Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Mencari Mr Chaming : Bab 6 - 10

6
KAU gila! Baby-sitter?” jerit Ayun sebaik sahaja aku habis bercerita.
Aku tersengih. Dugaan aku tepat. Memang Ayun akan terkejut. Memang patut pun. Bukannya dia tak tahu yang aku ni tak suka budak-budak sangat. Tak kisahlah budak besar ke, budak kecik ke, memang aku malas nak melayan.
Agaknya inilah akibatnya kalau jadi anak bongsu. Tapi demi mendapat upah yang lumayan dan demi mencapai cita-cita aku merasa tinggal di kawasan elit, semua itu aku tak peduli lagi.
“Encik, saya datang dari jauh nak temu duga takkan saya kena balik macam tu aje! Penat tau saya tukar bas nak sampai ke sini!” Terdengar suara wanita dalam lingkungan 40-an menjerit memarahi Pak Daniel. Wanita itu berbaju kurung, berbadan sedikit gempal.
“Maaf, puan, tuan cakap dia dah ada calon.”
“Apa puan, puan! Ciklah!” marah wanita itu.
Ayun segera memaut lengan aku, menarik tubuhku menyorok di balik dinding. Nyaris-nyaris kami terlanggar seorang gadis yang boleh tahan bergaya yang baru keluar dari lif. Sempat dia melemparkan pandangan semacam pada kami berdua sebelum terus berlalu pergi. Eh, muka dia macam biasa nampak, tapi di mana ya?
“Bahaya… bahaya!” bisik Ayun.
Aku menoleh memandang Ayun. Wajah dia kelihatan cemas, “kenapa menyorok ni? Jom, aku lapar ni.”
“Tu, tengok depan tu. Kau nak kena serang?” Ayun mengintai ke arah pondok pengawal keselamatan. Dahi aku berkerut, turut sama mencuri pandang ke arah yang sama.
“Aku rasa, dialah yang sepatutnya datang temu duga tadi,” bisik Ayun, masih mengintai.
Aku menarik nafas lega. “Oh, ya ke? Nasib baik kau alert. Aku ingat dia nak bergaduh pasal apa tadi.” Aku mengurut-urut dada.
“Tahu pun takut!” Ayun menjeling.
“Mestilah. Tengok badan dia, dua kali ganda daripada badan aku. Suara pulak macam guruh.”
“Amboi, mengata orang, tak ingat dunia. Haruslah suara dia macam guruh, dah penat-penat datang, alih-alih kena balik.”
Aku tersengih. “Siapa suruh datang lambat. Kalau aku tak crash interview dia pun, mesti dia tak dapat kerja ni sebab Mr. Sam tu dah blah pergi airport.” Ayat membela diri dalam masa yang sama hendak sedapkan hati yang bersalah.
“Okey, dia dah blah. Jom.” Ayun menarik tangan aku.
Ketika melintasi pondok pengawal keselamatan, Pak Daniel melambai tangan dan segera menghampiri kami.
“Tahniah, kamu dapat kerja tu.” Pak Daniel tersenyum meleret.
“Mana pak cik tahu?” tanya aku. Takkan dalam rumah Mr. Sam ada CCTV kut?
“Baru sebentar tadi tuan telefon. Katanya kamu dapat kerja. Lepas ni pak cik akan buatkan kad penduduk sementara untuk kamu. Mungkin lusa siaplah. Sementara tu tak perlu kad sebab pak cik ingat muka kamu,” balas Pak Daniel, ramah sungguh.
“Memang tak susah nak ingat muka tak siap macam dia ni. Cuma ada satu aje kat KL ni,” perli Ayun tergelak kecil.
Tak guna punya kawan! Aku menjeling sebal.
Pak Daniel tersenyum. “Tak siap pun dah comel, kalau siap agaknya takut pak cik nak tegur.”
Terima kasih Pak Daniel! Pak cik memang terbaiklah! Aku menjeling pada Ayun, mengangkat dagu, tersenyum bangga. Dia menarik wajah menyampah.
“Pak cik, siapa tadi tu? Bukan main marah-marah. Takut kami tengok.”
“Oh, dia datang nak temu duga sama macam kamulah. Dia pun sesat macam kamu, sebab tu lambat,” ujar Pak Daniel tanpa mengesyaki apa-apa. “Tapi yang peliknya, tuan kata seorang saja yang dia tunggu.” Dia mengaru-garu kepalanya.
Aku menjeling pada Ayun.
“Okey, pak cik. Jumpa Isnin nanti,” pintasku sebelum makin panjang soalan terkeluar dari mulut Pak Daniel.
“Okey. Mujur kamu yang dapat kerja ni. Kalau cik tadi tu yang dapat, mahu menangis budak Tania tu.”
“Pak cik kenal Tania?” tanya aku hairan. Memang betul ramah Pak Daniel ni, sampaikan penghuni bangunan bertingkat-tingkat ni dia boleh kenal.
“Mestilah kenal. Dah bertahun pak cik kerja sini. Boleh dikatakan hampir semua orang pak cik kenal. Cuma tak kenal mana rumah mereka. Tapi Tuan Sam ni memang kerap bertukar pengasuh, sebab tu pak cik kenal. Pak cik yang selalu bawa naik sesiapa yang datang nak temu duga.”
“Erk, selalu tukar pengasuh?” soalku. Tiba-tiba sejalur rasa tidak enak menyusup masuk ke dalam hati.
“Okey, pak cik, kita sambung esok ya.” Ayun segera menarik lengan aku. “Kau jangan nak buat hal. Kau dah setuju nak datang Isnin, kan?”
Ayun ni macam tahu saja apa yang terlintas di fikiran aku. “Alah, kau tu memang tak sabar-sabar nak aku keluar dari rumah tu.” Aku mencemik geram. Tak sempat aku hendak korek rahsia daripada Pak Daniel.
“Kau ni kan, tak habis-habis nak mengutuk aku. Nanti aku paksa kau tinggal sebumbung dengan suami aku baru kau tahu. Nanti kau juga muak tengok aku dan dia berasmaradana dalam rumah tu.”
“Euw! Gedik!” Aku mencubit lengan Ayun. Dia tergelak besar.
Honestly… Tawaran kerja ni memang menarik,” ujar Ayun.
Aku mengangguk tanda setuju. Menarik nafas lega. Akhirnya masalah selesai. Betul ke selesai? Budak Tania tu entah macam mana perangainya.

Indah Lara
3 hours ago
Prince Charming in the house! :P
Like. Comment. Promote. Share
Pena Tumpoi – Mana gambar!
Luna – Abang nelayankah?
Ebah la BEba – Omo… Omo… Nak tengok jugak!
Indah Lara – Pena Tumpoi, Ebah, tak boleh tepek sini, bahaya! :P
Indah Lara – Luna, ni bukan abang nelayan tau, tapi Abang Brad Pitt!
Ros Silawati – Tak aci! PM please!
Pena Tumpoi – Kecewanya! L
Luna – Hah? Brad Pitt! Cemburunya!
Indah Lara - Ebah, tak ada gambar lagilah hehehe… Bila dah ada nanti kita share ya :P
Ayun – Cik Indah, pastikah dia tu Prince Charming?
Indah Lara – Cik Ayun, daripada segi penampilan sudah memenuhi satu kriteria Prince Charming. Yang lain-lain… Let’s time decide okey J
Lily Salina – Indah, apa kriteria untuk memastikan dia tu Prince Charming ke tak?
Indah Lara – Lily, satu soalan yang menarik! Nanti kita buka posting baru bincang pasal kriteria tu, okey.
Liza Wati – Wah! Menarik tu, cepatlah buka posting tu Indah Lara! Tak sabar nak tahu. I pun nak cari Prince Charming juga!
Ratna Mohamed – Alah… Akak dah tak boleh dah… Huhuhu L
Rozalia Rajali – Cepat update, saya pun nak tahu!
Indah Lara – Sabar ya kawan-kawan J



7
UNCLE FA, mana aunty cantik tu?” tanya Yaya sambil mendepa tangan ingin berada di atas dukungan pak cik kesayanganya itu.
Sudah dua hari dia berehat di rumah kakaknya yang terletak di Bukit Antarabangsa. Petang nanti dia terpaksa kembali ke Kuala Lumpur kerana esok ada kerja yang perlu diselesaikan.
Aunty cantik sibuklah sayang,” jawab Fazrin lantas mendukung anak saudara yang berumur empat tahun yang sangat petah bercakap. “Abang mana?” tanya Fazrin tercari-cari Zamil, anak sulung kakaknya.
“Abang pergi main dekat padang,” jawab Yaya mencebik dengan nada seperti kecewa.
“Kenapa tak ikut abang?”
“Mama tak bagi. Bahaya,” jawab Yaya petah.
“Okey. Jom kita pergi padang.”
Yeah!” jerit Yaya gembira.
Sebaik saja sampai di padang, Fazrin membiarkan Yaya bermain dengan kawan-kawannya dan dia hanya memerhati dari bangku tidak jauh dari taman permainan. Sedang asyik memerhati Yaya bermain, tiba-tiba telefon bimbitnya berbunyi.
Fa, where are you?” Terdengar suara si pemanggil bertanya.
Sorry… I tak dapat datang.”
What? Mana boleh macam ni, you kena datang!” Suara Syikin meninggi di hujung talian.
“I malaslah nak berdepan dengan dia orang tu. Serabut. You pergi seorang dirilah,” jawab Fazrin acuh tak acuh.
“You memang tak sayangkan I, kan?” marah Syikin.
“Balik-balik itu yang you tuduh I. Apa yang I buat selama ni bukan bukti I sayang you ke?”
“Memang you tak sayang I!” Syikin memutuskan panggilan.
Fazrin mendengus kasar. Semakin lama dia semakin rimas dengan sikap Syikin yang asyik cemburu buta dan kuat meragam. Yaya yang berumur empat tahun tu pun tak teruk ragamnya!
Fazrin kembali memerhati Yaya bermain. Hatinya tenang tatkala melihat anak kecil itu ketawa gembira. Hilang seketika masalah yang ditanggung. Patutlah orang kata kanak-kanak penawar duka. Tengok dia orang ketawa pun dah boleh tenangkan jiwa.
“Ehem! Seorang aje?” Tiba-tiba terdengar suara menyapa.
Fazrin mendongak. Terlihat seorang lelaki perut buncit dengan kamera tergantung di leher. Sebaik sahaja terlihat wajah itu, dia mendengus kasar.
“Kau intai aku ke?” tanya Fazrin acuh tak acuh.
“Kebetulan,” jawab lelaki itu.
Fazrin menoleh ke arah taman. “Tak pernah-pernah aku jumpa kau dekat sini. Kau buat apa?”
“Aku kebetulan lalu sini, ternampak kau,” jawab lelaki itu sambil melabuhkan punggung di sebelah Fazrin. “Kau buat apa dekat sini?” tanya lelaki itu tanpa membuang masa.
“Bawa anak saudara aku main,” jawab Fazrin acuh tak acuh.
“Betul ke anak saudara?”
Fazrin menoleh. “Habis tu, takkan anak sendiri?”
“Mana tahu, kalau-kalau bakal anak tiri.” Lelaki itu tersengih. Matanya merenung ke arah taman turut memerhati Yaya bermain.
Fazrin ketawa. “Ni gosip mana pula timbul ni?”
“Buat-buat tanya pula. Dah kecoh orang sekarang ni bergosip pasal kau ada hubungan cinta dengan janda anak satu. Betul ke?”
“Oh, jadi memang betul kau stalker aku? Lepas tu bila kau nampak aku dengan budak, kau terus terjah sebab kau ingat budak tu anak janda tu?”
“Jadi betullah kau ada hubungan cinta dengan janda? Siapa dia tu?”
Mata Fazrin mengecil. Dia menarik nafas dalam sebelum dihembus kasar. Cuba mengawal kemarahannya.
“Malas aku nak jawab soalan kau tu.” Akhirnya Fazrin bersuara. Kalau dia menafikan pun belum tentu lelaki di depannya itu akan percaya. Buat penat aje!
No commentlah ni?” tanya lelaki itu masih tak putus asa.
“Apa-apa ajelah,” jawab Fazrin acuh tak acuh, terus memerhati Yaya bermain.
“Jadi, kalau aku tulis macam tu tak salahlah, kan?”
“Kalau kau berani nak tanggung risiko dan dosa,” jawab Fazrin bersahaja.
Wajah lelaki itu berubah riak. Tak lama kemudian dia meminta diri untuk beredar. Sebaik saja lelaki itu pergi, Fazrin memanggil Yaya, mengajak pulang.

Fazrin melangkah malas menuju ke arah lif, namun langkah kakinya terhenti sebaik saja melihat dua orang gadis sedang bersembunyi di sebalik koridor sambil mengintai-intai ke arah pintu masuk. Tanpa membuang masa, lekas-lekas dia menyembuyikan diri di sebalik tiang. Ini mesti wartawan ni! Mesti si sengal tu ikut aku kemudian hantar spy! Tak guna betul!
Fazran terus mengintai, kemudian terlihat Syikin keluar dari lif. Fuh! Mujur juga dia terserempak dengan wartawan ni. Kalau tidak, mesti dia dah terkantoi dengan Syikin. Sepatutnya pada hari ini dia menemani Syikin menghadiri satu sesi bergambar. Tapi entah kenapa sejak-sejak timbul hal dia dengan Syikin, dia dah malas nak berdepan dengan wartawan. Nak mengiakan pun payah, sebab dia sendiri tak pasti kedudukan hubungan mereka macam mana. Hendak menafikan pun tak boleh sebab dia orang selalu bersama sebelum ini.
Sedang dia memerhati, tiba-tiba terdengar suara wanita menjerit-jerit. Matanya terus memandang ke arah pondok pengawal. Dia terkekeh. Kes apa pula ni? Kemudian mata dia memerhati pula dua orang gadis yang sedang bersembunyi tadi. Tak lama kemudian kedua-dua gadis itu bergegas keluar dari tempat sembunyi. Mesti mereka mahu mengikut Syikin pula!



8
From: Indah Water
To: Indah Lara
Sent: Friday, September 7, 10:05 pm
Subject: Add aku!

Indah Lara,
Weh, kau tak accept friend request aku? Kenapa, kau takut ke? Kau ingat aku ni tak ada otak nak kacau wall kau dengan komen-komen aku yang jujur tu? Kalau ya pun, aku akan massege kau. Aku bukan macam sesetengah orang yang suka melalak sana sini sampai sanggup menjatuhkan aib orang terang-terangan.
Come onlah! Don’t be scared. Aku nak kawan dengan kau aje. Kau tak mahu ada kawan jujur macam aku ke?

p/s: Aku penat nak log in e-mel!

Yang Jujur,
Indah Water

Amboi… Kawan jujur konon! Kalau ya pun jujur, takkan kritik aku sampai aku tak boleh bernafas. Kalau macam tu cara kau kritik, mahunya semangat aku akan mati masa tu juga.
Lara! Jangan balas! Tahan tangan kau tu! Kalau kau balas, nanti makin galak dia kacau kau dengan e-mel yang menyakitkan.
Aku menarik nafas dalam. Cuba menahan pedih hati. Tanpa tunggu lama, aku terus tekan butang keluar. Aku segera ke bilik air, mandi dan solat maghrib. Malam nanti Ayun akan hantar aku ke rumah kak long.
Emak dan ayah dah ada dekat rumah kak long. Entah apa mimpi emak tiba-tiba datang Kuala Lumpur. Sebelum ni punyalah payah nak ajak dia datang sini. Selesai solat aku memulakan sesi membungkus barang-barang keperluan untuk ke rumah kak long dan untuk pindah ke rumah majikan aku. Sambil berkemas, kepala aku ligat memikirkan nasib aku menjadi babysitter budak remaja.
Betulkah tindakan aku ni? Patutkah aku terima kerja ni? Tapi tawaran yang diberi memang gempak. Tambahan pula, tinggal di kawasan idaman aku. My dream come true! Walaupun hanya tiga bulan.
Tapi… Budak Tania tu macam mana? Haisy, bila aku kenangkan perangai budak-budak remaja dekat kawasan rumah ni, naik gerun dibuatnya. Sudahlah pakaian tak ingat nak mati. Cewah, macam aku ni tutup aurat sangat. Maksud aku, dalam tak sopan aku pun tak adalah aku nak pakai jean sampai nampak seluar dalam!
Dalam tak sopan aku, tak adalah aku nak pakai t-shirt sampai nampak lurah dendam. Dalam tak sopan aku pun, tak adalah aku nak berpeleseran sana sini, terbahak-bahak macam orang jantan!
Haisy, budak-budak sekarang menakutkan sungguh! Mujur juga aku tak dilahirkan di zaman milenium ni. Kalau tidak aku pun jadi macam dia orang.
“Wei, berkemas ke berangan?” Suara Ayun mengejutkan aku.
Ayun melangkah masuk menghampiri aku yang sedang tercegat merenung almari. Sebenarnya tadi aku tengah fikir berapa banyak baju patut aku bawa. Boleh pula pergi fikir benda lain. Haisy, Lara… Lara…
“Beb, firasat kau rasa macam mana, patut ke aku terima kerja ni?” Aku menapak ke katil. Tiba-tiba tak ada perasaan mahu berkemas.
“Firasat hati, fikiran dan segala-galannya mengatakan kau patut terima.” Yakin dan padu Ayun melontar buah fikirannya. Ni mesti kes nak suruh aku cepat-cepat blah ni?
“Dan, semuanya tak ada kena-mengena dengan alasan aku nak halau ke apa ke…” tambah Ayun.
Ceh! Macam boleh baca fikiran aku pulak. Aku masih termenung, hati aku masih berbolak-balik.
“Beb, kat mana lagi kau nak dapat tawaran macam ni? Ini kiranya rezeki tersepak tau. Bukan kerap kita nak dapat rezeki tersepak. Aku ni, tak pernah-pernah dapat rezeki tersepak macam kau ni. Kau nak fikir apa lagi? Semua free. Makan pun free! Dapat tinggal dalam rumah idaman kau lagi tu.” Panjang pula bebel Ayun ni. Beria-ia sungguh nak suruh aku pergi ni.
“Bagi tahu aku, kenapa kau berat hati nak pergi?” tanya Ayun setelah agak lama aku berdiam diri.
Aku berdesit perlahan. “Aku risaukan budak Tania tu. Silap-silap nanti dia buat aku ni macam hamba abdi. Kau tahulah budak-budak sekarang, bukannya reti nak hormat orang. Fomula yang ada pada Tania memang lengkap.”
“Fomula apa pula ni? Bukan ke manusia ni daripada asas yang sama. Apa bezanya dia dengan kau?”
“Dengar ya… Umur 15 tahun. Maksudnya… Remaja + anak orang kaya + anak tunggal + bapak tak ada depan mata + sombong + degil + berlagak… Akan menyusahkan aku!” Aku mendengus perlahan. Aku yakin sangat fomula aku ni betul. Berani kerat kuku!
Ayun tergelak. “Beb, kau ni kenapa paranoid sangat dengan budak-budak ni?” Dia tersenyum sinis. Aku mencemik.
“Kalau kahwin nanti, kau nak campak kat mana anak-anak kau tu? Campak atas bumbung?” Dia menjeling.
“Kau ni, kalau nak buat contoh tu agak-agaklah sikit. Kucing pun pandai sayang anak tau.” Aku menjeling sebal. Mengelus nafas kecil.
“Dah tu, nak risau apa lagi?” tanya Ayun, suaranya mendatar.
“Aku bukan paranoid, tapi memang dia orang macam tu. Golongan yang sukar dikawal. Aku tak suka. Mana aku pandai semua tu. Kalau budak setahun dua, senang nak jaga kut. Menangis sumbat susu. Menangis lagi tukar lampin. Menangis lagi basuh berak. Menangis lagi sumbat makanan. Tapi kalau remaja ni… Silap-silap aku pula yang menangis tau!”
Ayun ni kenapa susah sangat nak faham? Selama ini dia juga asyik bersungut pasal adik-adik dia yang semakin degil dan liar. Sampai aku yang teringin ada adik tiba-tiba boleh jadi fobia dengar cerita dia.
Sekali lagi Ayun ketawa terbahak-bahak. Kurang asam sungguh. Bukannya nak tenangkan hati aku yang rawan ni.
“Beb, kau ni bercakap macam kau tak pernah remaja.”
“Alah, zaman kita remaja tak sama dengan zaman dia orang,” balasku acuh tak acuh.
“Dia orang ni senang aje. Kau ikut aje apa yang dia orang nak. Lama-lama dia orang baiklah dengan kau,” tambah Ayun, kali ini wajah dia kelihatan serius.
“Mana kau tahu? Habis tu kenapa kau asyik merungut pasal adik kau aje? Teori kau ni boleh pakai tak?” Aku menjeling curiga.
“Boleh. Menjadi. Tapi adik aku jadi macam tu sebab nak protes dengan mak dan ayah aku. Takkan kau tak tahu mak dan ayah aku tu macam mana. Tegas tak bertempat. Memberontaklah budak tu. Nak-nak pergi tegur adik aku macam dia tegur budak sekolah rendah, malulah dia depan kawan-kawan dia.” Penjelasan Ayun sedikit melegakan hati aku.
“Lagipun…” Ayun tersengih-sengih.
Aku memandang curiga.
“Macam mana nak pikat ayah kalau kau tak sanggup nak pikat anak?” Ayun menaik-naikkan keningnya. Senyumannya tak ubah seperti senyuman kucing gatal.
“Hei, bila pula aku cakap nak pikat ayah ni? Kau ni, agak-agaklah. Laki orang tu.” Aku menjeling sebal. Ke situ pulak dia fikir.
“Mana kau tahu dia ada isteri ke tak?” soal Ayun dengan wajah seperti mencabar agar aku berdebat dengannya.
Tapi dia silap, walaupun aku bukan pemidato sekolah, tapi bab berdebat memang aku tak pernah kalah. Erk, pernahlah sekali dua aku kalah. Tapi rekod aku masih cemerlang.
“Beb, kalau dia tak ada isteri, mana datangnya budak Tania tu? Dia yang mengandung?” Aku tersenyum mengejek. Hah, jawablah!
“Hisy, kau ni… Kalau tak sarkastik dengan aku tak boleh ke?” Ayun menarik wajah masam.
“Maksud aku mungkin dia bercerai atau isteri dia meningggal masa melahirkan Tania?” Sekali lagi dia menaik-naikkan keningnya.
“Kau sendiri cakap yang dia tak ada sebut pasal isteri dia, kan?”
“Eh, kejap. Ni sampai nak berkait pasal isteri ni kenapa? Aku tak teringin nak pikat dialah.” Segera aku mematahkan spekulasi yang cuba dibuat oleh Ayun. Kalau dibiarkan boleh meleret-leret!
“Eleh, cara kau bercerita pasal Mr. Sam tu bukan main bersemangat. Kacaklah, badan tegaplah, wangilah… Macam dah berkenan sangat.” Ayun menjeling sinis.
“Aku bercerita aje. Aku tak kata pun aku suka dia.”
“Dahlah. Jangan nak berdalih. Aku tahu kau suka dia, kan? Sampai nak puji perfume dia bagai. Berkenanlah tu.” Ayun menjeling, tersenyum mengejek.
“Aku hanya memuji, bukannya berkenan. Lagipun, kalau dia tak ada isteri sekalipun, takkan dia berkenan dengan orang macam aku ni. Muka tak siap.” Aku menjeling pada Ayun. Dia tersengih.
So, kau nak bawa apa lagi ni?  Boleh aku tolong kemas juga.” Ayun berdalih. Kan aku dah kata, kalau ajak berdebat, memang aku menang!
“Entah!” Aku mengeluh perlahan. Memerhati deretan pakaian yang tergantung dalam almari. “Katanya dah sampai nanti dia telefon aku.”
“Kau bawa pakaian dan barang-barang kerja kau dulu. Semua perabot tinggal aje sini dulu. Nanti bila kau dah menyewa tempat lain, baru angkut semua barang ni,” cadang Ayun.
“Tak apa ke tinggal barang kat sini? Kau tak menyampah ke?” tanya aku mengusik. Melayang sebiji bantal terkena badan aku.

9
SEBAIK saja melangkah masuk rumah kak long, terlihat emak sedang bermain dengan anak saudara aku. Ayah seperti biasa sedang asyik melayan buku puisi karangan Profesor Lim Swee Tin. Ayah memang suka membaca. Letaklah dekat mana pun, memang dia akan membaca dengan penuh tekun. Termasuk tandas! Tapi ayah tak bawa masuk buku, dia bawa masuk surat khabar aje. Atau majalah. Erk, novel pun pernah.
“Bila mak sampai? Kenapa mak datang KL, ada kursus ke?” Aku bersalaman dengan emak.
“Nak harap anak-anak balik ziarah emak dan ayah, memang jangan haraplah. Bila mak ayah datang, tanya pulak kenapa?” Mak menjeling.
Kak long tersengih menaikkan ibu jarinya pada aku. Aku bersalam pula dengan ayah.
“Abang pun ada?” Sebelum mak membebel panjang pada aku, baik cepat-cepat aku ubah topik. Aku segera menghulur tangan pada abang ngah yang sedang menghadap TV melayan Naruto.
“Mana Abang Jem?” soal aku pada kak long. Abang ipar aku nama dia Jamal. Tapi masa dia kenalkan diri masa nak mengurat kak long dulu dia suruh panggil dia Abang Jem. Sudahnya sampai sekarang nama tu melekat.
“Pergi kursus. Lusa baru balik,” balas kak long sambil mengelek Fahmi, anak  bongsu dia yang berumur dua tahun.
“Kamu buat apa petang tadi? Suruh datang petang, malam baru nampak muka.” Mak menjeling.
“Ara ada temu duga mak,” balas aku tersenyum.
“Wah, dik, kau bermimpi ke?” Abang ngah menyampuk.
“Kerja apa Ara?” Wajah kak long teruja.
“Eloklah kamu cari kerja, nak mengharapkan novel-novel kamu tu berapa sen sangat dapatnya,” balas mak acuh tak acuh.
Mak dan nak mula dah. Kalau aku melayan mahu panjang berjela syarahan mak. Jadi lebih baik aku diamkan saja.
“Cakaplah kerja apa?” gesa kak long lagi.
Alahai, menyesal pula bagi tahu tadi. Kalau mak tahu kerja aku naya. Kak long mula tolak-tolak bahu aku minta aku jawab soalan dia tadi. Mak pun dah pandang aku, juga sedang tunggu aku jawab.
Tapi aku nak jawab apa ni? Kalau bohong berdosa pula. Sudahlah hari ni saja berapa dosa aku dah buat. Takkan dengan mak dan kakak sendiri pun nak buat dosa juga? Haisy! Susah betul kalau mulut susah nak kawal macam aku ni.
Aku berdeham perlahan. Mengambil gelas dalam talam.
Baby-sitter,” balas aku dengan suara tersekat di kerongkong. Harap-harap mereka tersalah dengar. Editor ke… Experditor ke… Tak pun tutor.
“Akak tersalah dengarlah. Apa kau cakap tadi?” tanya kak long.
Aku lihat wajah emak seperti sedang memasang telinga.
“Akak dengar apa?” soal aku sekadar menguji. Kalau dia dengar editor, aku akan angguk aje nanti.
Baby-sitter?” ujar kak long dengan wajah berkerut. Dia memandang wajah aku menanti aku bersuara.
Aduhai, tajam sungguh telinga kak long aku ni. Terpaksalah aku tersengih. Bulat mata mak memandang aku.
“Kamu jangan nak mengarut Ara!” Mak bercekak pinggang.
Chup! Kejap aku nak cerita pasal mak aku ni. Mak aku ni boleh tahan suka berdrama tau. Kalau tengok daripada air muka dia sekarang ni macam sekejap lagi akan tercetuslah drama Melayu.
“Bukan lama pun, tiga bulan. Gaji pun lumayan,” balas aku perlahan, mengetap bibir. Berkelip-kelip memandang kak long minta dia tolong selamatkan aku.
“Daripada mengasuh anak orang baik kau mengasuh anak akak ni,” sampuk kak long.
Haisy, kak long ni tak boleh harap langsung! Bukannya nak selamatkan aku. Okey, secara logiknya memanglah sah-sah dia tak akan tolong aku. Tapi kalau dia orang tahu alasan aku, mesti dia orang setuju agaknya.
“Betul cakap kakak kamu tu. Kalau dah terdesak sangat nak duit, jaga aje anak saudara kamu ni. Nanti kak long bayar. Makan percuma, rumah percuma,” sampuk mak, nada suaranya sedikit meninggi.
“Alah, kerja ni lain. Bukan jaga budak kecil. Jaga budak remaja. Keluarga dia ke luar negara. Jadi saya kena teman anak dia dekat rumah,” balas aku dengan harapan mereka faham.
“Alah, Kassim! Apa nak jadi ni Kassim!” jerit mak ala-ala filem P. Ramlee.
Sudah. Aku menepuk dahi, menjeling pada kak long yang sudah pun tersengih-sengih. Mak dah buat drama dah!
“Oh… Kassim! Kau tengok adik kau ni! Penat-penat mak suruh belajar tinggi-tinggi, sanggup dia buat kerja jaga anak orang!” bebel mak dengan gaya ala-ala ibu mertua Kassim Selamat dalam filem Ibu Mertuaku.
Abang ngah dah mengekek. “Nak buat macam mana mak, sudah suratan mak dapat anak macam dia,” balas abang ngah, mengada-ada meniru gaya suara P. Ramlee.
Aku mencebik. Mak memang peminat nombor satu filem P. Ramlee dan dialog Ibu Mertuaku itu memang menjadi kegemaran mak. Dialog tu memang sering digunakan jika dia nak marah pada aku atau pada abang aku yang sememangnya nama dia Kassim. Kesian abang ngah dilahirkan ketika mak sedang gila menonton filem Ibu Mertuaku. Tak pasal-pasal nama pun Kassim. Mujur ayah selamatkan abang. Kalau ikutkan mak, dia nak letak nama abang ngah Kassim Selamat, tapi ayah bantah. Maka jadilah Kassim Ammar.
“Alah, mak, kejap aje. Tiga bulan,” balas aku cuba memujuk.
“Sampai bila kamu nak hidup tak tentu arah macam ni Ara? Mak risau tengok kamu macam ni. Sudahlah teman lelaki tak ada.”
Tiba-tiba dahi aku berkerut. Aik, mak ni. Tiba-tiba nak ubah topik?
“Kalau ya pun nak jadi penulis, tak salah kalau ada kerja tetap. Kalau kamu tu penulis terkenal, tak mengapalah tak mahu kerja pun. Tapi kalau tahap bila mak tanya anak murid mak pernah dengar tak tajuk novel kamu, semuanya terpinga, baik tak payah jadi penulis sepenuh masa. Tunggu kamu popular baru jadi penulis sepenuh masa.”
“Mak ni, bukannya nak bagi semangat. Nak jatuhkan semangat adalah.” Aku menarik wajah masam.
“Macam mana nak bagi semangat, nasihat mak tak nak dengar,” bebel mak.  Aku terkena lagi.
“Tunggulah… Penulis terkenal yang ada sekarang ni pun bertahun-tahun berusaha baru jadi macam dia sekarang. Tu… Penulis Harry Potter tu, manuskrip dia siap kena buang dalam tong sampah tu. Tapi tengoklah macam mana akhirnya, dah jadi jutawan! Mak, nak cari permata ni bukan nak cari batu kat tepi jalan. Berlambak-lambak. Boleh ambil dan campak bila-bila masa. Permata ni ada jauh kat dalam sana, kena gali dalam-dalam. Bila dah jumpa bukannya terus boleh jual, kena polish sampai betul-betul jadi permata yang berkilat. Lepas tu baru berebut orang nak beli. Siap orang nak rompak lagi!” Panjang lebar aku membela diri.
“Habis, bila permata mak ni nak bersinar?” Mak menjeling. “Ini abang punya pasal lah. Bila dia tak ada duit abang bank-in, dia tak minta pun abang bank-in. Sudahnya terus jadi pemalas nak cari duit sendiri.”
Mak menarik wajah masam.
“Tak baik mak cakap macam tu. Bila pula Ara malas cari duit ni? Dari zaman belajar lagi Ara dah cari duit tau. Mak jangan lupa, duit konvo Ara guna duit royalti buku tau,” balas aku bangga.
Dari jauh aku melihat ayah sudah tersenyum-senyum, menaikkan keningnya pada aku. Aku tahu, dalam ramai-ramai orang yang kenal aku, hanya ayah seorang yang faham apa yang aku cari dalam kehidupan aku ini.
Tapi, mak pun tak salah. Betul cakap mak tu. Susah-susah dia sekolahkan aku, alih-alih tak nak kerja tetap, pulak tu pilih jadi pengasuh. Kalau macam tu baik tak payah sekolah tinggi. Nak bayar duit pinjaman PTPTN pun tak lepas. Tapi aku ada rancangan aku sendiri. Mungkin tiga empat tahun jadi penulis tak ramai orang kenal karya aku, tapi tak bermakna selamanya orang tak akan kenal karya aku, kan? Yang penting aku tak putus asa.
“Semalam mak long kau orang ada hantar kad jemputan. Sebab tu mak datang ni. Nadira dah nak kahwin. Sudahlah Nadira tu engineer, suami dia pun engineer. Untung mak long kau orang. Sejuk perut ibu mengandung.” Tiba-tiba mak buat suara sayu.
Ini yang buat aku tak tahan nak dengar ni. Sempat aku menjeling pada kak long. Dia menaikkan keningnya. Abang ngah apa lagi, tumpang seronok ketawakan aku.
“Biar apa pun alasan kamu, lepas habis tiga bulan ni mak nak kamu cari kerja lain! Faham?”
Bila mak sudah menjegilkan mata, apa lagi yang mampu aku buat selain mengangguk.
10
SELESAI makan malam kak long kembali menjalankan rutinnya menjahit tempahan tudung. Mak sudah lama lesap di tingkat atas menidurkan cucu. Abang ngah seperti biasa melayan kartun di kaca TV.
Sudah setahun kak long menjalankan perniagaan tudung secara atas talian. Kalau dulu kak long menjalankan perniagaan itu secara separuh masa, tetapi enam bulan yang lalu setelah melihat perniagaan semakin maju, kak long memutuskan untuk berhenti kerja dan menumpukan sepenuh perhatian pada perniagaan barunya.
Abang ngah pula pelukis komik di sebuah majalah komik yang terkenal di Malaysia. Sebelum menjadi pelukis komik sepenuh masa abang ngah bekerja sebagai pelukis komik sambilan saja. Tetapi setelah otaknya disembur racun oleh mak, akhirnya abang ngah memutuskan untuk bekerja tetap.
Dia pun seperti aku juga, tak mahu bekerja makan gaji dan menjadi kuli orang. Tapi nak buat macam mana, jiwa dia terlalu lemah. Tak yakin dengan kemampuan diri. Akhirnya tersadailah dia di pejabat. Keluar rumah pukul 7.00 pagi, balik rumah 7.00 malam. Kadang-kadang pukul 10.00 malam baru balik. Kesian, kan?
“Ara…” Terdengar suara ayah menegur. Aku menoleh. Ayah mengambil tempat di sebelah aku.
“Macam mana dengan penulisan?” soal ayah.
Ayah aku seorang pengetua di sebuah sekolah di Melaka. Dulu ayah mengajar di sekolah yang sama dengan emak. Tapi sejak ayah dinaikkan pangkat, ayah ditukarkan ke sekolah lain. Tapi tak adalah jauh sangat dari sekolah mak, beberapa kilometer saja.
“Macam biasalah ayah,” keluh aku perlahan. Terbantut niat mahu membelek surat khabar di depan.
“Ara jangan ambil hati dengan mak. Mulut aje cakap macam tu, tapi sebenarnya dia bangga dengan Ara.” Ayah memujuk. Aku menghela nafas berat.
“Bangga apa kalau cakap macam tu.” Sengaja aku panjangkan muncung bibir. Dengan ayah bolehlah aku nak bermanja sikit.
“Kalau Ara nak tahu, tiap kali dia jumpa kawan-kawan dia, mesti dia akan cerita pasal Ara. Mesti dia bagi tahu Ara dah terbit enam novel. Dalam kereta tu, memang stok buku Ara tak pernah habis. Jumpa sesiapa pun mesti dia hadiahkan novel-novel Ara tu.” Ayah mengekek.
“Betul ke ayah?” Bulat mata aku memandang ayah. Tiba-tiba hati aku dihambat rasa sayu. Terharu dengan cerita ayah.
“Apa yang ayah dapat kalau ayah menipu?” balas ayah tersenyum, memaut bahu aku.
“Tapi ayah, kalau betul kenapa mak marah sangat tadi?” Wajah aku berkerut kembali.
Ayah tergelak kecil. “Itu namanya provokasi. Dia nak uji Ara. Dia nak tekan Ara supaya Ara berusaha keluar dari zon selesa dan lebih bersemangat.”
“Ara tak fahamlah. Kalau mak cakap macam tu, bukannya Ara semakin bersemangat pun, semangat yang tinggal seciput ni pun boleh hilang tau!”
Tiba-tiba terdengar suara abang ngah menyanyikan lagu Semangat Yang Hilang daripada kumpulan XPDC.
“Abang! Kau ni telinga lintahlah! Tengok ajelah TV tu!” jerit aku geram.
Serentak itu abang ngah dan ayah  mengekek.
“Maksud ayah, Ara dalam comfort zone sebab tak mahu cari kerja tetap? Selesa dengan kehidupan yang cukup-cukup makan ni?”
“Mungkin… Tapi…” Belum pun sempat ayah habis bersuara, terdengar suara abang ngah menyampuk.
“Maksud ayah tu, penulisan kau tu. Cuba kau baca balik novel-novel kau tu. Cuba kau tenung balik apa yang kurang. Kau kena selidik balik kenapa novel kau sebelum ni orang tak berapa nak layan.”
“Eh, mana abang ngah tahu tak ada orang nak layan?” Suara aku melengking. Tiba-tiba fikiran aku teringatkan Indah Water.
“Tengok tu, tegur sikit melenting. Macam mana nak maju?” Abang ngah mencemik.
“Mak cakap macam tu sebab dia nak Ara paksa diri Ara cari penyelesaian macam abang ngah cakap tu,” ujar ayah.
Abang ngah mendabik dada.
“Ara perlu menulis daripada hati. Ara tak boleh menulis kerana terikut-ikut cara penulis lain. You can’t pick a simple thing… Kemudian karang dijadikan novel. You must find something else. Something different then others. Ara perlukan jiwa, perlukan roh, barulah karya Ara akan diingati.” Berkobar-kobar ayah bercakap.
“Jiwa? Roh? Maksud ayah, menghasilkan novel yang penuh dengan falsafah? Sastera?” Oh, ayah… tolong jangan angguk! Aku tak mampu lagi menjadi Sasterawan Negara.
“Bukan macam tu maksud ayah.” Suara ayah mengendur.
Aku menarik nafas lega.
“Tapi kalau Ara mampu buat macam tu apa salahnya. Tapi ayah faham, tak semua penulis mampu menjadi ahli falsafah. Setiap orang, anugerah Tuhan berbeza. Tapi tak bermakna bila Ara tak dikurniakan kelebihan itu, Ara berhenti mencari. Mungkin Ara tak mampu menandingi kehebatan mereka berfalsafah, tapi Ara boleh berfalsafah mengikut kemampuan Ara.” Ayah merenung aku.
Aku menelan air liur. Cuba mencerna segala kata-kata ayah. Beginilah jadinya bila menjadi anak pada kedua-duanya guru sastera.
“Kemampuan macam mana?” Aku mengaru kepala. Dulu ketika bersekolah ayah suruh ambil aliran sastera aku tak mahu. Degil nak ambil aliran ekonomi. Kononnya aliran sastera tak popular.
Namun, ketika di universiti aku ambil Sarjana Muda Komunikasi Massa. Ketika itu baru aku sedar yang sebenarnya aku minat menulis. Dan kemudian aku mula berjinak-jinak menulis. Novel pertama aku terbit ketika aku di tahun akhir universiti dan selepas itu aku terus menanam azam mahu menjadi penulis sepenuh masa. Lagipun aku seriau tengok kawan-kawan aku yang bergelar wartawan. Hidup tak menentu. Sibuk sepanjang masa. Kalau aku pun jadi wartawan, tentu aku tak ada masa mahu menulis. Sebab itu aku rela mengambil kerja menulis rencana dan menterjemah secara sambilan.
“Maksud ayah, setiap novel kau tu perlu ada isi. Bukan tin kosong. Biar pembaca novel kau dapat sesuatu bila baca novel kau. Secara tak langsung kau bawa minda pembaca kau tu berfikir. Bukan sekadar hiburan semata-mata,” sampuk abang ngah.
“Novel falsafahlah tu!” Aku mencemik.
Anti sungguh bila ada pihak hendak merendah-rendahkan taraf penulis novel pop seperti aku. Macam kami ni buat kerja jenayah! Macam novel-novel kami ni semuanya sampah!
Abang ngah menggeleng kepala. “Tak semestinya kau perlu tulis novel yang sarat dan berat dengan pemikiran sampai orang baca pun terpinga-pinga tak faham. Buat apa kalau macam tu. Kalau kualiti tinggi melangit sekalipun, tapi kalau hanya sesetengah kelompok saja yang faham, ilmu tu tak akan sampai juga. Apa salahnya kau tulis kisah santai, tapi biarlah santai berisi yang boleh diterima oleh beratus ribu pembaca. Faham?” jelas abang ngah panjang lebar.
Aku menghela nafas perlahan. Tersengih mengaru kepala. “Faham kut.”
Boleh tahan juga abang ngah kalau dah bercakap. Berlapis-lapis maksudnya. Naik pening kepala aku nak buka setiap lapis kata-kata dia tu. Abang ngah mesti mewarisi minda falsafah macam ayah dan mak.
“Sebagai contoh, abang ada baca satu novel ni. Kisah dia simple aje. Dia adalah pemilik rumah sewa. Cerita berkisarkan penyewa bilik dalam rumah dia. Tapi, dari masa ke semasa abang boleh lihat perkembangan watak yang pada mulanya macam tak patut menjadi watak utama tadi sebenarnya dialah watak utama yang mampu ubah kehidupan semua orang yang menyewa dalam rumah dia. Ceritanya… Straight to the point. Tak perlu berselirat sana sini. Abang baca pun tak pening. Tapi, maksud yang ingin disampaikan oleh penulis memang sampai pada abang. Macam tulah novel yang berjaya,” ujar abang ngah bersemangat.
“Oh, jadi maksud ayah dan abang ngah, novel Ara tu tin kosonglah ya?” Aku menarik wajah masam. Pedihnya hati!
“Inilah yang aku tak suka. Tegur sikit merajuk. Dik, kalau nak jadi penulis terkenal dan dikenali, hati kau tu kena kuat. Kalau orang komen, jangan nak melenting. Terima dengan hati terbuka. Dengar elok-elok apa yang orang tu komen.” Abang ngah mencemik.
Ceh! Sempat lagi nak perli aku tu!
“Bukan itu maksud ayah. Novel-novel Ara yang sebelum memang sudah ada isi. Tapi, balik-balik soal suami isteri bergaduh. Isteri merajuk. Lepas tu muncul watak antagonis yang jahat gila. Bercerai, rujuk balik. Lepas tu bergaduh balik. Boleh tak Ara cuba lari dari patern tu. Masih tema cinta, tapi sesuatu yang ada makna. Ada sesuatu yang Ara ingin sampaikan.”
“Betul! Jangan kau pergi buat cerita air mata dan dipaksa dan memaksa. Cuba kau lari sikit. Buatlah kisah seorang lelaki yang gila lukis komik tiba-tiba dia berada dalam komik, lepas tu dia nak keluar dari komik…”
“Abang!” marah aku. Kalau dah otak kartun tu cakap pun macam kartun!
“Hahaha… Relakslah. Gurau aje.” Abang ngah tersengih.
“Peninglah ayah.” Aku mengaru kepala.
“Tak perlu fikir sekarang, cuma ingat pesanan ayah. Cari sesuatu yang ingin Ara sampaikan dan apakah kesimpulannya. Selepas tu, ikut sahaja perjalanan cerita itu sehingga tiba ke penghujung yang Ara inginkan,” ujar ayah.
Tidak berkelip mata aku merenung ayah. Cuba menyimpan kata-kata itu dalam fikiran aku. Kalau ada pensel, mahunya aku salin ni.
“Jadi, kesimpulan daripada perbincangan ini, kau ni kena ada orang tekan sampai kau tertekan. Baru otak kau akan bertindak mengikut arah yang berlainan. Kalau selalu di puji, nanti kau naik lemak. Apabila dah berlemak, kau jadi malas. Apabila dah malas kau kena sakit jantung. Apabila dah sakit jantung, orang tegur sikit kau melenting…” Abang ngah terdiam seketika. “Err… Maksud abang, apabila dah sakit jantung tu… terkejut sikit terus masuk hospital.”
“Betul abang ngah cakap tu. Ara kena sentiasa mencari kelemahan diri. Keluar dari zon selesa. Cari kelainan. Insya-Allah satu hari nanti anak ayah bakal menjadi penulis yang disegani di Malaysia.”
“Malaysia aje ke?” Aku menjeling, sengaja mengusik.
“Okey, dunia,” balas ayah tersengih.
“Abang, kau ni yang sedap-sedap mengutuk aku, kau baca novel aku ke?” Aku menjeling pada abang ngah.
Dia tersengih. “Bukan nak baca pun. Terpaksa baca,” balas dia acuh tak acuh, kemudian dia menjeling ayah. Aku turut memandang ayah, aku sempat menangkap mata ayah yang sedang menjegil pada abang ngah.
“Hei! Apa ni main-main mata?” Tiba-tiba jantung aku berdetak luar biasa.
“Mana ada?” balas abang ngah.
“Tadi Ara nampaklah ayah pandang abang semacam. Mesti ada rahsia ni!” Aku memandang kedua-duanya bersilih ganti.
“Rahsia apa pula,” balas ayah dengan wajah resah sambil membelek surat khabar di atas meja.
Aku kenal sangat dengan wajah ayah. Kalau dia menipu memang macam itulah caranya, tak berani pandang muka aku!
Entah-entah, Indah Water tu…
“Abang! Kau Indah Water eh?” jerit aku geram.
“Mengaku! Mesti kau dengan ayah pakat nak kenakan aku, kan?” jerit aku lagi. Kalau memang Indah Water itu kerja mereka berdua, memang siap!
“Indah Water apa pula ni?” Dahi abang ngah berkerut.
“Jangan nak buat muka blur. Abang Indah Water, kan?” Aku mencerlung. Jari aku menuding tepat pada wajah dia.
“Eh, sejak bila pula abang jadi Indah Water ni. Abang, abanglah. Kenapa Indah Water pulak!” balas abang ngah menjeling.
“Tengok! Abang kenal Indah Water, kan? Abang tahu siapa dia, kan? Entah-entah…” Aku menjeling pula pada ayah. “Ayah, Indah Water?”
Err… Tak mungkin ayah. Takkan ayah sekejam itu hendak mengutuk anak dia sendiri? Ini mesti kerja abang!
“Siapa Indah Water?” Ayah mengangkat wajah memandang aku.
Soalan ayah aku biarkan tergantung. Malas nak jawab. Nanti dia orang sibuk nak tahu apa Indah Water tu komen. Nanti silap hari bulan dia orang boleh gelakkan aku.
“La… Siapa tak kenal Indah Water. Dah berapa kali dia orang datang rumah sedut loji yang penuh tu,” balas abang ngah.
Aku cuba mencari-cari garis menipu pada wajah abang ngah, tapi… Kenapa tak ada? Emm… Apa nak hairan, keluarga aku ni memang suka berdrama. Jadi tak hairanlah kalau abang ngah pandai berlakon.
“Jangan nak berlakon! Baik mengaku sekarang. Kalau lain kali Ara tahu Indah Water tu kerja abang dan ayah, siap Ara kerjakan!” jerit aku lagi. Geram pula tengok wajah ayah dan abang yang terpinga-pinga.
Serentak itu abang ngah gelak terkekeh. “Kau ni kena sampuk dengan hantu Indah Water ke dik? Kau ada pergi kat loji dia siang tadi eh?” Dia tersenyum sinis.
“Abang jangan nak berdalih. Mengaku cepat!”
“Nak mengaku apanya? Dah abang tak kerja dengan Indah Water.” Dia mencerlung.
“Tapi abang kenal dia kan?” Aku mula syak mungkin kerja kak long.
Abang mendengus kasar. “Memanglah abang kenal. Di sana sini abang nampak papan tanda Indah Water. Itu tak termasuk lagi bil IWK setahun sekali yang sampai kat rumah tu.” Abang ngah mencemik, menggeleng kepala beberapa kali.
Aku memandang ayah. Wajah ayah tidak menampakkan wajah seperti berbohong.
“Atau abang pakat dengan kak long?” Aku terus merenung abang ngah, mengharapkan dia mengaku.
“Aku tak fahamlah, dik. Apa kena-mengena Indah Water dengan kami ni?” Abang ngah memandang aku.
Mata aku terus mengecil memandang abang ngah. “Betul bukan abang?”
“Malas abang nak layan kau!” Dia bingkas bangun, tutup siaran TV.
“Nak ke mana tu?” marah aku. Tak habis siasat lagi dia dah cabut!
“Tidurlah. Esok kerja. Bukan macam kau tu.” Abang ngah mencemik.
“Kenapa Ara tanya pasal IWK ni?” soal ayah terpinga.
Aku mendengus kasar. Bukan IWKlah, ayah. Tapi Indah Water yang menyusahkan hidup anak ayah ni!

Jam sudah menunjukkan pukul 12.30 tengah malam. Mata aku masih segar-bugar. Semuanya gara-gara memikirkan kata-kata ayah dan abang ngah tadi. Ada betul juga cakap dia orang. Bukan aku tak mahu menulis karya yang berisi, tapi semua itu memerlukan masa. Lebih-lebih lagi untuk orang seperti aku yang kurang nilai falsafah dalam kehidupan.
Betul kata ayah, tak semua orang dianugerahkan kelebihan itu. Tapi tak bermakna aku tak boleh menulis sesuatu yang berisi. Tapi, apa isi yang aku hendak masukan dalam karya? Aku cuma tahu apa yang tersirat dan tersurat. Jika yang berlapis-lapis tu… susah sikit otak aku nak kupas.
Tapi, bila aku fikir balik. Selagi karya aku ada nilai positif, itu bermakna karya aku bukan karya tin kosong. Aku akan perbaiki kelemahan yang ayah katakan tu. Tapi tak bermakna aku akan berubah menjadi orang lain. Falsafah aku hanya satu lapis, maka satu lapis itu saja yang aku tahu buat. Jadi tak salah, kan?
Kepala aku semakin sarat. Jadi untuk hilangkan sarat itu, tangan aku laju saja membuka ruangan sosial. Mahu lihat status terkini rakan-rakan. Selepas membuka akaun personal, aku buka pula akaun Indah Lara. Tak ada private massage. Cuma ada satu request friend dan 30 notification.
Aku ni memang jenis malas nak semak semua notification yang kebanyakan tidak penting. Melainkan jika aku ada letak status terkini, baru aku akan belek satu per satu notification, nak lihat siapa yang membuat komen di bawah status aku itu.
Aku membelek pula beberapa ruang grup yang aku sertai. Mana-mana kumpulan yang ada perkataan novel dan review atau sewaktu dengannya memang aku tak pernah sertai. Cuma Lara Alisya saja yang akan sertai kumpulan tu. Tapi itu pun sebagai pemerhati. Kalau Indah Lara, jangan harap!
Bukan apa, kalau dia orang nak meludah pun, biar meludah di belakang aku. Jangan di depan aku. Nanti aku boleh mati bila terkena air ludah dia orang!
Tak ada status menarik, maka tangan aku mula gatal menekan pada kotak status lalu menaip, kemudian tekan post.

Indah Lara
3 minutes ago
Saya nak tanya kau orang, agak-agak air kumbahan Indah Water wangi ke busuk?

Hee… Padan muka! Dia tak boleh nak serang aku. Aku bebas buat status apa saja! Konon nak jadi kawan jujur. Dia ingat aku percaya sangat dengan dia yang ada masalah mental tu? Jangan harap! Kalau dia betul-betul jujur, cara kritikan tu biarlah berseni. Tak adalah aku nak hangin satu badan!
Tak sampai beberapa minit dah ada orang komen? Dia orang 24 jam online Facebook ke?

Like. Commnet. Promote. Share

Haruno Hana – Kak, mestilah busuk!
Indah Lara – Busuk teramat, okey!
Noratikah Aini – Kenapa malam-malam tanya pasal air kumbahan ni?
Indah Lara – Sakit hati dengan Indah Water.
Hilda Ayoi – Indah, kalau letak serai wangi, baru wangi kut :P
Suz Liz – Busuk!!!
Ati – Kenapa sakit hati Kak Indah? Dia orang tak datang sedut ke?
Shafirah Mahamad – Choi! Tengah makan mi segera ni!
Aishahrozan Ahmad – Shafirah Mahamad, nak sikit :P. Tiba-tiba aku pulak lapar.
* Lari ke dapur, geledah cabinet. Harap-harap ada mi segera. Huhuhu.
Hafisah Mat – Aishahrozan Ahmad, jangan lupa letak telur! :P
Aishahrozan Ahmad – Mujur ada sebungkus lagi.
Indah Lara – Haisy, kau orang ni buat akak lapar ajelah!


Untuk baca sambungan boleh dapatkan Novel ini di kedai buku berdekatan atau, beli secara online di website Fajar Pakeer

No comments:

Post a Comment

Popular Posts