Follow me

Instagram

Sunday, 5 January 2014

Aku, Dia & Pinky Promise : Bab 1 & 2 (b4 edit)

Bab 1

Jika kau orang tanya aku, dalam banyak-banyak alat Doraemon, alat apakah yang paling aku nak?
Jawapan aku, mesin masa!
Kenapa?
Sebab aku nak sangat balik ke zaman persekolahan. Jika diberi peluang yang super-awesome ni aku nak ubah banyak perkara! Antaranya…
1. Ubah aliran! Jangan ambil aliran sains! – Ingat, kau benci sains! Jangan-ikut-orang. Ikut jiwa sendiri!
2. Jangan-bercinta-masa-belajar! – Buang masa kau je!
3. Jadi ulat buku. – Supaya lulus cemerlang dan 15 tahun kemudian kau tak-akan-menyesal!
4. Pastikan semua kerja sekolah siap.
5. Jangan jadi pelajar popular
6. Jangan berkawan dengan SHAHIRA!
7. Buat baik dengan Cikgu Hazam - Sebab dia akan jadi abang ipar kau.
8.Jangan-sesekali-ikut-fesyen-90-an-ketika bergambar!
9. Jangan tergilakan mana-mana artis lelaki pada zaman tu. – Sebab rata-rata sekarang dia orang tak popular, dah tak kacak dan tenggelam dan… boroi.
10. Jangan sesekali terpikat dengan pelajar lelaki yang popular kerana comel atau pun kacak – Sebab  15 tahun akan datang, dialah lelaki yang paling hampes dan langsung tak kacak!
11. Cari Daniel! – Hasut dia supaya jangan jadi model! Jadilah doktor ke (Doktor? Tak payahlah, duit ada tapi sibuk sepanjang masa nanti) emmm… bussines owner! Barulah boleh melompat sambil main pom-pom! (Peace Of Mind, Plenty Of Money!)
Okey itu saja. Kalau ikutkan hati, panjang lagi senarai tu tapi tak guna aku buat senarai panjang pun sebab, semuanya sudah terlewat dan tak mungkin dapat diubah.
Kau orang sendiri pun tahukan, masa tak boleh diundur. Tak pernah terjadi dalam sejarah. Mesin masa? Semuanya karut! Cuma ada filem sains fiksyen dan dalam dunia Nobita. Dalam dunia aku? Emmm...
Tapi, emak selalu cakap...
‘Kebesaran ALLAH mengatasi segala-galanya. Dengan izin ALLAH tiada perkara yang mustahil!’
Emmm... mungkinkah aku dapat ulangi semua tu?
“Siti! Kawan kamu dah sampai ni.” Terdengar suara emak memanggil.
Lekas-lekas aku menyimpan lipstik ke dalam beg tangan. Membelek mekap di cermin sesaat. “Okey, orang turun sekarang.” Jerit aku, kemudian bergegas menuruni anak tangga. Setiba di pintu rumah terlihat Hanim sedang bercekak pinggang di luar pagar.
“Lambatlah kau, nanti dia orang tinggal!” Dia kemudian membuka pintu keretanya.
“Kau tu lambat.” Dekat satu jam aku tunggu, sampai sebelas senarai aku boleh fikirkan, barulah dia muncul. Aku segera mendapatkan emak yang sedang menyusun kasut di rak.
“Hati-hati. Baca doa jalan.” Pesan emak, ketika aku  mencium tangannya.
“Okey.” Balas aku kemudian bergegas menghampiri kereta Hanim.
“Dah berkali-kali Lina telefon aku. Kalau lambat dia nak tinggal je.” Ujar Hanim sebaik saja aku melabuhkan punggung. Dia menghidupkan enjin kereta.
“Kau kelam-kabut ni kenapa?” Tanya aku hairan.
“Yalah. Kalau dia orang tinggal kita macam mana?”
“Alahai, setakat Melaka. Semua jalan ada dalam kepala aku ni.” Aku menarik tali pinggang keledar. Hari ini aku malas nak memandu, biar Hanim saja pandu. Lagi pun kereta Hanim kereta baru, tak berani aku nak sentuh. Kalau buruk macam kereta kelisa aku tu, okeylah juga.
“Ya, aku tahu Melaka tu dah jadi kampung angkat kau. Tapi tak syok lah kalau ikut rombongan kahwin tapi jalan seorang diri.” Balas Hanim membelok kereta ke jalan besar. Aku tersengih.
“Tak sangka, akhirnya, Lina pecah rekod.” Aku menghela nafas perlahan.
Aku, Lina dan Hanim memang berkawan baik sejak dari sekolah rendah lagi, sehinggalah ke universiti.  Universiti pun kita orang pilih universiti yang sama walaupun kursus berlainan.
Lina ambil kursus engineering dan sekarang bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat antarabangsa di Kuala Lumpur. Manakala Hanim sekarang sudah jadi senior editor di syarikat majalah terkenal. Cuma aku saja, masih menjadi pekerja biasa yang gaji pun biasa-biasa.
Hanim menghidupkan radio. “Kau bila lagi? Tahun ni dah masuk dua tahu kau orang bertunang.” Dia menjeling kemudian kembali memandang jalan.
Aku menghela nafas perlahan. Walau pun soalan tu nampak mudah dan bukan sepayah soalan fizik atau pun statistik tapi aku tetap akan ambil masa yang agak lama nak menjawabnya. Kenapakah?
Sebab, aku sendiri tak ada jawapan. Lagi pun, akukan perempuan. Mana boleh lebih-lebih. Kalau tunang aku dah cakap ‘nanti dulu’, maka aku kena nantilah. Dia yang akan berjabat tangan dengan tok kadi. Bukannya aku. Kalau aku senang je, esok juga aku kahwin.
Erkkk... tak. Bergurau. Berani sangat aku nak kahwin dengan dia esok? Kalau terasa nak terjun laut, boleh. Tapi, kalau aku terjun sah-sah aku akan lemas. Sebab dia tak ada buat persiapan untuk menjadi seorang suami pun. Emm… maksud aku, dari segi material. Kalau fizikalnya, aku yakin sangat dia dah lama bersedia. 32 tahun okey, kalau pokok dah besar-besar akarnya. Kalau manusia? Jawab sendiri.
Kalau kau orang tanya aku pula, bersediakah aku?   Jawapan aku... entah. Kadang-kadang aku was-was dengan perasaan aku sendiri.
Aku tak cintakan diakah?
Emm... Ini satu lagi soalan yang susah aku nak jawab. Masa awal perkenalan sehingga bertunang memang aku yakin aku cintakan dia. Tak akan ada lelaki lain yang mampu mengantikan dia. Hidup mati memang untuk dia. Cinta sehingga nafas terakhir, kononnyalah. Tapi… sejak akhir-akhir ini hati aku semakin tawar dan kesabaran aku semakin tipis.
Sebelum aku cerita kenapa kesabaran aku menipis, baik aku kenalkan dulu siapakah tunang aku yang ‘bertuah’ itu.
Nama dia Daniel. Kacukan Cina Melayu. Umur sebaya dengan aku, 32 tahun. Kalau tanya dari segi rupa, serius aku cakap, memang kacak. Kalau aku bawa ke mana-mana memang aku tak malu dan selalunya kami menjadi perhatian, opss… dia menjadi perhatian dan aku pula mungkin menjadi bahan kutukan. Dari riak wajah wanita yang menjeling pada Daniel mesti dalam kepala dia orang akan fikir…
‘Apa perempuan tu dah buat?’ atau…
‘Lelaki tu kena bomoh ke?’ atau…
‘Lelaki tu buta?’
Dulu mungkin aku bangga, tapi sekarang...
Apa pun mari aku cerita sikit fasal sejarah percintaan kita orang. Aku dan dia berkenalan secara tidak sengaja.  Ketika itu aku sedang tunggu kawan aku di sebuah shopping complex dan kebetulan Daniel sedang tunggu kawan dia di tempat yang sama. Permulaan ayat dia tegur aku adalah…
 ‘Macam biasa jumpa muka awak, satu sekolah ke?’
Dari situ bermulalah perbualan biasa, bertukar nombor telefon dan akhirnya bercinta. Pekerjaan Daniel adalah model sepenuh masa. Jadi tak hairanlah kenapa wajah dia bukan main kacak.
Dulu memang aku bangga gila dapat teman lelaki seorang model. Glamour kau! Tapi, sejak dua tahun kebelakangan ini aku mula naik menyampah. Selain aku terpaksa makan hati bila ada saja wanita cantik cuba goda Daniel, aku juga tertekan apabila Daniel sudah mula kekurangan tawaran.
Sekarang dia jadikan aku sebagai ‘bank’ peribadinya. Asal tak ada duit dia telefon aku. Kalau senyap tak telefon itu tandanya dia ada duit. Macam mana nak kahwin kalau diri sendiri tak boleh nak tanggung? Betul tak? 
Tapi... kadang-kadang, jauh di dasar hati, aku rasa seperti aku mencintai seseorang dan yang pasti seseorang itu bukan Daniel. Kadang-kala muncul perasaan aneh seperti aku merindui seseorang yang aku sendiri tak tahu siapakah dia. Terasa seperti ada seseorang sedang menanti aku. Berhalusinasikah aku?
Kawan aku pernah cakap...
‘There’s always someone better just around the corner.’
Benarkah? Adakah keputusan aku menerima Daniel satu keputusan yang terburu-buru?
“Weh, jauh mengelamun. Kau orang ada masalah ke?” Pertanyaan Hanim mengembalikan aku ke alam nyata.
“Masalah yang sama juga.” Aku mengeluh perlahan. Dengan Hanim memang tak ada rahsia lagi. Apa saja masalah aku dengan Daniel mesti dia akan tahu.
“Kalau masalah tu memang aku pun tak boleh nak bagi nasihat apa-apalah.” Ujar Hanim perlahan.
“Tak apa, aku faham.” Aku menarik nafas dalam.
“Lupa aku nak tanya kau.” Hanim menoleh. “Lina ajak kita teman dia shooting gambar kahwin lepas habis majlis ni. Aku dah cakap kita setuju.” Ujar Hanim tersengih.
Kening aku terangkat sebelah. “Itu bukan tanya tapi bagi tahu.” Sindir aku. Hanim tersengih.
     

Bab 2


“Aduhai, lambat lagi ke habis shooting ni?” Aku mengelap peluh yang membasahi dahi. Rambut diikat tinggi agar angin dapat menyejukkan leher yang berpeluh.
“Lambat lagi.” Hanim menghulurkan botol air mineral pada aku.
“Kau punya fasal lah ni. Kenapa setuju nak teman Lina shooting gambar kahwin? Tak fasal-fasal kita kena jadi tukang angkut barang.” Aku mencemik geram.
“Alah, aku setuju pun sebab nak gambar aku ada dalam gambar kahwin dia. Tak sangka pula jadi macam ni.” Hanim menarik wajah masam. Menyesal lah tu.
Kita orang terus berteduh di sebalik pokok di atas bukit St John, tidak menghiraukan Lina yang sedang asyik bergaya depan kamera dengan suaminya berlatar belakangkan Bandaraya Melaka negeri bersejarah.
“Cantikkan.” Ujar aku perlahan kagum melihat keindahan Bandar Melaka dari atas bukit ini. Terbentang laut selat Melaka yang membiru. Angin bersepoi-sepoi bahasa. “Beb, jom tengok apa ada kat dalam tu. Aku tak pernah masuk pun.” Aku menunding jari ke arah puing gereja St. Paul yang terletak di atas bukit St John.
“Kau biar betul? Kata Melaka ni dah jadi kampung angkat kau, takkan tak pernah masuk dalam tu?”
“Yalah. Kalau sampai sini terus melepak rumah akak aku mana ada masa nak panjat bukit ni. Bila aku ajak, dia orang kata dah jemu suruh aku pergi seorang diri. Tak kuasa aku nak panjat seorang diri. Cepatlah!” Aku terus menggesa Hanim bangun.
Dengan wajah bercemerut dia bingkas bangun. Sebaik saja berada di dalam, aku terus meneliti binaan yang berusia beratus tahun itu. Kagum sungguh. Walau berabad lamanya masih ada bahagian yang kukuh binaannya.
“Oh, by the way, kau dah terima jemputan reunion budak kelas kita?” Tanya Hanim ketika aku sedang meniliti salah satu batu nisan yang tersandar di dinding.
“Reunion?” Menoleh seketika pada Hanim.
“Budak sekolah kita buat reunion, kau tak buka facebook ke?”
“Malas sungguh aku nak buka facebook. Bila tu?”
“Ogos ni. Cuti Merdeka kot.”
“Tengoklah. Macam malas je nak pergi.” Balas aku acuh tak acuh. Terus meneliti batu nisan di sebelah pula.
“Eh, kau jangan buat alasan. Ini julung-julung kalinya budak sekolah kita buat reunion tau. Lepas habis sekolah mana kita pernah buat reunion. Emm… dekat lima belas tahun, kan?”
“Malaslah. Aku tak sedia lagi nak jumpa dia orang.”
“Kenapa pula?” Hanim menoleh, berkerut dahi memandang aku.
“Yalah. Dalam ramai-ramai kawan kita. Aku je yang tak berjaya lagi. Semua orang ada kerjaya bagus-bagus. Tapi aku…” aku menghela nafas perlahan.
“Siapa cakap dia orang semua kerja bagus-bagus? Jannah, bukan kerja bagus pun. Kalau tak silap kerani biasa je. Duha, langsung tak kerja.”
“Memanglah dia orang tu ada yang tak kerja dan kerja biasa-biasa. Duha tu, memang dia tak kerja sebab laki dia orang kaya. Jannah tu, dah tiga orang anak. Tapi aku ni... apa ado?”
“Alah, rezeki masing-masing. Kita jumpa pun bukannya sebab nak soal siasat hal peribadi masing-masing. Tapi sebab lama dah tak jumpa. Lagi pun, dalam ramai-ramai kawan cuma kau je dia orang lama tak jumpa.” Pujuk Hanim lagi.
“Secara direct memanglah tak soal-siasat. Tapi indirectly?” Keluh aku lagi.
“Dah-dah, jangan nak buat alasan. Kau kena datang juga. Kalau tak datang aku heret kau!” Hanim menjeling tajam.
 Aku menghela nafas perlahan. Dia memanglah tak kisah sebab sudah berjaya. Tapi aku ni? Andai masa boleh diundur memang aku tak akan ambil aliran sains! Sekarang baru aku tahu kenapa aku tak berjaya seperti orang lain. Sebab aku ambil aliran yang salah. Aku belajar perkara yang salah dan akhirnya aku bekerja di bidang yang salah. Tak seperti Hanim dan Lina. Masing-masing berjaya mencapai cita-cita yang diidamkan sejak zaman sekolah lagi.
 “Apa tu? Kubur ke?” Laju saja kaki aku melangkah ke arah jaringan besi yang menutupi satu bahagian.
“Haish, kau ni, kalau orang dengar buat malu je.” Hanim mencemik. “Ini whising well lah.” Jelas Hanim.
“Oh, ya ke?” Aku terus mengintai. Terlihat bermacam jenis duit syiling yang ada di dalamnya.
“Masyarakat Cina percaya, kalau dia orang lempar duit dalam perigi ni nanti hajat dia orang tercapai… ada pula yang…”
Tanpa menghiraukan cerita Hanim aku terus mengagau beg tangan dan mengeluarkan duit syiling dua puluh sen.
“Semoga aku diberi peluang untuk mengubah takdir.” Ucap aku tersengih sekadar main-main.
Tinggg!
Terdengar duit syiling yang aku baling jatuh ke bawah.
“Weh. Kau buat apa ni?” Hanim mencerlung.
“Lempar duitlah.”Jawab aku bersahaja.
“Syirik tau!” Bulat mata Hanim memandang aku.
“Kenapa serius sangat ni? Aku main-main je lah.” Jawab aku acuh tak acuh. Terus melihat ke bawah.
“Tak boleh. Main-main ke, suka-suka ke, kita orang Islam tak boleh buat macam tu. Itu kerja syirik tau. Berdosa besar! Mati nanti kekal selamanya dalam neraka. Kau nak?” Bulat mata Hanim memandang aku.
Glup! Hati aku mengecil.
“Erkk... betul ke? Main-main pun tak boleh?” Tidak berkelip aku memandang Hanim. Hanim menggelang. “Habis. Macam mana ni? Aku tak sengaja. Aku ingat suka-suka tak apa.” Aku mula cemas. Inilah akibatnya bila emak suruh buka rancangan agama aku pergi buka rancangan hiburan. Insaf. Insaf.
“Tak boleh. Tetap berdosa. Kau kena bertaubat.” Ujar Hanim serius.
“Macam mana?” Tanya aku. Aduhai, kenapalah aku pendek akal boleh terikut-ikut dengan cara orang belum islam. Astaghfirullaah. Astaghfirullaah. Astaghfirullaah.
“Balik nanti kau kena buat solat taubat dan lepas ni kau jangan buat benda macam ni lagi.” Pesan Hanim.
Aku menggeleng kepala.“Aku nak solat sekarang juga!” Aku menarik tangan Hanim.
“Weh, nak pergi mana?” Tanya Hanim.
Serentak itu terdengar guruh berdentam-dentum. Aku mendongak ke langit. Langit yang cerah tiba-tiba gelap.
“Hujan dah nak turun ni.” Jerit Hanim.
“Aku tak peduli. Aku nak cari surau atau masjid sekarang juga!” Aku terus menarik tangan Hanim. Tak dapat aku bayangkan jika aku mati nanti aku terus kekal dalam neraka jahanam. Nauzubillah!
“Kalau ya pun, balik nantilah. Tunggu Lina habis shooting dulu.” Hanim cuba menarik tangannya.
Aku berhenti melangkah.“Kalau aku mati dalam masa beberapa saat dari sekarang macam mana? Kalau aku tak sempat nak bertaubat macam mana? Kalau balik nanti perkara buruk terjadi dekat aku macam mana?” Bulat mata aku memandang wajah Hanim, kemudian aku terus menarik tangan dia memaksa dia melangkah. Namun, saat aku ingin menuruni anak tangga tiba-tiba saja langkah aku sumbang. Badan tidak seimbang.
“Ya, ALLAH.” Jerit aku, tangan Hanim terlucut dari genggaman. Terasa tubuh aku melayang. Aku cuba mengapai tangan Hanim namun tidak tercapai.
“Sal!” Terdengar Hanim menjerit.
Kemudian dunia gelap-gelita. Sunyi sepi. Terasa tubuh aku ringan bak kapas.

 Bersambung




No comments:

Post a Comment

Popular Posts