiranya aku ni keturunan penulis jugalah, kan?
Walaupun tak dikenali atau tak kaya-raya.  Walaupun aku tak berpeluang pakai cermin mata hitam dan pakai baju bling-bling sambil bergambar dengan para peminat, aku tetap berpuas hati dengan apa yang aku ada. Mungkin kerana aku tak suka popular sebab itu aku tak pernah letak nama sebenar pada mana-mana novel aku yang dah terbit.
Kalau penerbit minta gambar aku untuk ditampal di bahagian biodata, aku bagi gambar yang samar aje. Kalau ikutkan hati, mahu saja aku bagi gambar berpurdah. Tapi aku fikir, kalau tiba-tiba novel-novel aku meletup… Kalau ya. Dan aku perlu ikuti sesi bertemu pembaca, takkan aku tak pakai purdah pula masa tu. Nanti ada pula yang mengutuk aku lupa diri. Kan?
Jadi, aku cuma pilih gambar yang samar aje, yang nampak muka sipi-sipi. Cukuplah tu.
Tapi dalam tak popular, dalam tak dikenali, aku tetap dibenci oleh pembaca (Ada haters tu! Kelas kau Lara!). Sesuatu yang aku sangat tak sangka. Sedih pun ada, tapi dalam masa yang sama gembira pun ada. Bila ada pembaca benci, itu bermakna ada-orang yang baca novel aku. Yeah! Gembira sebenarnya. Err…
Pagi tadi aku terima satu e-mel daripada pembaca. Mulanya rasa nak menangis baca e-mel tu, tapi bila aku bertafakur sejenak, aku mula sedar. Wah, kau baca novel aku!
Okey, untuk berlaku adil, aku tampal e-mel tu di sini. Kalau tak nanti kau orang tak percaya pula.

From: Indah Water
To: Indah Lara
Sent: Tuesday, 8:30 pm
Subject: Wake up girl!

Kehadapan Cik / Puan / Mak cik / Nenek Indah Lara (tak ada nama pena lain ke? Entah apa-apa aje.),
Aku dah baca novel kau berjudul Mamat Bunga itu Kekasihku… Kau memang fail! Tak ada tajuk lain ke! Untuk pengetahuan kau, aku bukan nak sangat baca novel kau entah apa-apa tu! Tapi aku dipaksa dan terpaksa. Tapi dipendekkan cerita, aku nak komen sikit.
Helo… Wake up girl! Kau banyak berangan aje dalam novel tu. Mana ada lelaki seromantik mat bunga tu dalam dunia ni. Kalau kau nak berangan dapat lelaki macam tu pun janganlah melampau-lampau! Drama-drama Melayu pun tak melampau macam novel kau! Prince Charming tak wujud okey! Kau ni memang terpengaruh dengan kisah Cinderella agaknya. Sudah-sudahlah… Dah tiba masanya kau baca buku-buku thriller atau motivasi. Kasi motivate sikit kepala otak kau tu.
Boleh tak, dalam novel kau tu jangan guna ayat yang buat aku pening kepala! Berkerawang segala, sakit jiwa aku ni. Please make it simple okay! Atau kau ni Puteri Gunung Ledang yang saja nak peningkan kepala Sultan Melaka?
Boleh tak, perkataan yang digunakan tu memudahkan aku baca? Ini tak pasal-pasal aku kena belek kamus sambil baca novel kau yang entah-apa-apa tu! Susah sangat ke nak guna perkataan yang mudah difahami oleh semua orang? Umur kau berapa? 85 tahun?
Okey, buat masa ni hanya komen ni saja aku bagi pada kau. Mudah-mudahan menyedarkan diri kau supaya novel kau yang seterusnya tak meraban sangat. Please ya, next novel jangan nak tulis hero tu handsome tahap gaban dan romantik nak m**p**!

Yang Benar
Indah Water

Macam mana? Sakit hati, kan? Kalau ikut hati mahu saja aku balas dengan kata-kata kesat. Tapi, sabar… Emak aku pesan, menjadi penulis, ibarat menyerahkan diri kepada masyarakat. Seperti kita berdiri di tengah-tengah orang ramai sambil melontarkan pendapat kita, angan-angan kita. Jika ada yang suka, maka kita akan naik. Jika ramai yang tak suka, kita terpaksa berdepan dengan mereka dan mungkin terpaksa menjadi macam belatuk, terangguk-angguk. Terpaksa setuju dengan mereka.
Menjadi penulis, samalah seperti menjadi peniaga. Tagline customer is always right… Kena pegang. Walau hakikatnya, penulis memang tak mampu memenuhi kehendak semua pembaca yang terdiri daripada pelbagai jenis kepala. Ada dia orang kisah? Tak adanya... Jadi, kalau betul mahu jadi penulis, pastikan hati perlu kuat. Sabar perlu sentiasa ada.
Itulah pesan emak ketika aku memutuskan untuk menjadi penulis sepenuh masa. Pada mulanya aku pandang remeh nasihat emak. Tapi bila dah jadi macam ni, rupanya memang betul cakap emak. Mujur emak dah pesan awal-awal, kalau tidak memang habis Indah Water tu kena sembur dengan air jamban! Jadi, untuk mengelak dari tangan aku mula gatal marah-marah pada si Indah Water tu, lebih baik aku buat bodoh dan tak balas e-mel dia tu.
Sudahnya, seharian aku melepak dekat rumah sambil menonton drama Korea. Malas nak menulis, tak ada mood!


2
AWAK ni memang tak serik-serik, eh?” Fazilah menjeling adiknya. Sambil tangannya rancak mengasingkan barang yang dibeli oleh Fazrin.
“Serik apa ni? Tak ada mukadimah apa, tiba-tiba aje serang,” balas Fazrin acuh tak acuh. Dia dah tahu apa yang bakal kakak dia suarakan tu, tapi saja buat-buat tak tahu.
“Huh! Akak tak suka. Cukup-cukuplah apa yang dah awak lalui dua tahun lepas. Cukup!” Fazilah mendengus kasar. Berjalan ke arah singki mengeluarkan daging dari plastik.
“Pasal Syikinlah tu.” Fazrin mencebik.
“Ha… tahu pun. Akak tak suka dia. Full stop.”
“Kenapa pula, kak? Dia cantik apa. Dalam ramai-ramai orang tergilakan dia, dia pilih adik akak tau. Akak sepatutnya bangga,” balas Fazrin mengusik.
“Tak kuasa akak nak bangga. Kali ni akak nak awak cari perempuan yang normal!” Tegas Fazilah. Kali ini dia tak akan bagi kelonggaran lagi.
Tawa Fazrin meledak. “Apa yang tak normalnya Syikin tu? Sempurna segala-galanya.”
“Luaran memanglah sempurna. Dalaman?” Fazilah menjeling sekali lagi.
“Eh kak… nak suruh Fa test dalaman dia ke?” Sekali lagi Fazrin mengusik kakaknya.
“Fa!” Fazilah menoleh, bercekak pinggang.
Fazrin ketawa. “Fa berguraulah.”
“Awak jangan nak buat benda yang bukan-bukan dengan anak dara orang. Kalau keluar berita pasal awak buat benda tak senonoh, siap awak! Akak cili cukup-cukup!” marah Fazilah.
“Fa ni masih ada imanlah kak!” Fazrin mengekek. Setelah penat seharian bekerja, inilah masanya dia hendak bergurau senda. Nak bergurau senda dengan teman wanita sendiri, asyik sibuk saja.
“Pak Imam pun boleh tersungkur, inikan pula awak.” Fazilah mencebik.
“Pak Imam, memanglah syaitan goda lebih sikit.” Fazrin sengih.
“Habis tu, kalau orang macam awak tu, syaitan baru cakap nak goda awak dah tergoda,” perli Fazilah.
Serentak itu tawa Fazrin meledak. “Jangan risaulah kak. Fa masih berpijak di bumi yang nyata. Masih menjunjung apa yang abah dan ibu ajar.”
“Baguslah kalau macam tu.”
“Yaya mana?” tanya Fazrin saja nak ubah topik perbualan.
“Kat atas,” jawab Fazilah acuh tak acuh.
Risau sungguh Fazilah dengan adik dia yang seorang itu. Tak tahu mana silapnya, setiap kali bercinta selalu saja adiknya menjadi mangsa ditinggalkan kekasih. Nak kata tak kacak, Fazrin memang seorang yang kacak. Nak kata pendek… Haisy, tubuh dia yang tinggi lampai tu memang sangat elok, padan dengan rupanya. Nak kata tak berduit, Fazrin ada duit. Cuma mungkin bukan kaya-raya. Tapi masih dalam kategori lelaki berduit.
“Awak  jangan nak ubah topik. Akak serius kali ni. Akak tak suka Syikin tu.” Kali ini suara Fazilah mengendur.
“Yalah… Yalah…” jawab Fazrin acuh tak acuh.
“Yalah… Yalah… Tapi masih berkepit,” sindir Fazilah, berjalan ke meja makan, mencari bahan untuk dimasak.
“Dah dia datang nak berkepit, Fa kepitlah.” Fazrin mengekek.
“Haisy, budak ni! Seriuslah sikit!” Fazilah bercekak pinggang.
“Jangan risaulah kak. Fa tak bersedia nak kahwin lagi. Tengah kumpul duit ni. Kalau boleh tahun depan Fa nak pastikan Fa dah ada syarikat sendiri,” ujar Fazrin dengan penuh bersemangat.
Memang sudah bertahun dia berazam ingin miliki perniagaan sendiri. Namun disebabkan tak cukup modal, dia terpaksa tangguhkan hasratnya.
“Eh, mana boleh tak bersedia. Awak tu makin lama makin berumur. Kena kahwin cepat-cepat. Nanti bila umur 40 anak dah masuk sekolah menengah!” bantah Fazilah.
“Lelaki tak apa kahwin lewat. Makin tua makin mahal.”
“Makin tua makin mahal tu untuk stok lelaki berharta. Awak tu ada banyak harta ke?” Fazilah menjeling mengeluarkan black paper dari plastik Cold Storage.
“Sebab tu Fa nak ada syarikat sendiri. Fa minta jadi pelabur tak mahu.” Fazrin mencebik.
“Bukan tak mahu, tapi business abang perlahan sikit tahun ni. Jadi duit yang ada tu kita orang kena simpan untuk kecemasan.” Suara Fazilah mengendur.
“Yalah, Fa faham.” Fazrin bingkas bangun.
“Nak ke mana tu?” tanya Fazilah.
“Usik Yaya.” Fazrin tersengih. Kalau ke rumah kakak dia, tak sah kalau tak mengusik si kecil tu. Rasa tak lengkap jiwanya.
“Eh, jangan kacau. Bukan senang akak nak tidurkan dia siang-siang ni.”
“Alah, kalau dia jaga Fa boleh bawa dia jalan-jalan.” Fazrin terus melangkah.



3
Indah Lara
45 minute ago
Dihalau keluar dari rumah. Di mana tempat berteduh seterusnya?
Like. Comment. Promote. Share

SETIAP petang tempat wajib lepak adalah di depan rumah. Bertemankan satu teko kopi, satu piring biskut kering. Sambil makan, sambil melihat budak-budak bermain bola sepak di padang depan rumah. Bila tengok dia orang seronok bermain, terasa rindu pula pada zaman kanak-kanak. Zaman yang sangat indah!
“Lara, kau ni kenapa? Dari pagi tadi aku tengok kau termenung aje?” Ayun menghampiri aku bersama setin biskut.
Okey. Sebelum aku bercerita lagi panjang, mari aku kenalkan sekejap siapa cik adik yang tiba-tiba enter frame ni. Dia ni satu-satunya kawan baik aku.
 Ayun atau nama dalam kad pengenalan warna biru, Rohayu binti Hamid, teman serumah merangkap bestfriend dunia dan akhirat. Sudah sepuluh tahun kami tinggal serumah. Dari zaman pra-sejarah Paleoliti (zaman kolejlah tu) sehingga zaman Logam (di ambang 30-an) kita orang tetap setia bersama.
Ayun anak bongsu. Rumah yang kita orang duduk ini memang rumah milik keluarga dia. Sejak ayah dia pencen, keluarga dia pindah ke kampung. Jadi rumah teres dua tingkat ini diserahkan kepada Ayun. Tapi, aku tak duduk percuma. Sewa masih dibayar, tapi taklah semahal sewa rumah lain-lain di Kuala Lumpur ni.
Kadang-kadang kalau aku tak ada duit, Ayun tak ambil pun duit sewa yang aku bayar tu. Katanya, cukup jadi tukang masak dan kemas rumah. Aku pula, tak adalah selalu ambil kesempatan. Kadang-kadang aje. Kalau betul-betul ada duit, memang aku bayar. Kadang-kadang aku bayar lebih. Maklumlah, pendapatan penulis melukut di tepian gantang seperti aku ni bukannya mewah sangat. Tapi sejak setahun dua ni alhamdullilah, dah semakin stabil. Lagipun aku ada buat part time job menulis di dua buah majalah.
“Oit!” jerkah Ayun lagi, sekali gus mematikan lamunan.
Aku mendengus perlahan.
“Aku susah hati,” keluhku perlahan sambil melempar pandangan ke arah padang di depan rumah.
“Kau susah hati pasal perkara yang kita bincang semalam?” soal Ayun lantas menarik kerusi di depan.
Aku mengangguk lemah. “Bukan pasal tu aje, tadi ada pembaca e-mel marah-marah kat aku sebab novel aku hero terlampau romantik. Katanya lelaki macam tu tak wujud. Betul ke memang tak ada lelaki romantik dalam dunia ni?”  soalku sambil menghirup seteguk air kopi yang semakin sejuk.
Ayun ketawa mengekek. Aku menjeling.
“Aku setuju dengan pembaca kau tu. Yalah, kau pun satu, buat watak romantik gila sampai aku pun cair. Tapi yang sedihnya, tunang aku tak macam tu pun.” Ayun menarik wajah masam.
“Apa pun, aku akan buktikan masih ada lelaki romantik di luar sana. Aku akan cari Prince Charming tu dan bawa menghadap kau.” Aku mencebir.
“Kau ni memang tak habis-habis dengan kisah fairy tales kau tu. Percayalah, memang tak ada lelaki romantik. Pupus dah. Yang tinggal sisa-sisa yang masih berperikemanusiaan tapi yang romantik, nehee…” Ayun meniru gaya pekerja kedai mamak yang nak bagi tahu kari kepala ikan dah habis.
“Kau bercakap base on pengalaman kau. Memanglah. Di luar sana, masih ramai lagi lelaki-lelaki yang charming tau. Salah seorangnya…” Aku tersengih kerang. Wajah dia mula muncul di ruang mata.
“Fazrin Adamlah tu.” Ayun mencemik. Menggeleng kepala. “Mana kau tahu dia charming, romantik? Entah-entah…”
“Hei, kau jangan nak kutuk dia okey. Aku tahu dia romantik. Tengoklah drama dan filem lakonan dia tu… Real. Tak nampak macam buat-buat pun.” Aku tersenyum puas. Fazrin Adam, dulu kini dan selamanya. Walau berpuluh pelakon baru muncul, dia tetap menjadi pujaan hatiku!
“Kau ni naïf sungguh. Kalau kau nak tahu, lelaki yang romantik ni sama ada dia orang ni buaya darat atau… Gay!” Ayun tersengih-sengih menaikkan kening.
“Hah? Teori siapa kau pakai ni?” Mahu tercabut biji mata aku merenung Ayun.
Kalau spesies buaya darat mungkin aku boleh jinakkan, tapi kalau spesies satu lagi tu… alahai, susah sikit. Bukan sikit, tapi banyak juga susah tu. Bukannya mudah nak betulkan besi yang dah bengkok! Lainlah kalau aku ni kuat iman, boleh bimbing dia ke jalan lurus. Tapi kalau diri sendiri kadang-kadang boleh terbabas dari jalan lurus, memang haru!
“Teori kaum lelaki sejati,” balas Ayun tersenyum bangga. “Aku dah kenal ramai lelaki dan aku dah kaji. Kebanyakkan lelaki sejati tak romantik. Kalau ada yang romantik tu memang spesies susah nak kekal dengan seorang perempuan dan lelaki gay!
“Perincikan lagi,” cabarku, tengah geram ni. Ayun ni memang suka musnahkan impian aku!
Ayun membetulkan duduknya. Berdeham perlahan. Gaya macam nak bagi syarahan pula.
“Lelaki romantik tak ada, tapi berlagak romantik ada. Sebab dia orang ni dah tahu apa perempuan nak. Dengan mengunakan pengetahuan dia tu, dia akan pikat mana-mana perempuan dengan mudah. Dan perempuan akan mudah terpikat. Sebab itu lelaki yang tahu maksud romantik ni spesies lelaki buaya darat. Lelaki gay pula, sah-sah jiwa dia agak sensitif macam perempuan. Kalau kau kawan dengan dia orang, memang kau rasa seronok sebab dia orang sangat caring, macam faham segala apa yang kita mahu. Tapi… bila tiba bab kejantanan…” Ayun diam, menaikkan kedua-dua keningnya. “Aku tak mahu sambung, nanti kau tuduh aku cakap L pulak!”
“Aku tak percaya!” Aku menggeleng kepala beberapa kali.
Walaupun aku cakap tak percaya, tapi jauh di dasar hati aku hampir nak percaya dengan teori tu. Kecewa juga hati aku kalau teori Ayun betul. Tentu Indah Water makin seronok mengutuk aku.
Whatever. Aku cuma nasihat. Lain kali kalau jumpa lelaki romantik hati-hati ya.” Ayun terus tersengih.
Seronoklah tu kenakan aku!
Tapi betul ke teori Ayun tu? Kalau lelaki romantik tak wujud, mana datangnya cerita-cerita tentang kehebatan Prince Charming? Kalau lelaki romantik tak wujud tak mungkin wujud cerita Romeo and Juliet, Uda dan Dara.  Kalau lelaki romantik tak wujud, macam mana boleh ada penulis hebat seperti William Shakespeare atau Nicholas Sparks. Jika mereka tak memiliki hati yang lembut dan sensitif, tak mungkin dia orang dapat menghasilkan karya-karya yang terkenal di pelosok dunia? Betul tak? Takkan dia orang… buaya darat! Atau… Haisy, tak baik berburuk sangka Lara!
“Mengelamun lagi!” tegur Ayun.
Aku menarik nafas dalam. Melempar pandangan jauh ke tengah padang. Tak mampu nak berdebat dengan Ayun selagi aku tak mampu mencari jawapan daripada pertanyaan aku itu.
“Ayun, pasal semalam tu, boleh tak kalau aku tak setuju? Aku nak duduk sini juga!” Sengaja ubah topik perbualan.
“Alah, kau jangan buat aku serba salah. Aku bukannya nak buat semua tu, tapi aku terpaksa.” Wajah Ayun monyok.
“Sampai hati kau halau aku. Aku dah merayu tahap pengemis jalanan ni. Takkan kau nak halau aku juga?” Sayu sungguh mengenangkan aku terpaksa tinggalkan rumah ini dalam beberapa minggu lagi.
Ayun mencemik. “Kau janganlah buat muka macam tu. Buat aku sedih aje.” Ayun menarik wajah masam.
“Memang patut pun kau sedih. Kau memang kejam. Aku sayang tau rumah ni! Banyak kenangan.” Aku menarik wajah simpati.
“Kejam kau kata? Weh, kalau kau tanya seluruh manusia di dunia ni, mesti akan sokong tindakan aku ni. Kalau kau di tempat aku pun, kau akan buat perkara yang sama,” balas Ayun mencemik. Langsung tak ada riak simpati pada wajah dia. Kejam sungguh!
“Esok, aku temankan kau cari rumah sewa baru ya?” ujar Ayun. Nak pujuk akulah tu.
“Kau memang tak sabar-sabar nak suruh aku blah, kan?” Aku menarik wajah masam. Berpeluk tubuh. Saja pura-pura merajuk.
 “Beb, aku ni kalau boleh memang nak sangat kau tinggal sama dengan aku. Tapi aku tak rela bermadu dengan kau. Walaupun kau kawan baik aku. Soal suami memang aku tak boleh bertolak ansur.”
“Siapa cakap nak bermadu dengan kau. Aku cuma nak tumpang bilik aje.” Aku menjeling sebal. Kalau dia tak rela bermadu, aku sepuluh kali tak rela!
“Tapi nanti bila aku dah kahwin, bila suami aku ada dalam rumah ni dan aku pergi kerja, aku takut nanti kau orang berdua kena tangkap basah. Lepas tu kena paksa kahwin. Lepas tu tambah lagi peratusan kisah kahwin paksa kat Malaysia ni. Nanti tak pasal-pasal kita bermadu. Aku dah tentu-tentu jadi madu yang pahit. Jadi jahat. Kau nak?” marah Ayun mencemik.
Aku tersengih. Memang logik pun kalau Ayun nak halau aku. Cuma aku yang sengaja buat-buat tak faham. Aku cuma nak mengusik bakal pengantin baru ni. Aku pun tak rela nak tinggal serumah dengan pengantin baru, nanti jiwa terseksa!
“Esok aku teman kau. Nak cari rumah area mana?” tanya Ayun serius.
“Mont Kiaralah,” balas aku sambil menghabiskan sisa air kopi.
Ayun menaikkan kedua-dua keningnya. Aku faham maksud pandangan dia tu, tapi saja buat-buat tak nampak.
“Kau biar betul? Cuba berpijak di bumi yang nyata sikit.” Ayun menjeling sinis. Aku tersenyum kecil.
“Apa salahnya sekali-sekala terbang di awan biru?” Aku mendongak ke langit. Mula berkhayal.
“Memang tak salah. Tapi kau tu mana mampu nak terbang di awan biru? Naik kapal terbang pun harapkan tiket subsidi penerbit kau!”
Aku memandang Ayun. Menaikkan jari telunjuk ke arah dia.
“Selagi aku tak berjuang, selagi itu aku tak akan mengalah,” balas aku serius.
“Mont Kiara? Seriously?” Kening Ayun dah terangkat sebelah.
Haisy, dia ni memang tak kasi peluang aku berangan sungguh!
“Kenapa? Kau nak cakap yang aku ni penulis miskin yang tak mampu nak duduk kondo orang kaya?”
“Tak adalah aku cakap kau miskin. Tapi hakikatnya memang kau miskin pun, kan?” Ayun tersengih.
“Sangat menjengkelkan!” Aku bingkas bangun.
“Weh, merajuk ke?” jerit Ayun.

Indah Lara
3 hours ago
Dihalau keluar dari rumah. Di mana tempat berteduh seterusnya?
Like. Commnet. Promote. Share
Hamidah - Kak siapa yang halau akak? Keluarga ke? 
Hana Norisa - Hamidah, takkan keluarga Kak Indah kut? Mesti tuan rumah yang akak sewa, kan?
Izarida Kulop Mat Isa - Tak bayar sewa ke? Hahaha…
Luna - Meh berteduh kat rumah saya ni :P 
Nisha - Kena halau? Kejamnya! 
Nur Syafiqah - Gila kejam!
Zur’aen - Jomlah menyewa dekat rumah kita :P
Ara Raihana - Cerciter kenapa sampai kena halau ni. Ada buat perkara tak senonoh ke?
Ayun - Halau? Ada yang nak kena belasah ni!


 4

Indah Lara

37 minutes ago
Doakan saya dapat tempat berteduh yang paling indah! :P
Like. Commnet. Promote. Share

KAU ni memang tak pandai nak ukur baju di badan sendirilah.” Ayun bersuara, mengganggu tumpuan aku yang sedang teruja memerhati bangunan yang mencakar langit (tapi tak adalah setinggi bangunan KLCC).
“Memanglah, sebab sekarang ni aku nak tengok rumah bukannya nak beli baju.” Aku berdesit perlahan, sengaja buat-buat tak faham. Mataku terus ralit memerhati pemandangan yang penuh dengan kemewahan di hadapanku.
“Kelakarlah tu.” Ayun memperlahankan kereta. “Seriously, beb. Kawasan ni bukan kawasan kaulah.”
Kami berhenti di seberang jalan betul-betul di hadapan sebuah kawasan kondominium elit. Tengok dari luar aku sudah tahu memang rumah di situ bukan tempat permainan aku. Tapi kalau sudah cinta, dapat tengok bangunan pun dah terasa macam tinggal dekat dalam.
Kawasan kondo itu dikelilingi dengan pepohon yang menghijau. Seni taman di luar kawasan berpagar itu pun sudah menampakkan kemewahan. Kalau di dalam lagi mengancam agaknya. Dari luar sudah terdengar bunyi air pancur, burung-burung kelihatan berterbangan hinggap di dahan pokok. Kicauannya menyegarkan telinga. Reka bentuk bangunan itu juga sangat mengagumkan. Satu pemandangan yang damai. Tidak banyak kereta mahu pun motor lalu-lalang di kawasan ini. Agak-agak, apa pekerjaan mereka yang tinggal di sini ya? Tidak sangka ramai juga orang Malaysia yang kaya-raya.
“Kau ni susah-susah nak cari bilik sewa kenapa? Tinggal aje kat rumah kakak kau tu.” Ayun bersandar di kerusi dengan wajah bosan.
“Tak bolehlah. Aku tak ngam sangat dengan dia. Lagipun, kalau aku ada sana, mesti dia suruh aku jaga anak dia tu. Bukan kau tak tahu, aku dengan budak-budak ni alergik sikit. Tak reti nak melayan!” Aku mencemik. Terus merenung bangunan di depanku.
Ayun menggeleng beberapa kali. Sebelum ini sudah berbuih mulut dia cadangkan aku tinggal saja dengan kakak aku yang tinggal di Cheras. Tapi aku berkeras tidak mahu. Kalau aku tinggal sana, sah-sah idea untuk menulis akan kaku dan beku. Kejap-kejap dengar anak dia menangis. Itu tak kira lagi apabila tiba-tiba dia panggil aku suruh melayan anak dia sementara dia menjahit. Lepas tu, satu rumah akan dengar mesin jahit dia yang tak pernah duduk diam. Sudahlah rumah pun aku tengok macam kilang kain! Macam mana aku nak menulis? Hujung bulan ini aku dah kena hantar satu manuskrip untuk penerbit kesayangan aku. Semalam pun editor aku dah bising-bising sebab manuskrip yang dijanjikan masih tak sampai ke kotak e-mel dia. Kalau lambat katanya nanti dia bagi penulis lain potong barisan. Mana boleh! Sudahlah nak dapat slot bukan main payah, takkan senang-senang aku nak bagi dekat orang lain.
“Jomlah gerak.” Ayun segera memasukkan gear.
“Eh, nanti dulu.” Aku memaut lengan Ayun.
“Nak tunggu apa lagi. Cuba kau tengok kat depan tu. Pak guard dah pandang kita semacam aje. Mesti dia ingat kita usyar bangunan ni sebab nak merompak,” bisik Ayun, wajah dia kelihatan cemas.
“Alah, bertenang. Jalan ni bukan mak bapa penduduk kondo ni punya. Kerajaan punya tau. Kita pun bayar cukai, kita ada hak nak berhentikan kereta kat mana-mana pun.”
“Pembetulan ya, bukan kita. Tapi aku yang bayar cukai.” Ayun mencemik.
“Yalah, kau banyak duit sebab tu kena cukai. Tak macam aku ni, sengkek.” Aku mendengus perlahan sambil mata terus merenung kawasan kondo itu.
“Kalau aku tahu kau nak melepak lama dalam kereta, baik aku berhenti dekat kedai tadi. Bungkus nasi ke, air dua tiga plastik.” Ayun menarik wajah masam. Berpeluk tubuh.
Nak protes konon tu. Tapi jangan harap aku layan. Selagi aku tak puas, selagi itu dia kena ikut cakap aku.  Siapa suruh halau aku dari rumah!
Sedang aku syok berkhayal, tiba-tiba terdengar cermin kereta kami diketuk dari belakang.
 “Hah! Aku dah kata dah!” jerit Ayun berwajah cemas. “Ni mesti nak halau kita ni. Atau mesti dia nak ambil gambar kita lepas tu tampal dekat dinding bangunan dan suruh para penghuni berhati-hati. Atau… Dia tampal plat nombor kereta aku ni dekat pintu pagar masuk!”
“Kau ni menggelabah betul. Relakslah.”
Sebenarnya, aku pun boleh tahan juga menggelabah ni. Tapi masih berlagak tenang. Kalau aku tunjuk pada Ayun, harus kaki dia laju saja tekan pedal minyak kereta.
Pak pengawal mengetuk cermin belah pemandu beberapa kali. Dalam keadaan kalut Ayun menurunkan cermin kereta dan aku apa lagi, tanpa beri peluang dekat pak pengawal, aku terus buka mulut.
“Pak cik, relakslah… Ni jalan kerajaan, kami pun bayar cukai! Parking dekat sini pun nak kecoh-kecoh. Mentang-mentang kereta Viva buruk.” Aku membebel, langsung tak bagi peluang dia marah pada kita orang.
“Kau kata kereta aku ni buruk?” bisik Ayun, menjeling tajam. Aku tersengih, menyuruh dia menutup mulut.
Berkelip-kelip mata pengawal memandang aku dan Ayun bersilih ganti. Hah, tahu pun takut.
“Kereta cik adik berdua ni rosak ke?” Pak pengawal itu bertanya dengan wajah prihatin. Aku dan Ayun saling berpandangan.
Aduh! Tersalah sembur pulak!
Ayun mengangguk. Aku pula menggeleng. Sudahnya pak cik tadi garu kepala. Berkerut-kerut dahi dia pandang kita orang.
“Mana satu ni?” tanya dia sambil pandang aku dan Ayun bersilih ganti.
“Tak rosak, bang” balas aku tersenyum-senyum. Nada suara kembali merdu.  Dari panggilan pak cik terus ke abang. Cewah, dah buat salah tadi kan, jadi aku kena ambil hati dia balik. Kalau mak dekat kampung tahu, memang siaplah aku!
“Habis tu? Dari tadi saya tengok kereta awak berdua ni tak bergerak-gerak. Ingatkan rosak.” Dia menarik nafas lega.
Dalam masa yang sama aku seakan-akan boleh nampak tanda soal atas kepala dia, lantas aku pun bersuara.
“Sebenarnya, kita orang…”
Takkan aku nak cakap aku nak cari rumah sewa? Sah-sah dia tak percaya. Dengan Viva buruk Ayun ni, mesti dia tak percaya dengan alasan aku tu. Lainlah kalau aku datang dengan kereta BMW milik ayah Ayun, mesti dia percaya punya.
Ayun berdeham perlahan, menghantar isyarat agar aku lekas bersuara.
“Kita orang nak cari rumah. Tapi kertas alamat rumah tu hilang sebab tu lama kami berhenti dekat sini. Kita orang tengah cuba ingat balik alamat tu.”
“Oh…” Ada garis lega pada wajah pak pengawal. “Rumah tu dekat kondo ni ke?”
Tanpa memikirkan sebab dan akibatnya, aku mengangguk laju. Alah, takkan dia kenal semua orang dalam bangunan tu. Bangunan setinggi langit mesti ada beribu-ribu penghuni. Takkan dia nak pergi tanya semua penghuni rumah tu pasal aku, kan?
“Kau orang datang nak temu duga ke?” Dia masih mengintai dari tingkap.
Aku dan Ayun saling berpandangan. Alahai, temu duga apa pula ni? Aku mengangguk. Dan sekali lagi aku buat tindakan bodoh yang boleh menjerat diri.
Sebenarnya aku tak berniat nak angguk pun, tapi ter. Maklumlah, sudah terbiasa mengangguk sebelum ni. Ayun menoleh, terkejutlah tu. Aku mengangkat kedua-dua bahu. Dia mendengus kasar.
“Oh, kamu ke yang telefon cakap sesat tadi?” tanya pak pengawal.
Aduhai pak cik ni ada saja soalan yang boleh menjerat aku. Nak tak nak terpaksa aku mengaku. Ayun apa lagi, menepuk dahilah. Dan sekali aku tersengih kerang.
“La… kenapa tak bagi tahu awal-awal tadi?”
“Tak apalah pak cik. Dah lewat ni. Esok ajelah kami datang temu duga.” Ayun segera menyampuk sebelum pak cik itu cakap lebih.
“Eh, mana boleh datang esok. Nanti kamu terlepas kerja ni. Cepat keluar, saya bawa awak jumpa tuan.”
“Err… Tuan?” Bulat mata aku pandang pak pengawal.
“Ya, dari tadi dia tunggu kamu sampai. Berkali-kali dia telefon ke pondok tanya kalau-kalau kamu dah sampai. Dia dah lewat tu, kejap lagi dia nak ke airport.”
Sudah! Aku dan Ayun saling berpandangan.
“Tapi…” Aku menelan air liur. Padan muka, nak menipu sangat… Sekarang dah tergagap-gagap.
“Kau jangan nak berdrama pula. Cakap kita bukan datang untuk interview,” bisik Ayun di telinga aku.
Pak cik tadi terus menanti. Dahinya berkerut menahan sinar matahari. “Cepatlah keluar,” gesanya sambil mengelap peluh di dahi.
“Kami bukan datang untuk interview,” balas aku perlahan. Menjenguk ke luar tingkap. Mengintai pak pengawal yang masih berdiri di sebelah kereta kami.
“Habis tu kau orang berdua buat apa dekat sini?” Pak pengawal memandang curiga kemudian memandang ke tempat duduk belakang. “Entah-entah kau orang berdua ni…” Dia berhenti bersuara, tangannya segera ke belakang menarik kayu cotar.
Aku dan Ayun saling berpandangan. Jantung aku berdegup kencang. Wajah Ayun sudah berubah pucat.
“Keluarkan Mykad,” minta pak pengawal dah macam polis pula.
“Alah, pak cik, nak buat apa?” tanya aku tertelan air liur. Masih berada di dalam kereta. Kalau aku keluar mahu dia gari tangan aku dan Ayun nanti.
“Baru minggu lepas ada penghuni rumah ni terima surat layang, ugut mahu bunuh. Jadi saya kena periksa awak dulu.”
“Padan muka! Kau nak mengaku datang interview atau nak kena seret masuk penjara?”
Aku mencemik pada Ayun.
“Pak cik, kami ni datang untuk interviewlah. Kenapa sampai nak periksa Mykad bagai?” Tiba-tiba Ayun bersuara.
Aku tersentak. Tahu pun takut. Wajah pak pengawal tadi berubah kelat.
“Kau orang ni yang mana satu? Kejap cakap interview, kejap cakap tak.” Dia mengaru kepala.
Aku tersengih. “Betul saya datang untuk interview tu, tapi…” Nak bagi alasan apa lagi ni?
 “Saya tertinggal resume saya dekat rumah, sekali dengan alamat. Bila sampai sini baru saya perasan resume tu tak ada. Lagipun, tak sangka pula kawasan rumah orang kaya. Saya pakai selekeh aje ni.”
Kali ini mesti pak cik ni tak boleh nak cakap apa-apa. Sah-sah dia tahu yang aku tak akan dapat kerja ni. Mana pernah orang datang temu duga tak bawa resume lepas tu pakai selekeh macam aku ni. Mak cik nak pergi pasar pun lagi kemas daripada aku.
Tapi, lain yang aku harap, lain pula yang terjadi. Boleh pula pak cik ni tersengih. Aku dan Ayun sekali lagi bertukar pandangan.
“Jangan risau. Tuan nak tengok kamu aje. Resume semua tu tak penting pun,” jawab pak cik tu dengan penuh yakin. Macamlah dia yang akan temu duga aku.
“Tuan nak tengok?” Bulat mata Ayun memandang aku.
Temu duga apa main tengok-tengok ni? Mana ada temu duga tak perlukan resume? Takkan temu duga jadi mak guard? Minta simpang, aku mana reti nak jaga kawasan rumah ni? Mahunya ada perompak datang, mana aku reti nak lawan. Aku tak ada silat! Menari zapin aku pandailah.
Tapi, tak mungkin. Kalau nak jadi pengawal sekalipun, mesti dia orang nak tengok sijil-sijil dan pengalaman kerja. Kerja apa yang cuma perlu tengok calon ni? Erk! Kalau tak silap aku, kerja yang cuma nak tengok tuan badan ni, biasanya kerja… Ya ampun!
Aku melihat baju yang melekat di badan. Lantas kedua-dua tangan memeluk badan yang kurus kering. Alahai, kenapa aku pakai baju seksi ni? Baju-T lengan pendek dan cardigan paras pinggang dan skinny jeans.
“Tapi… baju saya ni sesuai ke?” Aku cuba memasang dalih.
“Tak apa. Tuan tak kisah pasal pakaian. Apa pun keluarlah dulu. Tuan dah lama tunggu.” Pak pengawal menjeling jam di pergelangan tangannya.
Mahu tak mahu, terpaksa juga aku dan Ayun keluar dari kereta tu. Sempat Ayun mengugut. “Kau jangan libatkan aku dengan temu duga ni. Aku teman kau aje.”
“Kalau aku tak mengaku, kita dah kena seret pergi balai tau!” Aku mencemik.
Ya Tuhan, selamatkanlah aku.  Jika temu duga ini untuk kerja-kerja yang haram, maka pengsankanlah aku ketika dalam lif nanti. Amin.

Menurut Pak Daniel, pak pengawal tadi, aku akan ditemu duga untuk menjadi babysitter! Nasib baik babysitter. Kalau macam yang aku fikirkan tadi, mahu mak meraung dekat kampung!
Tapi babysitter pun masalah jugak. Aku mana pandai nak jaga budak. Jaga diri sendiri pun kadang-kadang malas. Nak kena basuh berak, mandikan dan main dengan dia… Alahai, memang menempah bala sungguh! Tapi tak apa. Masa temu duga nanti tahulah aku nak jawab apa.
“Aku tunggu dekat luar sajalah,” bisik Ayun. Pak Daniel sudah pun turun bawah. Katanya kalau lama-lama hilang dari pondok, tak pasal-pasal dia kena sembur dengan penghuni kondo mewah ini.
“Suka lepas tangan.” Aku menjeling sebal.
“Eh, siapa yang cari pasal, dialah yang settle,” balas Ayun tersenyum sinis. Aku berdesit geram, menjeling sebal.
“Temanlah aku. Mana tahu ini rumah orang jahat ke?” Aku merayu.
“Alah, kalau dia orang jahat mesti Pak Daniel dah pesan awal-awal. Kau tak dengar ke dia cakap tuan ni baik,” pujuk Ayun, menolak aku supaya menghampiri pintu rumah itu.
Loceng dibunyikan. Dalam masa yang sama aku mencemik ke arah Ayun yang sedang tersengih-sengih menaikkan kedua-dua ibu jarinya kepada aku.
Terdengar pintu rumah dibuka. Aku segera menoleh. Namun, sebaik sahaja melihat wajah pemilik rumah itu mata aku terbuka luas. Dia juga begitu, seperti terkejut melihat aku. Untuk seketika kami saling berpandangan.
“Oh! My Prince Charming?


 5

MATA aku terus terbuai melihat wajah berbentuk persegi itu. Wajah dia kelihatan agak kacak. Mungkin kerana garis rahangnya kelihatan jelas. Orang kata wajah lelaki yang memiliki rahang yang jelas adalah lelaki maco. Betul ke tidak, kau orang nilai sendiri bila jumpa lelaki macam tu nanti.
Dahinya lebar dan dagunya persegi ala-ala bentuk wajah Brad Pitt. Rambutnya lurus disisir kemas. Aku menelan air liur.
“Emm… Sampai pun. Masuklah,” pelawanya.
Pergh! Suara husky! Seksinya! Bertambah lagi markah yang sedang aku kira dalam kepala ni.
Sebaik sahaja aku melangkah masuk ke dalam rumah milik Mr. Sam, aku terpegun. Mana taknya, baru duduk depan pintu dah terasa sejuknya. Bila tengok dekat dalam terasa seperti melangkah masuk ke dalam bilik hotel sepuluh bintang! Semua perabot dan perhiasan serba moden dan kelihatan begitu mahal sehingga aku takut nak duduk di kerusi empuk itu.
“Duduk, jangan segan,” pelawa Mr. Sam tersenyum mesra.
Aku mengangguk, lantas melabuhkan punggung di sofa. Dia duduk di sofa setentang dengan aku. Dia kelihatan segak berkemeja dan berseluar slek. Dalam kepala aku sekarang ni sedang rancak mencongak berapa usia dia?
Emm… Nak kata 35, terlalu muda untuk memiliki kemewahan ini (mana tahu dia kalau-kalau keturun kaya-raya). Tapi kalau renung betul-betul, mungkin 38 atau 39 tahun. Wajah dia pun kelihatan matang.
Beberapa helai rambut putih kelihatan menghiasi rambutnya yang hitam pekat. Badannya tegap, mungkin rajin berenang. Orang kata, kalau nak badan cantik dan dada bidang kena rajin berenang.
Wangian dia pun tak pernah aku bau di mana-mana sebelum ini. Seperti ada haruman kayu-kayan. Segar dan tenang saat hidu wangiannya.
Okey, cukup Lara! Dia suami orang. Kau kena jaga anak dia. Jangan nak menggatal!
“Saya minta maaf sebab minta awak datang hari ini juga. Sebab sekejap lagi saya akan ke Sabah selama seminggu,” ujar Mr. Sam.
Kemudian sambil berjalan ke dapur, tak sampai beberapa minit dia kembali ke ruang tamu bersama dua tin minuman bergas.
“Maaf, ini saja yang ada,” ujar Mr. Sam lagi sambil menghulurkan satu tin kepada aku. Aku menyambut dengan senyuman.
So, macam mana rumah ni, selesa?” tanya Mr. Sam bersilang kaki. Matanya memandang sekitar ruang tamu yang agak luas itu.
Aku mengangguk. Sangat selesa. Tapi kenapa tanya pasal rumah pula? Takkan nak hadiahkan rumah ni kat aku kut? Perasan!
“Saya perlu khidmat awak selama tiga bulan. Minggu depan saya akan berangkat ke US, urusan kerja.”
Dahi aku berkerut. Aku tersalah dengarkah?
“Saya kena pergi US?” Sah-sah mak tak bagi aku pergi! Nanti dia ingat aku kena jadi keldai dadah pulak.
“Bukan.” Mr. Sam tersenyum kecil.
“Habis tu?”
“Saya yang akan ke US. Awak akan tinggal di sini dengan anak saya,” balas Mr. Sam. Dia tersenyum lagi. Meleleh hati aku dibuatnya!
Eh, kejap. Tinggal dengan anak dia? Biar betul? Atau aku tersalah dengar ni? Jaga anak buah seharian pun dah lelah, ini kan pula anak orang lain. Setiap hari pula tu! Dia ni tak sayang anak ke?
“Maksud encik, saya kena baby-sit anak encik selama tiga bulan? Full day? 24 jam, 92 hari?” Terbeliak mata aku pandang Mr. Sam. Aku ingatkan cuma jaga waktu siang dan malam aku bebas buat apa saja.
“Cekap juga matematik awak.” Mr. Sam tersenyum. Dia menarik nafas dalam.
“Tak adalah cekap sangat,” jawab aku tersengih.
“Okey, saya tahu memang berat kerja ni, sebab itu saya setuju untuk naikkan offer. Sebulan dua ribu, rumah percuma, segala bil dalam rumah ni setiausaha saya akan uruskan. Saya tambah lagi enam ratus untuk keperluan dapur. Setuju?”
Mak ai, barang dapur enam ratus? Lebih daripada cukup dah tu.
 “Soal belanja Tania, awak tak perlu risau. Tiap-tiap bulan setiausaha saya akan datang ke sini hantar cash untuk dia,” jelas Mr. Sam.
Sekali lagi mata aku terbuka luas. Terkejut sangat.
“Bagi cash untuk anak encik?” Budak kecil pun nak bagi duit? Ini memang dah kaya betul ni.
“Terpaksa, kalau saya bagi kredit kad, mahu licin kad tu nanti.” Mr. Sam ketawa kecil.
Kad kredit? Biar betul dia ni?
 “Berapa umur anak encik?” tanyaku sambit berkerut dahi.
“15 tahun.” Mr. Sam bingkas bangun. Dia menghampiri meja hiasan, mengambil bingkai gambar. 
Fuh, lega… Aku ingat budak berapa tahun tadi. Remaja. Ringan kerja aku. Tak perlu salin lampin atau basuh berak. Tapi, budak remaja ni bahaya sikit.
“Ini dia buah hati saya, Tania. Kalau ikutkan hati, memang tak mahu berjauhan dengan dia dan mahu bawa dia ke sana. Tapi disebabkan dia akan ambil peperiksaan penting tahun ini, jadi saya tak mahu ganggu waktu belajar dia,” jelas Mr. Sam.
Aku menarik nafas lega. Baru jelas. Aku sangka aku terpaksa menjaga budak kecil.
“Tapi, encik percaya pada saya ke? Tinggalkan anak pada orang yang encik tak pernah kenal,” tanya aku ragu-ragu.
Mr. Sam tersenyum. “Sepanjang saya tak ada nanti, setiausaha saya akan memantau. Lagipun, kalau awak buat perkara tak elok, Tania boleh call direct pada saya.”
Aku tersengih, mengangguk-angguk.
“Jangan pula awak bawak masuk teman lelaki dalam rumah ni.” Mr. Sam menjeling.
Alahai, comellah pulak main-main jeling ni. Aik, ni soalan ikhlas atau soalan provokasi ni?
“Eh, mana ada. Kalau ada pun takkan saya nak bawa masuk ke sini,” balas aku bersahaja. Santainya perbualan kami dah tak rasa macam temu duga pula.
Mr. Sam tersenyum, melempar pandangan ke arah langit membiru di luar. Setelah beberapa saat berdiam diri, dia kembali bersuara.
 “Boleh awak bagi tahu kenapa saya perlu ambik awak bekerja di sini?” soal Mr. Sam sambil merenung tepat pada wajah aku. “Sebab, saya dah ada dua calon yang sesuai. Lagipun awak muda. Takkan nak jadi baby-sitter, kan? Tak glamor mana kerja ni. Lagipun saya nak tahu juga apa kelebihan awak.”
Aku berdeham perlahan. Mula tercari-cari alasan yang sesuai. Apa kelebihan aku ya? Nak kata aku ada pengalaman jaga budak remaja, memang aku tak ada. Sudahlah aku anak bongsu.
Apa alasan yang sesuai? Eh, kejap. Kenapa aku nak fikirkan semua tu? Bukankah, aku datang temu duga ni pun sebab salah faham? Biar saja dia pilih calon yang sesuai tu.
Tapi, aku berkenan sungguh dengan rumah dia ni. Cantik, damai, besar…
“Saya suka rumah ni.” Alamak. Terkeluar dekat mulut pulak!
“Erk, maksud saya… Saya ni, bukan kaki merewang. Kalau tak ada kerja saya suka duduk kat rumah aje.” Segera aku bersuara.
Mula-mula memang aku tak mahu kerja ni. Tapi bila dengar imbuhan gaji tadi buat otak aku mula berputar ligat. Menarik juga kalau aku dapat kerja ni. Dapat duduk rumah percuma, dapat duit lagi, makan pun ditanggung! Memang sangat menarik.  Aku dah jatuh cinta pandang pertama dengan… Rumah ni. Tuan dia pun… Tapi... Kawal diri Lara. Dia suami orang.
Mr. Sam tersenyum kecil, menjeling manja. Manja ke? Mungkin sebab dia ada sepasang smiling eyes, membuatkan jelingan dia nampak manja. Mungkin. Apa-apa ajelah.
“Pandai masak?”
Aku angguk. “Kalau western saya cuma pakar spageti aje. Kalau masakan Melayu saya pakar.” Senyum aku meleret. Bangga tau! Bukan senang nak cari anak dara di zaman moden ni pandai masak macam aku.
Mr. Sam mengangguk-angguk. “Baguslah. Lidah Tania tu macam saya. Suka masakan kampong.”
Aku menarik nafas lega.
So, congratulation.” Mr. Sam menghulurkan tangannya pada aku.
Aku terpinga. Dapat ke?
“Kalau boleh esok awak pindah sini. Malam ni setiusaha saya temankan Tania,” ujar Mr. Sam sambil tangannya masih belum bersambut.
Oh, aku dapat kerja ni? Kedua-dua kening aku terangkat. Teruja.  Rezeki jangan di tolak. Lantas tangan aku menyambut tangan dia. “Thank you.”
Bergemuruh juga hati aku saat tangan kecil aku berada dalam genggaman dia. Hangat. Kemas. Kawal diri Lara. Emak kata, gadis bermoral tak akan tergoda dengan suami orang.
 Lekas-lekas aku menarik tangan aku. Dia teman aku berjalan keluar.
“Perlu saya mula esok ke?” tanya aku serba salah.
Gila! Tiga bulan kena jaga budak tu. Masa mana aku nak balik rumah jenguk mak? Sudahlah dah dekat enam bulan aku tak balik ni. Kali terakhir aku balik masa raya puasa.
“Awak ada masalah ke?” Wajah dia berkerut.
“Kalau Isnin boleh? Hujung minggu ni saya kena balik kampung sekejap, ada kenduri.” Aku mula mencipta alasan. Mengetap bibir. Harap-harap alasan aku diterima.
Mr. Sam diam seketika. “Okey, betul juga. Takkan tiba-tiba nak mula kerja kan? Kalau macam tu, pagi Isnin awak perlu ada di sini sebelum setiausaha saya keluar kerja.”
“Boleh, tak ada masalah,” balas aku tersenyum girang. Aku menyarung selipar Croc. Dia membuka pintu untuk aku. Tiba-tiba aku teringatkan sesuatu.
 “Saya terlupa bawa resume,” ujar aku dengan wajah serba salah.
Terus terlupa yang aku dah potong orang lain punya temu duga. Ah, nasiblah. Siapa suruh sesat jalan. Lain kali kalau dah tahu ada temu duga, datang awal. Cari tempat nak temu duga tu sehari awal.
“Saya pun terlupa. It’s okay, my secretary have another copy. Atau… masa datang Isnin nanti awak bawa salinan tu dan serahkan pada dia,” ujar Mr. Sam.
Aku menangguk setuju. Sah-sah salinan yang ada dengan setiausaha dia tu bukan resume aku.
Okay, see you next week,” ucapnya sebelum aku melangkah keluar. “Oh, ya, Isnin nanti setiausaha saya akan terang semuanya tentang tugas awak.”
Allright.” Aku mengangguk laju. “Thank you so much,” ujar aku sebelum berlalu pergi.
Oh tidak! Aku dah buat jenayah yang paling besar dalam hidup aku! Bukan setakat menipu, tapi aku dah potong rezeki orang! Jadi pengasuh budak remaja pula tu? Boleh ke aku bertahan melayan budak remaja ni? Budak muda ni bukan boleh percaya sangat perangai dia orang. Suka memberontak sana sini.
Agak-agak, macam mana perangai Tania ni? Remaja, anak tunggal, anak orang kaya. Campur-tolak-bahagi-tambah, sah-sah berlagak, kan? Adeh, gasaklah Lara. Demi mencapai cita-cita, kau merasa nikmat tinggal di kondo mewah!
Lekas-lekas aku mengeluarkan telefon bimbit nak update status!

Prince Charming in the house! :P
Like. Comment. Promote. Share
Cik Atin - Dia datang melamar ke Kak Indah?
Aishah Izha’s – Oit, tak boleh duduk berdua-duaan, nanti kena tangkap basah!
Sarinah Aini - Siapakah? Cepat bagi tahu. Sharing is caring.
Fara Abdul Razak - Bertuahnya badan.


Bersambung









No comments:

Post a Comment

Popular Posts