Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Bunga Di Rimba : Bab 1 - 10



1


“Nor cepat lari!”

Jerit Helmi sekuat hatinya sambil menggendong si kecil yang baharu berusia dua bulan.

Sesekali dia memandang isterinya di sebelah. Melihat keadaan Norain yang semakin tidak berdaya, Helmi semakin risau. Musuh mereka begitu pantas mengejar dan semakin hampir.

“Nor lari sembunyi, biar abang halang mereka.”

Arah Helmi lalu menghulurkan bayi yang digendong kepada Norain.

Norain menggeleng sambil menolak kembali bayi itu kepada suaminya.

“Jangan! Nor tak berdaya nak menggendong dia.”

Jelas Norain dengan nafas tercungap-cungap kepenatan. Tanpa menunggu lama, Helmi segera menarik tangan Norain supaya mereka dapat berlari seiring, sekali lagi Norain menepis tangan suaminya.

“Cukup bang, Nor tak mampu.”

Lemah sekali suara Norain. Seluruh tenaganya sudah hilang. Langkahnya semakin perlahan.

Melihat keadaan Norain yang semakin tidak berdaya, Helmi segera menarik Norain lalu bersembunyi di sebalik kotak-kotak besar yang ada di lorong tersebut. Nafas Norain turun naik, tangan Helmi dipegang erat.

“Abang, janji dengan Nor abang selamatkan anak kita dari jadi mangsa mereka, ya?” Rayu Norain dengan nafas tersekat-sekat.

Wajahnya kelihatan pucat dan sayu. Matanya tidak berkedip menatap wajah Helmi, mengharapkan suaminya mengangguk. Tiada yang lebih penting kini selain nyawa anak mereka.

Helmi menggeleng tidak setuju dengan permintaan Norain.

“Tak! Nor yang perlu selamatkan anak kita ni, biar abang saja yang berdepan dengan mereka,” tingkah Helmi.

“Abang, Nor tak berdaya lagi, bang. Kalau Nor yang bawak, belum tentu kami selamat, bang. Jadi lebih baik abang selamatkan anak kita ni! Abang tinggalkan Nor. Kalau takdir Nor mati di tangan mereka, Nor reda.”

Rayu Norain bersungguh-sungguh. Keselamatan anaknya lebih terjamin bersama Helmi berbanding dirinya yang semakin lemah.

Mata Helmi mula berkaca, sayu dan sebak mendengar rayuan isterinya itu. Tidak sanggup dia membayangkan isteri kesayangannya itu dibelasah teruk oleh penjahat upahan musuhnya itu.

“Abang, cepat lari sebelum mereka tahu Nor kat sini!”

Tegas sekali suara Norain mengarahkan Helmi segera beredar. Matanya melilau mengintai penjahat tersebut dari celah-celah kotak tempat persembunyian mereka.

Air mata Helmi bercucuran jatuh menimpa bajunya. Inilah kali pertama dalam hidupnya air mata itu gugur di hadapan wanita yang paling dicintainya. Seperti ada segunung batu menghempap hatinya, berat sungguh hatinya untuk meninggalkan Norain sendirian. Kakinya kaku, terasa seperti dipacak kemas ke dalam bumi.

“Abang tolonglah, demi keselamatan anak kita…”

Rayu Norain lagi setelah melihat Helmi serba salah. Lengan Helmi dicengkam erat. Matanya tidak lepas dari menatap mata Helmi.

Melihat kesungguhan Norain, Helmi tiada pilihan melainkan mengangguk.

“Abang pergi kerana anak kita dan kerana Nor. Abang janji akan tunggu Nor.”

Helmi berkata dengan nada yang bergetar sambil tangannya menyentuh lembut pipi Norain.

Cengkaman tangan pada wajah Norain semakin kuat seolah-olah tidak mahu dilepaskan. Mana mungkin dia membiarkan isteri yang tercinta menghadapi keganasan musuh yang tiba-tiba sahaja menyerang mereka sekeluarga. Di saat mereka sedang meraikan kehadiran orang baharu dalam keluarga kecil itu.

“Abang…” Panggil Norain perlahan, sekali gus memecahkan lamunan Helmi.

“Abang janji akan selamatkan anak kita. Tapi Nor janji selamatkan diri! Dan tunggu abang.”
Keras suara Helmi, cuba mengatasi rasa sebak di hatinya.

Mendengar janji suaminya, Norain mengangguk lantas mencium anak dan suaminya bersilih ganti.

“Janji… selamatkan diri Nor!”

Pinta Helmi sambil mengucup dahi isterinya. Anak kecil yang masih merah dipeluk erat.

Air mata mereka mengalir laju. Dalam hati Norain, hanya dengan pertolongan ALLAH sahaja dia akan selamat memandangkan dirinya yang semakin lemah.

Baru beberapa hari lepas mereka gembira menerima kehadiran cahaya mata yang dinanti-nantikan, tetapi hari ini segalanya diragut dengan kejam.

Dengan hati yang berat, Helmi melangkah pergi meninggalkan Norain di sebalik timbunan kotak di celah lorong gelap itu. Hanya pandangan sayu dari Norain mengiringi pemergian Helmi dan anaknya.

Musuh yang mengejar terlalu ramai. Norain tidak yakin Helmi mampu melawan mereka. Disebabkan itu dia sanggup berkorban. Dia sedar jika sesuatu menimpa Helmi, dia sama sekali tidak akan dapat meneruskan hidupnya, jadi jalan terbaik biar dia sahaja yang berkorban.

“Pergi… pergilah jauh-jauh abang, jauh dari dunia yang penuh dengan kejahatan. Besarkan anak kita, berikan kasih sayang dan kekuatan dalam dirinya.”

Ucap Norain perlahan dengan harapan bayu membisikkan kata-kata itu kepada Helmi.

Helmi semakin jauh daripada pandangan. Hatinya kembali lega, dia yakin Helmi dan anaknya akan selamat dari niat jahat musuh mereka. Sebaik sahaja Helmi hilang daripada pandangannya, Norain merasa tubuhnya terkena hentakan yang begitu kuat. Pandangannya mula kabur, tubuh terasa ringan malah tiada lagi rasa penat.

‘Ya ALLAH kalau ini masanya, aku reda’

Hanya itu yang terungkap dalam hatinya sambil bibirnya tidak putus-putus mengucapkan kalimah ALLAH.




2


Ajura begitu asyik melayan perasaan di atas buaian yang dibuat oleh ayahnya sambil menyanyikan lagu kegemarannya. Lagu dari kaset yang sudah bertahun dibeli oleh ayahnya itu sudah pun dihafal setiap bait liriknya. Hanya radio kaset buruk itu sahaja menjadi teman hidupnya.

Suara lembut Ajura mendendangkan irama Melayu asli menghiburkan Helmi yang sedang berehat di anjung rumah mereka. Dua puluh empat tahun sudah berlalu, namun ketakutan untuk melepaskan Ajura keluar dari kawasan penginapan mereka masih menebal.

Selama membesarkan Ajura, dialah ayah dan juga ibu. Sejak Ajura tamat tingkatan lima, dia langsung tidak membenarkan anaknya itu berada jauh darinya. Dahulu pun dia yang menghantar dan mengambil Ajura yang bersekolah di satu-satunya sekolah yang ada di kawasan pedalaman itu.

Sekolah yang terpencil dan jauh dari pembangunan. Sengaja dia tidak menghantar Ajura ke sekolah pekan yang sedikit moden. Dia lebih rela Ajura bercampur dengan anak-anak orang asli demi keselamatan anak tunggalnya itu. Malang tidak berbau, kerana itu dia harus berhati-hati.

Tetapi itu dahulu, ketika itu dia terlalu takut kehilangan Ajura. Namun apabila memikirkan masa depan anaknya itu, Helmi sendiri resah.

“Ayah...”
Panggil Ajura sekali gus menyebabkan lamunan Helmi mula bertebaran entah ke mana.
“Bila ayah nak ke pekan?” Soal Ajura lagi.
“Esok, kenapa?”

Soal Helmi sambil merenung Ajura yang masih lagi mengayun buaian yang diikat pada dahan pohon berangan di halaman rumah kecil mereka.

Mendengar jawapan ayahnya, Ajura segera berhenti.

“Ayah nak Jura temankan ayah tak?” Tanya Ajura manja.
Helmi tersenyum kelat. Sebenarnya dia tidak suka dengan kata-kata anaknya itu.
“Jura mimpi apa semalam?” Sindir Helmi.
Sindiran Helmi disambut dengan tawa kecil Ajura.
“Ajura kesian tengok ayah pergi sorang diri. Ayah pun dah tua… Kalau apa-apa jadi dalam perjalanan, siapa nak tolong?”

Luah Ajura sedikit bimbang. Dia melangkah ke arah Helmi yang masih berehat di kerusi rotan buatan tangannya sendiri.

“Apa? Jura cakap ayah dah tua?”
Gurau Helmi dan di hujung kata-katanya dia tergelak besar. Ajura tersenyum sambil mengerling ayahnya.
“Habis, ayah ingat ayah muda lagi?”
Soal Ajura, sengaja mengusik lalu mengambil tempat di sebelah ayahnya. Helmi tersenyum.
“Yalah… ayah dah tua, tapi ayah masih gagah lagi. Kalau setakat ke pekan, tak ada masalah,” jawab Helmi cuba meyakinkan Ajura.

Ajura kurang yakin dengan kata-kata ayahnya itu. Jarak dari tempat mereka ke pekan bukannya dekat. Hampir satu jam diperlukan untuk keluar dari hutan tersebut dengan berjalan kaki.

Setiap dua atau tiga bulan sekali Helmi akan keluar ke pekan untuk menjual hasil tangannya yang diperbuat daripada rotan. Dari hasil jualan tersebut digunakan untuk menyara keperluan mereka.

Ajura termenung di sisi Helmi.

Perasaan takut akan kehilangan ayahnya sering bertandang di hati. Dia tidak punya sesiapa di dunia ini. Jika terjadi sesuatu yang buruk kepada ayah, maka hilanglah satu-satunya tempat untuk dia bergantung harap.

Pernah juga Ajura bertanya, mengapa mereka tinggal jauh di dalam hutan? Namun jawapan ayahnya seperti biasa, iaitu sayang meninggalkan rumah pusaka keluarga mereka.

Menurut cerita ayah, arwah ibu berasal dari kampung Melayu sebelah dan ibu pula yatim piatu. Sebab itu selepas kematian atuk dan nenek mereka tidak punya saudara-mara lain.

Pernah beberapa kali Ajura mengajukan soalan kenapa tidak membenarkan dia bersekolah asrama sahaja. Alasan Helmi, dia risau dunia luar yang terlalu bahaya untuk Ajura dan dia tidak sanggup berjauhan dengan anak kesayangannya itu.

Akhirnya Ajura terpaksa akur dengan alasan ayahnya itu. Dia sendiri takut untuk berada di luar. Pernah dia mengikut ayahnya ke bandar, melihat pelbagai jenis orang dan kenderaan yang ke sana ke mari, benar-benar menyesakkan dan Ajura sendiri hampir-hampir dilanggar oleh sebuah kereta.

Menyebabkan Ajura sering kali menolak untuk mengikut ayahnya ke bandar. Dia lebih suka tinggal di hutan yang tenang itu!





3


Kedinginan pagi membuatkan Ajura lebih selesa berpakaian tebal. Nyanyian unggas kedengaran sungguh riang menyambut pagi yang indah diiringi deruan air sungai yang mengalir, menambahkan seri melodi pagi itu.

Ajura segera ke dapur yang hanya bersebelahan dengan biliknya. Rumah kecil yang dibina menggunakan kayu yang diperoleh dari hutan itu masih kukuh binaannya.

Hanya terdapat dua bilik serta satu ruang tamu yang kecil untuk dua beranak itu menghabiskan masa bersama. Ruang tamu itu dihias cantik. Kebanyakan hiasan dibuat daripada kayu-kayan yang diperoleh dari hutan berhampiran. Terdapat dua buah kerusi rotan yang dibuat sendiri oleh Helmi serta beberapa lukisan abstrak kelihatan tergantung menghiasi dinding ruang tamu itu.

Dinding rumah yang dibina daripada batang kayu hutan disusun dengan begitu rapat dan kemas sehinggakan tiada langsung ruang udara antara susunan dapat menembusinya. Manakala lantainya pula dibina menggunakan batang kayu yang dipotong rata dan dialas dengan tikar yang diperbuat daripada rotan dan juga mengkuang.

Ajura memilih untuk menyediakan nasi goreng bilis kegemaran ayahnya. Sambil menggoreng, Ajura menyanyi kecil. Sepanjang hidupnya, tiada masalah yang dihadapinya. Dia begitu selesa hidup di tempat yang jauh dari suasana bising.

Tidak dapat dia bayangkan jika dia terpaksa ke bandar-bandar besar seperti yang dilihat di majalah yang selalu dibeli oleh ayahnya setiap kali ke pekan.

Bau aroma nasi goreng mula memenuhi ruang rumah kecil itu. Sesekali Ajura dengan sengaja mengetuk sudip dengan kuat supaya didengari oleh ayahnya yang mungkin sedang diulit mimpi.

Sebentar tadi, ayahnya bangun bersolat dan apabila mahu ke hutan, hujan pula turun mencurah-curah. Jadi ayah menyambung tidur semula.

Pondok kecil yang dibina di tengah hutan itu kelihatan mengeluarkan asap berkepul-kepul dari cerobong yang dibina di bahagian bumbung rumah itu.

Di halaman rumah kecil itu pula ditanam dengan pelbagai jenis pokok bunga hutan dan juga pokok-pokok bonsai yang diperoleh dari hutan. Kelihatan bunga-bungaan mula berkembang mekar menambahkan lagi seri halaman yang indah itu.

Terdapat sebatang sungai kecil bersebelahan rumah mereka. Airnya pula sungguh bersih dan jernih sehingga menampakkan dasar sungai yang cetek dan berbatu-batu. Di kiri kanan tebing sungai pula terdapat batu-batan yang terdiri daripada pelbagai saiz, menambahkan lagi kecantikan sungai kecil itu. 

Keadaan kelam beransur cerah. Ajura menghidangkan sarapan di beranda rumah. Di situlah tempat yang menjadi rutin mereka apabila menikmati sarapan pagi mahupun hidangan tengah hari.

Ajura menuju ke bilik ayahnya. Pintu bilik diketuk bertalu-talu.

“Ayah bangun, nanti nak ke pekan pulak.” Panggil Ajura.

Setelah mendengar sahutan daripada ayahnya, dia kembali ke beranda rumah. Sementara menanti, Ajura menuang kopi kegemaran ayahnya ke dalam cawan agar tidak terlalu panas untuk diminum nanti.

Ajura meluruskan pandangannya ke hadapan. Melihat pepohon kayu di seberang sungai yang masih kelihatan samar-samar kerana masih dilitupi kabus selepas hujan walaupun jam sudah menunjukkan pukul 7:30 pagi.

Itulah nikmatnya tinggal di kawasan yang bersih dan jauh dari pembangunan. Kesejukan pagi lebih panjang berbanding di kawasan bandar.

“Kenapa lambat kejutkan ayah?”

Soal Helmi serius namun kemudian dia tersengih, sengaja mengusik lamunan Ajura. Ajura mencebik.

“Yalah, kalau ayah tidur macam orang mati, macam mana nak dengar. Dah nak tercabut pintu tu Jura ketuk.” Balas Ajura menyindir.

Helmi tersengih mendengar sindiran anak gadisnya itu.

“Dalam banyak-banyak contoh, kenapalah contoh mati pulak Jura pakai? Cakaplah tidur macam kucing ke, kelawar ke...”
Sambung Helmi lagi sambil menyenduk nasi goreng yang masih lagi berasap.

“Nanti kalau betul ayah mati, macam mana?” Tambah Helmi lagi sekadar menduga.

Riak wajah Ajura berubah. Dia memang tidak suka isu kematian dibangkitkan. Wajah ayahnya ditenung tajam.
“Ayah tahu, kan Jura tak suka ayah cakap pasal ni?”

Nada Ajura mendatar. Wajahnya masam mencuka. Dia tidak suka mendengar Helmi berkata mengenai kematian. Kalau Helmi mati, dia tidak ada tempat bergantung.

“Ayah tahu, tapi Jura kena bersedia menghadapi apa jua takdir yang akan datang. Ayah nak Ajura meneruskan hidup tanpa ayah dengan penuh bersemangat. Jangan terlalu lemah sebab di luar sana macam-macam ragam manusia akan Jura jumpa nanti.”

Ujar Helmi panjang lebar kemudian menyuap nasi goreng lalu dikunyah dengan perlahan. Tiba-tiba sahaja selera makannya terputus. Hati Helmi diburu rasa bimbang memikirkan tentang nasib Ajura jika dia tiada lagi di dunia ini kelak.
“Jura tak kisah ayah, bukannya Jura nak keluar dari kawasan ni pun.”

Balas Ajura selamba sambil menyuap nasi goreng yang sedari tadi tidak disentuhnya.

“Habis, Jura nak kahwin dengan siapa kalau asyik terperuk kat sini? Dengan monyet-monyet tu? Dengan Jonet?”

Soal Helmi, sengaja menyakat Ajura sambil menjuihkan bibirnya ke arah monyet peliharaan mereka yang berada di sebelah kanan halaman rumah mereka.

“Hesy, ayah ni… ada ke nak suruh Jura kahwin dengan Jonet.”

Marah Ajura kemudian dia ketawa mengekek apabila pandangan matanya jatuh pada Jonet yang masih bermalasan.

“Yalah… mana ada sesiapa lagi dalam hutan ni. Ayah suruh Jura kawan dengan anak tok batin, Jura tak mahu.”

Balas Helmi sekali gus menyindir anaknya itu. Walaupun anaknya itu tidak pernah mengenali dunia luar, tetapi cita rasanya untuk mencari teman cukup tinggi. Mengalahkan perempuan moden!

Tetapi bila dia ajukan cadangan agar anaknya itu keluar ke bandar sekali-sekala, Ajura menolak. Mungkin salah dia juga selama ini yang sering risau dan menolak permintaan anaknya itu untuk bersekolah dan mempunyai kawan. Sedangkan Ajura seorang anak yang pintar zaman persekolahannya.

Keputusan SPM Ajura juga amat baik. Cuma dia sahaja yang merasakan Ajura tidak perlu meneruskan pelajarannya. Sedangkan Ajura menggeletik mahu belajar, lebih-lebih lagi Ajura bijak dalam bidang matematik.

Bahkan Ajura amat rajin membaca. Semua buku dan majalah yang dibelikan di bandar oleh ayahnya sudah habis dibaca.
Setiap kali ayahnya ke bandar, Ajura akan memesan buku dan juga majalah.

“Jura… kalau boleh sementara ayah ada di dunia ni, ayah mahu lihat Ajura kahwin. Sekurang-kurangnya kalau terjadi apa-apa pada ayah, taklah ayah risaukan Ajura nanti.”

Tambah Helmi lagi setelah melihat anaknya itu berdiam diri. Wajah Ajura berubah merah padam menahan malu apabila soal kahwin ditimbulkan.

“Tapi ayah… bukan dengan anak tok batin tu. Jura tak berkenanlah!”

Balas Ajura menjuihkan bibirnya.

“Apa kurangnya Ali tu? Rajin dan baik orangnya.”

Usik Helmi lagi. Namun kemudian dia sendiri tertawa melihat muncung Ajura yang semakin panjang.
Sudah lama Helmi tidak berjumpa dengan Ali. Dahulu masa Ajura belajar adalah juga Ali datang ke rumah mereka.

Ali sering membantu Ajura menyiapkan kerja-kerja sekolah. Dia melihat Ali tidak seperti anak orang asli yang lain. Ali berwawasan dan pelajar yang paling cerdik di sekolah mereka.

“Ayah ni…”

Marah Ajura, pura-pura merajuk. Ahh… mana mungkin dia berkahwin dengan Ali yang sudah dianggap sebagai rakan karibnya itu. Lagi pun Ali bercita-cita mahu keluar dari kawasan perkampungan itu dan berhijrah ke bandar besar sedangkan Ajura sungguh sayang mahu berjauhan dari tempat tinggalnya itu.

“Kalau ayah nak sangat Ajura kahwin, hari ni Jura ikut ayah ke pekan. Mana tahu kalau-kalau terjumpa yang berkenan, lepas tu boleh ayah kahwinkan terus anak ayah ni.”

Perli Ajura sambil menjeling pada ayahnya yang sedang menguntum senyum.

“Kalau hari ni, ayah tak benarkan. Sebab ayah ada banyak hal nak diselesaikan. Nanti Jura bosan. Mungkin kali ni dalam seminggu ayah di pekan.” Jelas Helmi.

“Hah? Seminggu? Ayah nak buat apa? Lama sangat tu!”

Bertalu-talu Ajura bertanya.

Helmi mengeluh perlahan sebelum menjawab pertanyaan anaknya itu.

“Ayah ada banyak urusan. Ajura jangan bimbang.” Jelas Helmi, cuba meyakinkan anaknya itu.
Ajura mengangguk, mempercayai alasan ayahnya itu.

“Jura ingat lagi pesan ayah? Bulan depan bila ayah dah siap semua urusan, ayah nak bawak Jura ke Kuala Lumpur. Kita mulakan hidup baru di sana nanti.” Terang Helmi bersemangat.

“Kuala Lumpur?” Soal Ajura dengan mata yang membulat.

Wajahnya kelihatan resah, serentak itu hatinya dihambat rasa sayu. Sayang pula mahu meninggalkan tempat tinggal mereka. Lagipun boleh ke dia tinggal di bandar? Serasikah dia nanti? Bolehkah dia hidup?

Tetapi memang tidak dinafikan, dia pernah berhasrat mahu menjejakkan kakinya ke bandar besar itu. Setiap kali melihat gambar di majalah yang dibeli oleh ayahnya, Ajura sering memasang angan. Tetapi dalam masa yang sama dia juga bimbang dan tidak yakin dengan dirinya sendiri.




4


Tepat pukul sembilan pagi Helmi sudah bersiap sedia untuk bertolak. Jaket denim yang dibelinya di kedai pakaian terpakai di bandar disarung ke badannya, bertujuan untuk mengurangkan rasa sejuk dan untuk mengelak daripada gigitan serangga. Kasut but separas lutut disarung serta topi yang dianyam oleh Ajura menggunakan mengkuang, dipakai dengan kemas.

Ajura tersenyum melihat ayahnya yang masih kelihatan segak dan gagah apabila berpakaian begitu. Jaket denim yang dipakai oleh ayahnya dibutangkan separuh. Apabila selesai, dia menepuk-nepuk bahu ayahnya sambil tersenyum lebar.
“Kenapa senyum ni?”

Soal Helmi yang hairan melihat Ajura tersenyum sipu. Ajura tergelak kecil.
“Ayah ni kalau pakai macam ni, dari jauh macam orang muda!”
Usik Ajura. Serentak dengan itu Helmi ketawa sambil membetulkan kedudukan topinya.
“Kan ayah dah cakap, ayah ni muda lagi.”
Balas Helmi ketawa kecil sambil memegang erat tangan Ajura.
“Jura, jaga diri tau. Sepanjang ayah tak ada kat rumah, jangan bukak pintu sesuka hati. Bila lewat petang jangan keluar ke sungai lagi, duduk dalam rumah aje, tau! Kalau ada apa-apa, Jura pergi mintak tolong dengan tok batin. Dia boleh bantu Jura nanti. Kalau Jura nak keluar ke mana-mana, jangan lupa kotak kecik dalam bilik ayah tu ada duit simpanan.” Pesan Helmi.
Ajura mengangguk perlahan. Wajahnya berubah suram. Sebelum Helmi berangkat pergi, Ajura mencium tangan ayahnya lalu memeluk tubuh yang semakin dimamah usia itu seerat mungkin.
“Ayah jaga diri tau.”
Pesan Ajura sebak. Gentar sendunya diperangkap agar empangan air matanya tidak terburai.
Hanya pandangan sayu yang mengiringi pemergian si ayah. Semakin lama susuk tubuh ayahnya semakin tidak kelihatan.
Suasana sunyi mula menyelubungi sekitar rumah itu. Hanya sekali-sekala terdengar suara decitan burung menyegarkan halwa telinga Ajura serta bisikan angin yang menyapa pepohon hutan serta dedaun kering yang berkerisik.
Dia kini tinggal seorang diri. Tiada lagi tempat untuk dia berbicara, bergurau dan bermanja. Ajura segera mengunci diri di dalam rumah.
‘Seminggu… lamanya.’ 
Gumam hati Ajura.
Kalendar di hadapannya dibulatkan. Baru sekejap tadi ayahnya bertolak pergi. Sekarang rindu sudah pun menggigit-gigit tangkai hatinya.



5


Taufik membelek barang dalam beg sandangnya lalu tersenyum puas setelah yakin semuanya ada. Hatinya cukup teruja untuk melakukan aktiviti pertama mereka setelah tamat pengajiannya di kolej terkemuka di Kuala Lumpur.
Telefon bimbitnya berbunyi lantas Taufik melihat sekilas nama si pemanggil. Sebaik sahaja melihat nama yang tertera, Taufik tersenyum gembira.
Yup my dear, I dah siap.”
Ucap Taufik apabila suara Dila kedengaran di hujung talian.
“Okey… kalau macam tu, kami akan terus ke rumah you. Kami semua dalam perjalanan ni.” Terang Dila.
Suaranya kedengaran begitu ceria. Saat-saat yang dinanti akhirnya telah tiba.
“Oh… jadi I saja yang lambat?”
Soal Taufik tidak puas hati. Dia sangka dialah yang paling awal bersiap.
“You orang kedua lambat. Yang paling lambat, Yusri. Kami telefon, dia tadi baru je nak mandi.”
Jelas Dila. Kedengaran tawa kecil gadis itu di hujung talian. Taufik tersenyum puas, bermakna dia masih mendahului Yusri.
‘Yusri, kau memang lembap la…’ Bisik hati Taufik.
Walaupun Yusri merupakan sahabat baik Taufik dari zaman kanak-kanak lagi, perasaan cemburu pada jejaka itu tidak dapat dikikis. Seperti sudah bertatu dalam hatinya.
Kedua-dua keluarga mereka sudah lama bersahabat. Mereka membesar bersama-sama. Namun semakin dewasa sikap mereka jauh berbeza, Yusri seorang yang pendiam. Apabila bersama rakan-rakan, dia lebih banyak mendiamkan diri dan hanya menjadi pemerhati gelagat rakan-rakannya.
Berbeza dengan Taufik yang lebih bersikap terbuka dan peramah. Kerana itulah nama Taufik sering meniti di bibir wanita di kolej mereka. Selain memiliki wajah yang kacak, status Taufik sebagai seorang anak ahli perniagaan yang berjaya menambahkan lagi kelebihan dalam dirinya.
Yusri jika dilihat dari segi rupa, dia kalah di tangan Taufik yang ternyata jauh lebih kacak. Namun jika diamat-amati, wajah Yusri masih dalam golongan lelaki yang memiliki wajah yang menarik. Matanya yang tajam dan menawan mampu membuatkan hati gadis yang memandang terpaku dan mungkin akan ada yang jatuh cinta.
Sesekali jika Yusri tersenyum, mampu membuatkan sesiapa sahaja menatapnya tanpa rasa jemu.



Taufik mendekati Toyota Alphad yang baru sahaja sampai di pekarangan rumahnya. Dia tersenyum lebar apabila melihat kelibat Dila turun dari MPV tersebut.
“Kenapa lambat?” Soal Taufik sambil memaut pinggang ramping Dila.
“KL... Biasa la, jalan sesak sana sini. Mana Yusri?”
Soal Dila sambil matanya melilau mencari susuk tubuh Yusri.
Jika selama ini rakan-rakannya tergila-gilakan Taufik, tetapi berbeza dengan Dila. Dalam ramai-ramai rakan Taufik, hatinya tertarik pada Yusri yang pendiam itu. Tetapi kerana sikap Yusri yang pendiam itulah menyebabkan dia mula putus asa menanti dan akhirnya dia menerima cinta yang dihulurkan oleh Taufik.
 “You bukan nak tanya I sihat ke tidak. You cari Yusri pula. Kenapa? You syokkan Yusri ke” Soal Taufik. Nadanya sedikit keras.
Soalan Taufik sebentar tadi disambut dengan ilai tawa oleh rakan mereka yang lain.
“Ala Taufik… Kalau Dila tak mahu kat kau, aku ada ni… kau jangan risau.” Sampuk Linda mengusik.
“Amboi, awak ada hati kat Taufik ya?”
Marah Harun. Sakit hatinya mendengar gurauan buah hatinya itu.
Linda tergelak besar melihat wajah cemburu Harun.
“Sayang… jangan marah. Lin gurau aje. Lin bukan nak sangat dengan Taufik ni. Lin nakkan harta dia aje! Nanti bila Lin dah dapat harta dia, kita boleh kongsi.” Usik Linda
Gurauan Linda mengundang tawa rakan-rakan yang lain. Mereka tahu Linda sekadar bergurau. Keluarga Linda apa kurangnya. Memiliki empayar perniagaan yang besar yang sudah tentu akan menjadi miliknya suatu hari nanti memandangkan hanya dia satu-satunya waris keluarganya.
Harun turut sama tersenyum. Dia yakin hati Linda tidak akan berubah.
“Mana Yusri ni?”
Soal Jason yang turut sama menunggu. Jam tangannya direnung seketika.
Melihat gelagat rakan-rakannya yang sudah berpunya, sedikit sebanyak membuat hatinya cemburu.
“Hah! Itu pun Yusri!” Jerit Linda gembira.
Dari jauh kelihatan Yusri yang hanya ber-T-shirt hitam dan berseluar jean lusuh menghampiri mereka. Rumah Yusri berdekatan dengan rumah Taufik, sebab itu Yusri datang hanya berjalan kaki.
Kalau sesiapa yang tidak mengenali Yusri pasti menganggap dia anak orang biasa-biasa, memandangkan cara pemakaiannya yang amat sederhana dan cara hidupnya yang langsung tidak menunjukkan bahawa dia dari keluarga yang berada.
Sebelum ini jika mahu ke kolej, dia lebih selesa menumpang Taufik ataupun memandu kereta buruknya daripada menggunakan kereta mewah yang tersadai di rumah. Dan kerana sikap sederhananya itu, kebanyakan rakan sekolejnya langsung tidak tahu bahawa Yusri adalah anak Datuk Daim yang menerajui syarikat perkapalan terbesar di Malaysia.



6


Yusri mengambil tempat duduk di sebelah Jason yang menjadi pemandu. Harun dan Linda memilih tempat duduk tengah manakala Taufik dan Dila lebih selesa berada di tempat duduk belakang.
“Dah siap semua?”
Soal Yusri bersahaja sambil menjeling pada cermin pandang belakang.
Secara tidak sengaja dia terpandang wajah Dila yang pada waktu yang sama mencuri pandang ke arahnya. Pandangan mereka bertaut. Namun segera Yusri melarikan pandangannya, bimbang disedari oleh Taufik.
Dalilah atau nama manjanya Dila, gadis pertama yang berjaya mencuri perhatian Yusri. Namun apabila menyedari Taufik turut meminati Dila, maka dengan rela hati Yusri memendam perasaan yang sekian lama muncul di hatinya. Melihat Dila begitu bahagia di samping Taufik, sudah cukup membuat hatinya gembira kerana pengorbanannya berbaloi.
“Siap…” Sahut Linda girang.
Dia tidak sabar-sabar menikmati rancangan yang sudah lama diatur. Sudah terbayang keindahan alam yang bakal mereka nikmati dalam beberapa jam lagi.
Jason memulakan perjalanan mereka. Hati Yusri berbunga riang kerana dia juga sudah lama menantikan saat ini. Cerita yang keluar dari mulut ibunya semasa dia masih kanak-kanak kembali bertandang. Kata ibunya Hutan Kais amat cantik sekali!
Namun berbeza pula cerita yang didengar dari mulut Jason bahawa hutan tersebut keras dan berpenunggu. Sudah ramai yang hilang dan sehingga kini masih belum ditemui. Disebabkan cerita itu, maka hutan tersebut jarang diterokai oleh orang ramai.
Kerana tertarik dengan cerita Jason itu menyebabkan Taufik beria-ia mempengaruhi rakan-rakannya untuk bermalam dalam hutan tersebut.
Pada mulanya Harun dan Jason tidak bersetuju. Mereka terlalu terpengaruh dengan cerita misteri mengenai hutan tersebut namun setelah melihat Yusri yang sebelum ini pendiam begitu bersemangat menyokong rancangan Taufik, maka mereka yang lain hanya menurut.
“Apa yang kau senyum sorang-sorang ni, bro?”
Soal Jason, dalam masa yang sama sempat mencuri pandang ke arah Yusri.
Yusri menoleh, saki-baki senyuman masih jelas di wajahnya.
“Tak adalah Jason, aku tiba-tiba teringatkan movie yang aku tengok semalam.”
Jawab Yusri, cuba menyembunyikan perkara sebenar.
“Filem apa?” Soal Jason yang mempercayai alasan Yusri itu.
Yusri terdiam, ‘alamak banyak tanya pulak apek ni,’ bisik hati Yusri.
Step Brother,” jawab Yusri ringkas.
Nasib baik dia masih ingat tajuk cerita yang dilihatnya minggu lepas di saluran HBO Astro.
“Wah, cerita tu ka? Banyak kelakar la...” sambung Jason dalam pelat Mandarin sambil ketawa berdekah-dekah.
Yusri hanya tersenyum melayan celoteh Jason mengenai cerita tersebut. Lega hatinya apabila Jason percaya akan alasannya itu. Kalaulah Jason tahu dia tersenyum apabila teringatkan cerita dari ibunya, mesti makin kuat tawa Jason. Bukan dia tidak kenal Jason itu, pantang ada peluang... nanti dijadikan bahan lawaknya pula.
“Jason!” laung Dila dari belakang.
“Apa hal? Kau ingat aku ni pekak ke?”
Marah Jason apabila jeritan Dila membuatkan gegendang telinganya bergegar.
Dila tersengih. Tidak sangka pula volume suaranya terkuat sebentar tadi.
“Nanti jangan lupa singgah di hentian Tapah tau!”
Pesan Dila bersungguh-sungguh. Sudah terbayang nasi putih berlaukkan ayam masak halia di ruang mindanya.
“Isy... kau ni, baru dekat stesen minyak tadi kau dah lepaskan hajat, takkan nak membuang lagi. Lain kali pakai Pampers ataupun bawak sekali tandas bergerak, tak adalah asyik nak berhenti aje.
Bebel Jason geram. Dia memang pantang jika terlalu banyak tempat persinggahan sebelum sampai ke tempat yang dituju.
“Kalau tadi dah membuang, kali ni nak masukkan balik la.”
Balas Dila kasar. Tidak suka dia dengan bebelan Jason tadi.



7


Perjalanan dari Selangor ke Daerah Kais yang terletak di utara tanah air mengambil masa selama lima jam. Kini giliran Yusri pula memandu.
Sebaik sahaja tugas diserahkan kepada Yusri, Jason segera melelapkan matanya. Begitu juga dengan mereka yang lain. Bila perut sudah kenyang, mata masing-masing mula layu dan akhirnya terkatup.
Sambil memandu, Yusri sekali-sekala menjeling pada cermin pandang belakang. Terlihat Dila begitu lena di bahu Taufik.
‘Kalau la aku cepat, mesti sekarang aku di tempat Taufik.’
Bisik hati Yusri sedikit kesal.
Untuk menghalau rasa kesal yang mula terbit di hatinya, dengan pantas tangan Yusri menghidupkan cakera padat yang mengandungi lagu kegemarannya. Dengkuran Jason yang sekejap timbul sekejap tenggelam membuatkan Yusri tersenyum sendirian.
Papan tanda di hadapan menunjukkan berpuluh kilometer lagi untuk mereka sampai ke Pekan Kais. Mengikut perancangan mereka, malam itu mereka berenam akan bermalam di hotel sebelum kembali meneruskan perjalanan mereka ke Hutan Kais pada keesokan paginya.
Yusri membelokkan van mereka memasuki hentian rehat yang terakhir sebelum mereka sampai ke Pekan Kais. Ketika keluar dari tandas, dia terserempak dengan Dila yang juga baru keluar dari tandas wanita. Yusri membalas senyuman Dila dengan anggukan.
Dila menarik nafas yang dalam kemudian dihembus kasar dengan harapan dapat mengembalikan rentak jantungnya pada irama yang sebenar. Ternyata begitu sukar untuk dia melupakan Yusri yang sudah bertahun-tahun menjadi penghuni dalam karung di hatinya.
“Taufik tak turun ke?”
Soal Yusri cuba berbasa-basi bagi memecahkan kekeluan mereka.
Sebelum membalas pertanyaan Yusri, Dila tersenyum sambil berdeham perlahan.
“Takkan Yus tak tahu Taufik tu, kalau tidur memang tak sedar apa.” Balas Dila tersenyum manis.
Dari dahulu dia lebih selesa memanggil Yusri dengan panggilan ‘Yus’, berbeza dengan rakan yang lain yang selalu menggunakan ganti nama ‘kau’ dan ‘aku’. Mungkin kerana masih ada sisa-sisa kasih dalam hatinya menyebabkan layanannya kepada Yusri agak kekok.
Yusri tersenyum mendengar komen Dila terhadap Taufik. Kadangkala Yusri terasa agak janggal berhadapan dengan Dila yang melayan dia berbeza daripada rakan-rakan yang lain. Ketika bersama rakan-rakan yang lain, Dila agak lepas bicara tetapi bersama Yusri, perwatakan Dila jauh berbeza. Gadis itu kelihatan lebih sopan dan tutur bicaranya agak lembut.
“Dia penat agaknya.” Balas Yusri perlahan.
Dari jauh Yusri ternampak Jason mengambil alih tempat memandu. Yusri tersenyum lega. Memang dia sudah berkira-kira untuk meminta Jason mengambil alih tugas itu.
“Kenapa tiba-tiba senyum ni?” Soal Dila menoleh seketika pada Yusri.
“Tu… tengok si apek tu. Risau sangat orang lain bawak kereta ayah dia tu.”
Balas Yusri sekadar bergurau dan kemudian disertai dengan tawa kecil Dila.
“Bagus juga, nanti Yus boleh la berehat.” Balas Dila sambil mencuri pandang ke arah Yusri.
Bau wangian yang dipakai Yusri membuat hatinya berdebar kencang. Namun dia segera mematikan perasaan itu. Rasa bersalah kepada Taufik mula muncul.
Bukan dia tidak pernah cuba melupakan Yusri, tetapi entah mengapa terlalu sukar untuk dia menghakis dan membuang perasaan itu dari terus bertapak dalam hatinya.
Namun jauh di lubuk hatinya dia berharap suatu hari nanti takdir akan menyebelahi dia dan Yusri. Perasaannya terhadap Yusri adalah suci dan dia yakin suatu hari nanti jejaka itu akan menjadi miliknya. Hati kecilnya juga dapat rasakan bahawa Yusri juga menaruh hati kepadanya. Tetapi silap dia juga kerana terburu-buru menerima Taufik.
“Yusri, berapa kilometer lagi nak sampai?” Soal Jason sebaik sahaja Yusri menghampirinya.
Emmm… dalam tiga puluh kilometer aje lagi.” Jawab Yusri terus mengambil tempat di sebelah Jason.
“Ehem… ambik kesempatan ya?”
Soal Jason tersengih-sengih sambil menaikkan kedua-dua keningnya. Wajah Yusri berkerut.
“Kesempatan apa ni?”
Soal Yusri yang masih tidak dapat menangkap maksud kata-kata Jason itu.
“Elehh… jangan buat tak tahu la. Tengok muka kau yang bersinar-sinar bak bulan mengembang dikandung awan tu pun aku dah tahu.”
Perli Jason lagi sambil membelokkan Toyota Alphad kembali ke lebuh raya.
Yusri menjeling seketika kepada Jason yang masih tersengih-sengih seperti kerang busuk yang direbus separuh masak.
“Kau ni biar betul! Kau cakap muka aku bak bulan mengembang ke mengambang?”
Soal Yusri dengan wajah yang berkerut seribu.
Aik… apa bezanya?” Soal Jason mula keliru.
“Yalah… kalau mengembang maknanya muka aku ni kembang, kalau mengambang baru macam bulan!”
Jelas Yusri yang sudah pun ketawa mengekek.
 “Lah iye ke, tak kisahlah kembang ke mengambang ke asal kena mengena dengan bulanlah!” Jawab Jason tersengih.
Yusri mengekek.
Tak apa, sekurang-kurangnya dia mahu juga pakai bahasa Melayu.’ Bisik hatinya.


8


Bos, semalam aku nampak Helmi dekat kawasan ni,” bisik Pacat di telinga majikannya.
Wajah bengis James bertukar merah menahan marah.
“Apa? Dia ada kat sini!” Jeritnya kasar.
Wajah bengis itu tiba-tiba sahaja tersenyum sinis. Pencariannya selama ini hampir sampai ke penghujungnya.
“Kali ini kau jangan biarkan dia terlepas! Selagi kau tak dapat Helmi sama ada hidup atau mati, selagi tu kau jangan balik ke sini!”
James tegas memberi arahan kepada orang suruhannya itu.
Kecut hati Pacat apabila ditengking sebegitu. Tanpa menunggu dengan lebih lama, dia segera berlalu. Arahan majikannya perlu dilaksanakan dengan segera. Jika tidak, dia pula yang akan jadi sasaran kemarahannya.
James mendengus kasar. Selagi Helmi masih hidup, selagi itulah dendamnya tertangguh.
“Bersiap sedia kau, Helmi!”
Jerit James lalu mengilai seperti terkena histeria. Habis semua kertas di hadapannya dilempar ke dinding lagak seperti orang yang hilang akal.
Sekian lama dia menanti, kini tiba saat yang selama ini menjadi igauan malamnya. Seperti mahu gila dia menunggu kemunculan Helmi. Tidak sabar-sabar dia mahu melihat mayat Helmi di hadapannya. Ilainya terus bergema memecah hening petang.



Helmi mundar-mandir menanti kedatangan orang yang berjanji untuk membantunya.
‘Sudah hampir dua jam, bayang pun tak ada! Susah betul dengan manusia yang tak berpegang pada janji ni!’ Bebel Helmi dalam hatinya.
Jaket denimnya dibuka. Peluh kecil yang membasahi wajahnya disapu kasar. Kemudian dia melabuhkan punggungnya pada bangku yang tersedia berhampiran tempat dia menunggu. Terik mentari menyilaukan pandangannya. Namun itu tidak menghalang kedua-dua biji matanya dari terus merenung jalan di hadapannya.
Sudah lama dia menantikan saat itu. Dia ingin menyelesaikannya secepat yang mungkin. Ajura semakin menginjak dewasa, dia tidak boleh berlengah lagi. Jika terjadi apa-apa kepadanya, bimbang pula nasib Ajura tidak terbela.
Helmi kembali membelek kertas yang ada di tangannya. Surat khabar yang bertarikh seminggu yang lalu dibelek tanpa ada niat mahu membacanya. Sesekali matanya memandang ke hadapan apabila terdengar enjin kereta melepasinya.
Kebosanan itu mengundang kenangan lalu bertandang di fikirannya. Maklumat terakhir yang diperoleh daripada orang suruhannya, amat memeranjatkan. Bukan sahaja berita mengenai kematian isterinya di tangan penyangak, tetapi juga berita mengenai Daim, pemandu peribadinya yang membolot segala harta milik keluarganya!
‘Tak masuk dek akal! Macam mana nama dia boleh ada dalam wasiat tu? Atau dia dalang segala apa yang menimpa keluarga aku? Tapi tak mungkin! Dia terlalu baik dengan keluarga aku selama ni. Dia dah aku anggap seperti adik aku sendiri, takkan tergamak dia nak hancurkan hidup kami?’
Hati Helmi mula tertanya-tanya. Peristiwa 24 tahun lalu terasa seperti baru semalam terjadi. Luka yang amat dalam itu sudah tidak dapat disembunyikan lagi. Parutnya walau tidak kelihatan, namun kesakitannya masih terasa!
‘Sampai hati kau, Daim! Kebaikan aku dibalas dengan ketamakan kau!’ Jerit hati Helmi geram.
Jika tidak kerana Ajura dan janjinya kepada Norain, pasti sudah lama dia memburu Daim.
Namun demi keselamatan diri serta anak kecilnya, dia terpaksa bersabar. Janji pada Norain untuk membesarkan dan menjaga anak mereka dengan baik lebih penting.
Kini sudah tiba masanya dia melaksanakan perancangan yang sudah bertahun diatur dalam benak fikirannya. Daim akan menerima padahnya! Dan hartanya akan kembali dirampas!
Helmi mendengus kasar, cuba mengusir rasa sakit hati yang bertandang dalam hatinya. Surat khabar tadi dilempar ke tepi. Dia kembali mundar-mandir di hadapan jalan kampung itu. Hatinya tidak sabar menunggu kedatangan orang yang boleh membantu menyelesaikan masalah wasiat itu dan menangkap manusia buruannya.
“Encik Helmi?”
Tiba-tiba sahaja terdengar satu suara menegurnya dari arah belakang. Helmi segera menoleh. Dia memandang tepat pada wajah lelaki yang ber-T-shirt hitam dan berseluar jean biru.
“Siapa kau?”
Soal Helmi ragu-ragu. Setahunya orang yang dinanti bukan lelaki di hadapannya itu.
“Sila ikut saya, bos saya sedang tunggu Encik Helmi di sana.”
Balas lelaki itu lalu menuding jari ke arah sebuah kereta hitam yang tidak jauh dari mereka. Helmi menarik nafas lega.
“Patut la saya tak kenal awak.”
Balas Helmi tersenyum lalu mengekori lelaki bertubuh sasa itu.
Baru sahaja dia ingin membuka pintu kereta itu, tiba-tiba terasa seperti ada objek keras terkena pada kepalanya. Pandangan Helmi mula kabur. Dia sempat menoleh ke arah belakang dan terlihat lelaki itu bercakap dengan seorang lelaki lain yang sedang memegang satu objek yang cukup dikenalinya. Sayup-sayup kedengaran suara garau meminta dia diikat.
Dengan kudrat yang masih bersisa, Helmi meronta untuk melepaskan diri dari lelaki yang tidak dikenali itu namun hentakan yang kuat pula sekali lagi mengenai kepalanya. Pandangannya mula gelap. Tiada apa lagi yang kedengaran di telinganya melainkan hanya dengungan yang kuat. Bayangan wajah Ajura singgah di fikirannya bersilih ganti dengan bayangan wajah Norain.




9


Tiba-tiba sahaja Ajura seakan terdengar satu suara berbisik menyeru namanya. Jantung Ajura tiba-tiba sahaja berdebar kencang. Hampir sahaja dia terjatuh apabila kakinya tersadung batu kecil di hadapannya.
Ajura mengurut dadanya perlahan, kemudian menarik nafasnya agar debarnya semakin berkurang. Matanya melilau memandang sekeliling.
‘Hari masih siang. Tak mungkin hantu!’
Bisik hati Ajura yang sedikit sebanyak mempercayai perkara tahyul itu.
“Mana ada hantu! Yang hantu, diri kita ni. Kalau tak ingat Tuhan, banyaklah hantu masuk dalam hati kita ni.”
Teringat kembali kata-kata ayahnya tatkala dia bertanyakan soal hantu.
“Tapi… Ali cakap dalam hutan ni ada orang mati dibunuh dan semangat orang tu jadi hantu dan kacau penduduk kampung dia.”
Cerita Ajura bersemangat. Cerita Ali, anak tok batin sedikit sebanyak mempengaruhi fikirannya.
“Kita orang Islam, semua tu tahyul. Mana ada semangat-semangat ni. Yang ada syaitan yang sering waswaskan hati orang Islam agar percaya perkara karut tu.”
“Jadi memang tak ada hantulah, ayah?”
“Tak ada.” Jawab Helmi tegas.
Ajura tersenyum sendirian teringatkan perbualan itu.
“Mana ada hantu, semua tu kerja syaitan yang mahu menyesatkan umat Islam.”
Bisik hati Ajura memujuk hatinya sendiri. Hari semakin gelap. Ajura bergegas masuk ke dalam rumah dan menutup kemas pintu rumahnya.



10


“Cepat bangun!”
Jerit Jason mengejutkan rakan-rakan yang lain. Van yang dipandunya diberhentikan di bahu jalan.
Mendengar jeritan Jason, mereka semua terjaga. Ada yang menggosok-gosok mata dan ada pula yang mengeliat membetulkan tulang-temulang mereka yang mula terasa sengal akibat tidur di tempat yang tidak selesa.
Setelah menyedari van yang dinaiki tidak bergerak, masing-masing memandang sekeliling dengan wajah yang terpinga-pinga. Kelihatan kedai-kedai lama di kiri kanan jalan. Taufik segera memandang jam di pergelangan tangannya, tepat menunjukkan pukul 6:30 petang.
“Jason, mana hotel?”
Soal Taufik setelah gagal mencari kelibat hotel di kawasan tersebut.
“Itu yang aku nak bagi tahu ni.”
Balas Jason tersengih sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal.
“Apa lagi tersengih tu, cepat la cakap.” Sampuk Harun pula tidak sabar.
Jason masih lagi tersengih sambil membetulkan kedudukan cermin matanya.
Haiyasorry bro, aku cari tak jumpa. Itu pasal aku kejutkan kamu semua.”
Balas Jason sambil tersenyum kambing. Bimbang juga dia akan dimarahi nanti. Setelah hampir setengah jam berpusing-pusing di kawasan yang sama, akhirnya dia terpaksa mengejutkan mereka yang lain. Jika tidak, makin lambat mereka sampai ke tempat yang ingin dituju.
Yusri segera mencapai peta di hadapannya. Dia sudah tidak sabar mahu berehat dan mandi.
“Kenapa dah sesat baru nak kejutkan kami?”
Marah Harun. Geram melihat senyuman tidak bersalah Jason itu.
“Awak ni, kenapa nak marahkan Jason pulak? Dia dah penat memandu dari tadi tau!”
Marah Linda pada Harun yang tidak berterima kasih kepada Jason.
“Jason, aku rasa hotel tu tak jauh dari sini.” Yusri mencelah.
“Tak sampai satu kilometer dari kawasan kita berhenti ni.” Sambung Yusri lagi lalu menghulurkan peta tersebut kepada Jason.
Peta sudah pun bertukar tangan. Jason meneliti tempat yang ditunjukkan oleh Yusri.
“Kalau tak silap, hotel tu terletak di atas bukit. Tu aku dah bulatkan kawasan hotel tu.”
Sambung Yusri lagi setelah melihat Jason masih tercari-cari kawasan yang dimaksudkannya. Jason tersenyum mengangguk.
“Patut la aku tak jumpa, rupanya kat atas bukit.” Balas Jason, tersengih.
“Tadi kau ada nampak jalan kecik tak?” Soal Yusri.
“Aha… ada!” Jawab Jason laju.
“Lambang ni menandakan jalan menuju ke hotel tu, jalan kecik.”
Yusri menunjukkan tanda tersebut kepada Jason.
“Oh! Patutlah…” Jason tersengih.
“Cepat la Jason... Tunggu apa lagi, aku penat ni.” Bebel Harun.
Ye la bos!”
Jawab Jason sedikit meninggi suaranya. Bosan pula dia dengan sikap Harun yang tidak pernah mahu bersabar.
“Semacam aje jalan ni. Betul ke ni, Yusri?”
Jason mula ragu sebaik sahaja van yang dipandu sampai di jalan kecil yang dimaksudkan oleh Yusri tadi.
“Betul la… Dari sini dalam beberapa meter je.”
Balas Yusri dengan penuh yakin. Ketika di sekolah dahulu, mata pelajaran Geografi adalah subjek kegemarannya. Mana mungkin dia tersalah baca peta.
“Suram je…” Bicara Jason pada dirinya sendiri sambil meneruskan perjalanan.
Van milik ayahnya dipandu perlahan. Di kiri kanan jalan dipenuhi dengan semak samun yang tebal. Pepohon pula melengkung seperti sengaja menutupi jalan itu dari pandangan luar. Sekali pandang seperti sebuah terowong.
Selepas beberapa minit perjalanan, akhirnya mereka berenam sampai ke tempat yang dituju. Sebaik sahaja melihat hotel yang bakal mereka diami malam itu, enam sahabat itu terpaku seketika. Mulut masing-masing bagaikan terkunci. Hanya mata mereka sahaja berkelip-kelip memandang hotel tersebut.
Mana tidaknya, mereka terkejut hotel berkenaan tidak seperti yang mereka bayangkan! Kelihatan seperti sebuah vila dua tingkat yang lusuh dan memanjang menghampiri pagar di sebelah kanan vila di mana terdapat curam yang agak tinggi di hujung kawasan itu.
Vila itu kelihatan agak tua seperti bangunan lama peninggalan zaman penjajah. Sekitar kawasannya pula agak suram. Deretan pokok-pokok yang merimbun mengelilingi kawasan vila itu seolah-olah ingin menyembunyikan vila tersebut daripada pandangan luar.
Bunyi unggas yang berdecit seakan gembira menyambut ketibaan waktu senja. Satu pemandangan yang agak menyeramkan kini ada di hadapan mereka, seperti sudah berzaman vila itu tidak berpenghuni.
Dedaun kering kelihatan berguguran tanpa disapu. Terlihat pokok-pokok liar berjalar memenuhi sebahagian dinding vila tersebut. Seram dan menakutkan!
Mereka saling berpandangan tanpa berani meluahkan satu patah perkataan pun. Namun dari riak wajah mereka jelas menunjukkan mereka tidak menyukai tempat yang bakal mereka bermalam itu.
“Jason, betul ke ini hotel?”
Bisik Harun. Walaupun begitu perlahan, namun masih didengari oleh mereka yang lain.
Jason seperti mereka juga, masih terpaku merenung keadaan hotel yang kelihatan seperti bangunan lama yang tidak berpenghuni. Sedangkan sebelum ini dia terbayangkan sebuah hotel yang berkonsepkan Bali atau kampung, bukannya rumah tinggal!
“Kalau ikutkan alamat dan peta, memang ini hotelnya.”
Melihat Jason yang masih kebingungan, akhirnya Yusri bersuara. Harun menoleh ke arah Yusri. Dia menarik nafas dalam-dalam sambil menggeleng.
‘Di luar pun dah macam ni, kat dalam tak tahu la macam mana.’ Fikir Harun.
“Apa kamu semua tercegat lagi, cepat gerak!”
Jerit Taufik sekali gus mematikan lamunan rakannya yang lain.
Dia segera mengumpulkan barang-barangnya tanpa mempedulikan rakan-rakan lain yang kelihatan masih ragu-ragu untuk memasuki vila berkenaan.
“Taufik, betul ke you nak masuk ni?”
Soal Dila serba salah. Entah kenapa jauh di sudut hatinya merasakan ada sesuatu yang tidak kena pada vila itu.
Tidak pernah sepanjang hayatnya melihat vila yang begitu uzur dan seram sebegitu. Selalunya gambaran itu hanya dilihat di kaca TV sahaja. Itu pun ketika dia menonton filem-filem seram.
“Ini hotel ke rumah hantu?”
Soal Linda yang agak celopar. Yusri menoleh.
“Linda… jaga sikit mulut kau, boleh tak?” Marah Yusri.
“Tak kisah, hotel ke... rumah hantu ke... yang penting aku ada tempat tidur.”

Tambah Taufik tersenyum sinis lalu meluru ke arah pintu masuk hotel tersebut.

Sebelum menolak daun pintu, dia terpandang papan tanda di sebelah kanannya. Taufik segera menuju ke arah papan tanda itu. Tulisan pada papan itu agak kabur dan berhabuk. Kesan karat yang tebal menyebabkan tulisan pada papan itu sukar dibaca. Namun Taufik masih boleh membaca apa yang ditulis apabila berada berdekatan dengan papan itu.

Taufik menoleh pada rakan-rakannya yang masih berdiri berhampiran van yang mereka naiki. Tangannya melambai memanggil mereka segera datang. Melihat Taufik melambai sambil tersenyum, mereka semua meluru menghampiri Taufik.

“Tengok ni, History Villa... Sebab tu nampak buruk. Memang dah konsep vila ni ‘history’, sebab tu nampak semacam je.”
Jelas Taufik membaca nama vila berkenaan dan kemudian ketawa mengekek.

“Ala Fik, kita cari hotel lain aje. Mesti ada banyak hotel atau rumah tumpangan dekat pekan ni.”
Cadang Dila. Debaran di dadanya semakin kencang apabila mendekati pintu masuk vila tersebut.
Sorry Dila, ini satu-satunya hotel yang ada dekat pekan ni. Aku dan Jason dah tinjau dekat Internet.” Jelas Yusri.

Dengan langkah yang teragak-agak, Linda turut menyertai rakan-rakannya yang sudah ke hadapan. Matanya melilau memandang di segenap penjuru ruang lobi vila yang kelihatan begitu suram itu.

Tidak banyak barang perhiasan yang menghiasi ruang lobi itu. Hanya dua buah kerusi rotan yang agak usang dan di hadapannya tergantung sebuah potret lama manakala di hujung sebelah kanan lobi diletak meja pendaftaran dan di sebelahnya pula terdapat tangga menuju ke tingkat atas.

Melihat tiada seorang pun pekerja vila berkenaan yang menyambut kedatangan mereka, Taufik dengan kasarnya menekan loceng yang disediakan di atas meja tersebut berkali-kali. Tetapi masih belum ada sesiapa pun yang keluar menyambut kedatangan mereka.

“Aku rasa kita salah hotel agaknya. Entah-entah ni bangunan lama tempat mat gian melepak.”
Harun bersuara geram. Wajahnya merah padam menahan marah.

Taufik menjeling ke arah Yusri yang sedari tadi diam membisu. Yusri faham maksud jelingan itu.

“Betul, inilah hotelnya. Dah tak ada bangunan lain lagi kat pekan ni. Yang ada semua deretan rumah kedai.”
Bidas Yusri serius menjawab bebelan Harun sebentar tadi. Linda mendengus kasar.
“Kalau macam ni, baik tidur dalam van atau dirikan aje khemah berhampiran surau… daripada tinggal kat tempat macam ni.”

Rungut Linda sambil matanya melilau memandang setiap sudut hotel itu. Sakit hatinya sudah tidak dapat dibendung lagi! Lebih-lebih lagi melihat keadaan hotel yang agak uzur jauh daripada apa yang dibayangkan sebelum ini.

“Ehem…”

Tiba-tiba terdengar satu suara berdeham dari arah pintu utama. Serentak mereka memandang ke arah bunyi tersebut.

Dapatkan novel ini di kedai berdekatan anda, Terima kasih!



No comments:

Post a Comment

Popular Posts